Monday, February 17, 2014

Tafsir Surah Taha Ayat 120-122

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,

Firman Allah SWT maksudnya," Kemudian syaitan membisikkan pikiran jahat kepadanya, dengan berkata: `Hai Adam, maukah saya tunjukkan kepada kamu pohon khuldi dan kerajaan yang tidak akan binasa?`(Surah Taha( 20) ayat 120)

Huraiannya :

Memang itulah yang diingini dan dicita-citakan oleh Adam dan isterinya Hawa, maka tanpa mengingat amanat Tuhannya bahwa Iblis itu adalah musuhnya yang ingin mencelakakannya dan bahawa dia dilarang Allah memakan buah khuldi itu, Adam dan Hawa memetik buah itu dan langsung memakannya dengan penuh harapan bahawa ia bersama isterinya akan hidup kekal di dalam syurga. Tidak lama setelah Adam dan Hawa memakan buah khuldi itu tampaklah oleh mereka aurat mereka masing-masing, padahal sebelum memakan buah khuldi itu tidak ada sedikitpun perhatian mereka terhadap aurat itu, lalu mereka merasa malu dan cepat-cepat memetik daun-daunan dalam syurga untuk menutupinya. Sebagian ahli tafsir berpendapat bahwa akibat memakan buah khuldi timbullah pada Adam dan Hawa dorongan (instink) seksual, kerana itu mereka merasa malu melihat aurat masing-masing. Demikianlah kerana didorong oleh keinginan yang sangat, Adam lupa akan amanat Tuhannya sampai ia melanggar perintah-Nya. Ia gagal menghadapi ujian Tuhannya, menjadi lemah tekad dan kemaunnya disebabkan godaan Iblis dan disebabkan godaan nafsu dan keinginannya sendiri dan jatuhlah dia ke jurang pelanggaran."

Firman Allah SWT maksudnya, "Maka keduanya memakan dari buah pohon itu, lalu nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun (yang ada di) syurga, dan durhakalah Adam kepada Tuhan dan sesatlah ia".(Surah Taha( 20) ayat 121)

Huraiannya :

Setelah menyadari bahwa ia dan isterinya telah melanggar perintah Allah dengan memakan buah khuldi ia pun menyesal atas keterlanjurannya itu, merasa kecewa kerana membenarkan saja bujukan Iblis yang sudah dijelaskan Tuhan kepadanya bahawa Iblis itu adalah musuhnya dan musuh isterinya. Kerana dia begitu cepat terpedaya dengan kata-kata manis dari musuhnya itu. Ia sangat khawatir terhadap nasibnya bersama isterinya kerana telah mendurhakai Tuhannya. Ia berdosa dan minta ampun atas kesalahannya itu seperti tersebut pada ayat: 

قالا ربنا ظلمنا أنفسنا وإن لم تغفر لنا وترحمنا لنكونن من الخاسرين 

Maksudnya : "Keduanya berkata: "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi" (Surah Al A'raf ayat 23)

Firman Allah SWT maksudnya, "Kemudian Tuhannya memilihnya, maka Dia menerima taubatnya dan memberinya petunjuk".(Surah Taha( 20) ayat 122)

Huraiannya :

Tuhan Yang Maha pengasih lagi Maha penyayang terhadap hambanya apalagi terhadap orang yang akan diangkat-Nya menjadi Khalifah di bumi tidaklah akan membalas keterlanjuran Adam memakan buah khuldi itu dengan menimpakan seksaan atas dirinya, dia di waktu itu dalam keadaan lupa dan terpedaya dengan bujukan musuhnya, memang dia telah melanggar perintah Tuhan-Nya dan Tuhan telah memerintahkan-Nya supaya dia jangan sampai terpedaya dengan musuhnya itu sehingga dia dikeluarkan dari syurga. Apalagi Adam dan isterinya sudah menyesali perbuatannya dan telah bertaubat meminta ampun kepada-Nya. Kerana itu Allah mengampuni dosanya dan memilihnya menjadi orang yang dekat kepada-Nya. Tetapi sebagai akibat dari melanggar perintah Tuhan, Adam dipersilakan keluar dari syurga dan turun ke bumi dengan demikian terlaksanalah ketetapan Allah bahawa Adam akan dijadikan Khalifah di muka bumi, sebagaimana tersebut di dalam firman-Nya: 

إني جاعلك في الأرض خليفة 

Maksudnya,"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seseorang Khalifah di muka bumi". (Surah Al Baqarah ayat 30)

Kesimpulannya : 

Sebelum Adam diciptakan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah Allah SWT jelaskan bahawa satu hari nanti Adam akan dilantik menjadi khalifah Allah SWT di muka bumi , ini bermakna terlupanya Adam dan isterinya adalah satu perancangan Allah SWT supaya Adam dan Hawa dapat dikeluarkan oleh Allah SWT dari syurga dan diturunkan kebumi untuk menjadi khalifah dan mentadbir bumi. Dari peristiwa ini dan daripada keturunan Adam dan Hawa melahirkan manusia yang memenuhi muka bumi sehingga ke hari kiamat. Setiap manusai yang hidup di dunia akan diuji oleh Allah SWT. Jika Adam dan Hawa diuji oleh Allah SWT (Kita tak boleh salahkan Adam saja sebagai suami dalam kes ini dimana peranan isteri untuk menasihati suaminya? ) masing-masing terlupa dan masing-masing tak bersalah.Kita juga akan diuji ketika di dunia. Terlalu banyak "buah-buah khuldi" disekeliling kita (larangan Allah) adakah kita akan makan juga "buah khuldi" walaupun buah tersebut larangan Allah SWT?

No comments: