Sunday, January 26, 2014

Soal Jawab Agama Siri 129 (Punca Penyakit Hasad Dengki, Cemburu Yang Di Benarkan, Hukum Menggunakan Sihir Dan Lain-lain lagi)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 129 adalah membicangkan persoalan kenapa berlaku penyakit hasad dengki, cemburu (iri hati) yang dibenarkan , hukum menggunakan sihir, sihir di gunakan kerana hasad dengki dan contoh hasad dengki di zaman Rasulullah SAW.

921. Soalan : Ada orang yang suka hasad dengki dengan kejayaan orang lain samaada kerjaya dan perniagaan hingga porak peranda masyarakat di buatnya. Bolehkah ustaz huraikan kenapa keadaan ini boleh berlaku?

Jawapan :

Sifat hasad dengki adalah berpunca daripada hati yang kotor, hati yang berpenyakit dan hati yang sakit. Sifat ini adalah salah satu cabang daripada sifat mazmumah dan sifat yang sangat dibenci oleh Allah SWT.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Waspadalah terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu." (Hadis Riwayat Abu Dawud)"

Betapa bahayanya sifat hasad dengki bukan sahaja mengikis pahala-pahala yang di buat oleh seseorang itu sebagaimana api memakan kayu api tetapi penyakit ini akan mengundang untuk mendapat laknat Allah SWT., sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Ada tiga macam orang yang terkena laknat Allah SWT iaitu seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya". (Hadis Riwayat Ad Dailami daripada Umar r.a)

Terdapat tujuh faktor yang menimbulkan perasaan hasad dengki tersebut. iaitu :

Pertama : Perasaan Permusuhan dan Kebencian

Pendekkata perasaan hasad dengki sentiasa bergandingan dengan perasaan marah dan permusuhan. Mungkin dia pernah di malukan atau dihina maka timbul perasaan dendam dan kebencian. Sifat marah yang ada hingga hilang pertimbangan yang waras, jiwanya sudah hilang sifat pemaaf.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : ”Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Kedua : Merasa Diri Mulia

Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu merasa keberatan kalau ada sesiapa yang dianggapnya mengatasi dirinya. Dia tidak rela kalau ada orang lain melebihinya. Kalau ada orang –orang sepertinya yang mendapat lebih pangkat, kuasa, ilmu dan harta, dia bimbang kalau-kalau orang tersebut akan bersikap sombong terhadapnya. Dia tidak boleh tahan dengan sikap mengatasi yang ditunjukkan oleh saingannya itu. Malah dia tidak boleh menerima apa yang dirasakannya sebagai sikap mengatasinya dan mulalah timbul hasad dengki.

Ketiga : Takabbur

Jelasnya seorang itu mempunyai watak membesarkan diri terhadap orang lain, selalu memperkecilkan dan mempergunakan seseorang untuk kepentingan dirinya. Ia menganggarkan seseorang itu mematuhinya. Apabila orang berkenaan menerima atau memperolehi sesuatu kurnia ia khuatir kalau-kalau orang itu tidak lagi merelakan diri untuk mengikut arahannya. Akhirnya orang yang telah mendapat kurnia tersebut akan enggan mengikutinya, atau boleh jadi ia menganggap orang tersebut akan cuba pula menyainginya.

Sebenarnya, perasaan sombong atau takabbur boleh berlaku apabila timbulnya suatu pandangan terhadap orang lain dengan pandangan yang kecil dan hina.

Keempat : Ujub (bangga diri)

Iaitu merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna. Orang yang bersifat ‘ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan.
Dengan itu, maka timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.

Kelima : Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan

Biasanya perasaan hasad dengki ini wujud dalam kalangan orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan terutama di dalam perniagaan. Tiap orang akan merasa dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat suatu kelebihan yang boleh membantu dirinya sahaja membolot habuan yang menjadi tujuan mereka tadi.

Keenam : Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti

Berlumba-lumba mengejar pangkat kedudukan , atau berusaha menjadi ketua supaya dapat pengaruh, kuasa dan kedudukan di dalam pejabat atau masyarakat. Jika usaha-usahanya gagal maka timbul di dalam dirinya hasad dengki dan untuk menjatuhkan lawannya.

Ketujuh : Busuk Hati

Perasaan busuk hati ini kalau ada pada seseorang maka ia akan bersikap tidak suka sesuatu kebaikan diperolehi oleh hamba Allah yang lain. Apabila disebutkan dihadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah, sempit hatinya mendengar perihal tersebut. Akan tetapi apabila dinyatakan pula sebaliknya, umpama tentang kesusahan, kegagalan dan nasib malang menimpa orang lain maka ia merasa gembira dan suka hati.

922. Soalan : Kita sebagai manusia memang tidak boleh mengelak dari memiliki perasaan cemburu ini. Jadi cemburu bagaimana yang dibenarkan dalam Islam?

Jawapan :

Setiap manusia tidak boleh mengelakkan diri daripada perasaan cemburu kerana sifat ini sudah sedia ada di dalam diri manusia. Tetapi ada cemburu yang dibenarkan di dalam Islam iaitu sebagaimana hadis daripada Abdullah bin Mas'ud r.a.. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Tidak boleh iri hati kecuali pada dua hal: (iri ter­hadap) orang yang dikurniakan Allah dengan harta kemudian membelanja­kannya dalam kebenaran dan (iri terha­dap) orang yang dikaruniai Allah dengan ilmu kemudian mengamalkannya dan mengajarkannya’.” (Muttafaq ‘Alaih).

Huraian hadis :

Ciri Iri yang Positif. :

Iri (cemburu) yang positif, maka semua pernyataan dan tindakan yg dilakukan pun akan positif. Bahkan memuji dan menghargai orang yang di iri tersebut dengan setulus hati.

Iri (cemburu) yang positif boleh juga disebut mencontohi atau mengikut kebaikan orang lain untuk di amalkan pada diri sendiri.

Iri (cemburu) adalah perasaan yang dilarang dalam ajaran agama. Namun ada iri yang diperbolehkan adalah iri ingin mendapatkan kenikmatan yang diperoleh orang lain yang kenikmatan itu dipergunakan dalam kebaikan, sehingga menambah rasa iri atau mengimpi-impikannya untuk dia pula buat kebaikan.

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama."
(Hadis Riwayat Tirmizi).

Jadi iri yang dibolehkan ternyata ada 2 jenis, iaitu orang kaya dan orang berilmu dengan syarat:

1. Kaya digunakan untuk kebaikan.

2. Berilmu (pandai) dan mengajarkannya kepada orang lain.

Terhadap dua orang itu kita boleh iri (cemburu)

Hal demikianlah yang diterangkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam hadis di atas, yakni dibolehkannya kita mengimpikan kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh orang-orang yang diberi karunia harta dan ilmu. Begitulah bentuk syukur orang-orang yang mendapatkan keduanya dari Allah SWT. Mereka yang diberi harta mensyukurinya dengan menginfakkan hartanya di jalan yang Allah redhai, se­dangkan mereka yang diberi ilmu men­syukurinya dengan mengamalkan dan mengajarkannya.

Perasaan iri (cemburu) berlaku juga dikalangan sahabat Muhajirin yang miskin. Lalu mereka berjumpa Rasulullah SAW. untuk mengadu.

Dari Abu Hurairah r.a, ia menga­takan, “Orang-orang miskin dari kalang­an Muhajirin datang mengadu kepada Rasulullah SAW, mereka berkata, ‘Orang-orang yang ada banyak harta mendapatkan kedudukan yang tinggi dan kenikmatan yang abadi.’

Rasulullah SAW bertanya, ‘Mengapa de­mi­kian?’

Mereka menjawab, ‘Mereka me­mang solat seperti juga kami dan mereka berpuasa seperti juga kami. Namun mereka bersedekah sedangkan kami tidak dan mereka membebaskan hamba sedangkan kami tidak.’

Lalu Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), "Mahu­kah kalian jika aku memberi tahu kalian tentang sesuatu yang kalian terima dan dapat melampaui mereka dan kalian berada dalam garda terdepan bagi orang-orang setelah kalian serta tak ada yang lebih utama daripada kalian semua kecuali orang yang mengerjakan apa yang kalian lakukan ini?’

Mereka menjawab, ‘Tentu, wahai Rasulullah.’

Lalu baginda SAW bersabda, ‘Hendaklah kalian bertasbih, bertakbir, dan bertah­mid setiap selesai solat masing-masing sebanyak 33 kali.’

Setelah itu mereka kembali meng­ha­dap Rasulullah SAW, dan mengadu, ‘Saudara-saudara kami orang-orang kaya itu mendengar apa yang telah kami lakukan, lalu mereka pun turut melaku­kannya juga.’

Maka Rasulullah SAW bersabda, ‘Itulah karunia Allah yang diberikan-Nya kepada siapa saja yang dikehendaki-Nya’.” (Muttafaq `Alaih). Sifat iri bukan kerana benci tetapi kerana nak berlumba-lumba membuat kebaikan, maka sikap seperti ini di benarkan syarak.

923. Soalan : Ada juga orang dengki sampai menghantar sihir. Bagaimana Islam memandang perkara ini?

Jawapan :

Jika seseorang itu menggunakan khidmat bomoh untuk menghantar sihir kepada orang yang dibencinya kerana hasad dengki maka perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa besar. Pelakunya akan mendapat laknat Allah SWT dan boleh jatuh kepada syirik.

Sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Barangsiapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”(Hadis Riwayat Muslim).

Bomoh yang menggunakan khidmat jin atau syaitan akan menggunakan ilmu sihir untuk melakukan penyihiran kepada seseorang yang meminta tolong kepadanya. Sifat hasad dengki yang di dorong oleh hawa nafsu sudah tidak kira sesuatu perbuatan itu samaada halal atau haram sedangkan amalan sihir adalah perbuatan yang amat dilarang keras oleh Nabi SAW.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib (menggunakan khidmat bomoh) adalah najis (haram) dan ia daripada perbuatan syaitan.”(Surah al-Maidah, ayat 90)

Orang yang menggunakan sihir sebenarnya sudah hilang iman di dalam dadanya kerana sanggup menjadi hamba kepada jin dan syaitan. Bomoh yang menjalankan sihir akan menyuruh orang yang meminta tolong supaya melakukan perkerjaan kurafat dan syirik untuk menjayakan sihir yang dilakukan. Perbuatan ini bukan saja berdosa besar tetapi boleh menjadikan sesorang menjadi syirik kerana bergantung kepada kekuasaan jin-jin kafir dan syaitan yang melakukan pekerjaan sihir tersebut.

924. Soalan : Sihir dan ilmu hitam sinonim dengan masyarakat melayu untuk tujuan merosakkan kehidupa orang lain kerana hasad dengki, adakah perbuatan yang sama berlaku dalam bangsa-bangsa lain juga?

Jawapan :

Ilmu Sihir adalah ilmu yang menggunakan khidmat jin-jin kafir dan syaitan atau dipanggil juga ilmu hitam. Ilmu ini telah wujud di zaman kerajaan Sulaiman a.s , kerajaan Firaun, zaman Rasulullah SAW sehingga zaman kita. Ilmu sihir bukan saja terdapat dikalangan masyarakat melayu tetapi semua bangsa ada ilmu sihir mereka masing-masing.

Masyarakat yang terkenal dengan penggunaan ilmu sihir adalah masyarakat orang asli yang mengamalkan penyembahan kepada semangat (jin kafir dan syaitan), masyaraakat beragama Budha di Thailand dan sebagainya. Hasad dengki menggunakan ilmu sihir juga berlaku dikalangan bangsa-bangsa lain tetapi tidaklah seteruk masyarakat melayu. Berlaku pergeseran sedikit saja sudah sanggup menggunakan bomoh apatah lagi jika musuhnya mendapat kejayaan di dalam bidang perniagaan atau pelajaran.

925. Soalan : Ustaz boleh cerita kisah teladan mengenai wanita yang mempunyai penyakit hasad dengki ini yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Jawapan :

Wanita yang terkenal dizaman Rasulullah SAW yang mempunyai penyakit hasad dengki adalah Ummu Jamil ( Isteri Abu Lahab) nama sebenarnya adalah Arwah binti Harb. Beliau akan diazab sebagaimana suaminya diazab di dalam neraka. Arwah binti Harb adalah saudara perempuan Abu Sofyan bin Harb. Dia diazab kerana usahanya menyebarkan fitnah dan memadamkan dakwah Nabi Muhammad SAW. Orang Arab mengatakan bahawa, orang yang berusaha menyebarkan dan merosak hubungan antara manusia adalah seolah-olah ia membawa kayu api antara manusia, seakan-akan dia membakar silaturahim antara mereka.
Adapula yang menyatakan bahawa isterinya itu menaruh duri, pecahan kaca dan kotoran pada jalan yang biasa dilalui oleh Nabi Muhammad SAW., untuk menyakiti baginda.

Isteri Abu lahab, rendah budinya dan jahat amal perbuatannya. Pada lehernya selalu ada seutas tali yang kuat, digunakannya untuk memikul duri-duri yang akan diletakkannya pada jalan yang dilalui Nabi. Ini adalah penghinaan untuk dia dan untuk suaminya.

Maksudnya, isteri Abu Lahab begitu hebat usahanya untuk menyalakan permusuhan antara manusia, sehingga Allah mengisahkan dia sebagai seorang perempuan yang membawa kayu bakar yang digantungkan pada lehernya kemana saja ia pergi. Ini adalah seburuk-buruknya perumpamaan bagi seorang perempuan.

Telah diriwayatkan dari Said bin Musayyab; bahwa Ummu Jamil (panggilan isteri Abu lahab) mempunyai sebuah kalung yang sangat mahal, ia berkata,: "Sesungguhnya saya akan mempergunakan harga kalung ini untuk memusuhi Muhammad", lalu Allah menggantikan kalung tersebut dengan kalung dari api neraka.

Tetepi selepas baginda S.A.W. diangkat menjadi Rasul, Ummu Jamil dan Abu Lahab menjadi orang yang paling kuat menentang Rasulullah S.A.W. Mereka juga bertindak menyuruh kedua-dua orang anaknya menceraikan isteri masing-masing.(anak-anak Rasulullah SAW)

Ternyata Utbah dan Utaibah berpihak kepada ibu dan ayah mereka. Berani pula Utaibah menunjukkan sikap kurang ajar kepada bekas bapa mertuanya. Dengan angkuh dan sombong dia mengherdik Rasulullah S.A.W. "Wahai Muhammad! Aku ceraikan puterimu dan aku tinggalkan agamamu. Aku tidak akan mengikutmu lagi."

Walaupun terguris hati dengan tindakan biadab itu, Rasulullah S.A.W. menerimanya dengan lapang dada. Semua kehendak Allah SWT. Allah SWT memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Akhirnya semua mereka Ummu Jamil, Abu Lahab dan kedua anak-anak mereka mati di dalam kehinaan dan kekafiran.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ (1) مَا أَغْنَى عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ (2) سَيَصْلَى نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ (3) وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ (4) فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِنْ مَسَدٍ (5)

Maksudnya : “Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa (1). Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan (2). Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak (3). Dan (begitu pula) istrinya, pembawa kayu bakar (4). Yang di lehernya ada tali dari sabut (5)”. (Surah Al Lahab (111) ayat 1-5).

No comments: