Sunday, October 12, 2014

Pengertian Badal Haji (Upah Haji)

PENGERTIAN BADAL HAJI (UPAH HAJI) :

Badal ertinya “Ganti”, “Pengganti”, atau yang “Digantikan”. Oleh itu Badal Haji adalah menggantikan orang lain dalam melaksanakan ibadah haji kerana adanya halangan tertentu seperti penyakit, usia tua (uzur) atau kematian bagi melaksanakan kesemua Rukun Islam. Seperti yang dimaksudkan dalam Surah Al-Imran ayat 97:Maksudnya : “Disana terdapat ayat-ayat yang jelas dan ada makam Nabi Ibrahim,dan sesiapa yang memasuki nya amanlah dia.Hanya untuk Allahlah kewajipan haji atas manusia, iaitu bagi sesiapa yang mampu melakukan perjalanan ; dan sesiapa yang kafir (engkar) sesungguhnya Allah Maha Kaya dari seluruh semesta alam.”

DALIL BADAL HAJI (UPAH HAJI)

Soalan:

Adakah amalan mengupah haji bagi kaum keluarga yang telah meninggal dunia atau uzur dibolehkan di dalam agama Islam?

Jawapan : 

Terlebih dahulu biar saya sentuh serba ringkas tentang ibadah haji. Haji adalah salah satu rukun Islam. Ia disenaraikan bersama dengan mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan. Kefarduannya jelas berdasarkan al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w.

Firman Allah SWT maksudnya,  “(Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar akan kewajipan ibadah haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk).” (Surah Ali-Imran ayat 97)

Manakala sabda Baginda Rasulullah SAW. yang bermaksud: “Islam itu dibina atas lima perkara: Kesaksian bahawa tiada IIIah melainkan Allah dan Muhammad itu adalah Rasul Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji dan puasa (pada bulan) Ramadan)”. (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih).

Lantaran itu, jelas di sini bahawa ibadah haji wajib ke atas setiap muslim, baligh, berakal, merdeka, aman perjalanan dan berkemampuan. Satu syarat tambahan untuk wanita iaitu adanya mahram bersamanya.

Yang dimaksudkan dengan kemampuan ialah :

1. Memiliki bekalan yang mencukupi bagi perjalanan pergi ke Tanah Suci dan perjalanan pulang ke tanah airnya untuk dirinya dan perbelanjaan mereka yang di bawah tanggungannya semasa pemergiannya.

2. Pengangkutan yang sesuai.

Rasulullah SAW. pernah ditanya mengenai kemampuan untuk sampai kepadanya yang terdapat dalam ayat 97 surah al-Baqarah yang disebut di atas. Baginda telah menjelaskan maksudnya, ialah bekalan dan kenderaan.

Oleh itu, sesiapa yang telah memenuhi segala syaratnya, wajiblah ia mengerjakannya. Rasulullah SAW. telah mengingatkan dalam satu hadisnya bermaksud:

“Sesiapa yang memiliki bekalan dan kemudahan pengangkutan yang menyampaikannya ke Baitullah tetapi ia tidak berhaji, maka tiada halangan baginya untuk mati sebagai Yahudi atau Nasrani”. (Hadis Riwayat Tirmizi dan Baihaqi).

Kemampuan terbahagi kepada dua kategori :

1. Berkemampuan mengerjakan sendiri ibadah haji tersebut apabila mempunyai kemampuan kewangan dan tubuh badan yang sihat.

2.  Berkemampuan dengan bantuan orang lain apabila mempunyai kemampuan kewangan tetapi ada halangan kesihatan.

Apa yang disebut dan dikenali dalam masyarakat Melayu sebagai upah haji atau biasanya disebut badal haji adalah termasuk dalam kategori kedua. Iaitu ia berkemampuan mengerjakan haji dari segi kewangan dan syarat-syarat wajib yang lain tetapi tidak sempat melakukan ibadah haji kerana meninggal dunia atau mengalami keuzuran yang tidak memungkinkannya mengerjakan sendiri ibadah haji tersebut.Dalam kes sebegini, Islam mengharuskan ibadah hajinya dikerjakan oleh orang lain dengan pembiayaannya diambil daripada harta si mati atau orang yang mengalami keuzuran tersebut.

Apabila disebut upah, biasanya tidak terlepas dengan soal bayaran. Para ulama tidak sependapat mengenai hukum mengambil upah atau bayaran bagi amalan yang melibatkan ketaatan seperti ibadah haji, azan, mengajar al-Quran dan seumpamanya.

Imam Malik dan Imam Syafie mengharuskannya, walaupun ada ulama lain yang berpendapat sebaliknya. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW. bermaksud:

“Bayaran yang paling berhak kamu mengambilnya adalah mengajar Kitab Allah (Hadis Riwayat Bukhari).”

Apakah dalil-dalil keharusan mengerjakan haji untuk orang lain?

Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan keharusan mengerjakan haji untuk orang lain. Di antaranya:

1. Abdullah bin Abbas meriwayatkan bahawa seorang wanita dari Khas`am datang menemui Nabi SAW. dan berkata: “Wahai Rasulullah! Di antara amalan-amalan yang difardukan oleh Allah ke atas hamba-Nya ialah haji yang dikenakan ke atas bapa saya yang sudah tua dan tidak mampu menaiki kenderaan untuk melakukannya, bolehkah saya berhaji untuknya?” Jawab Rasulullah SAW.: ”Ya!” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

2.  Ibnu Abbas juga meriwayatkan bahawa wanita dari Juhainah datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Ibu saya bernazar untuk mengerjakan haji dan dia tidak mengerjakaannya sehingga meninggal dunia, bolehkah saya berhaji untuknya?” Jawab Baginda: ”Ya! Tunaikanlah haji untuknya. Pada pendapat kamu andainya ibu kamu mempunyai hutang, bukankah kamu yang melangsaikannya? Tunaikanlah hak Allah yang wajib atas kamu kerana hutang kepada Allah itu lebih wajar ditunaikan.” (Hadis Riwayat Bukhari).

3.  Ibnu Abbas juga meriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa saudara atau kerabat seorang yang bernama Syubrumah bertanya kepada Nabi SAW. bagi menunaikan haji untuknya, lantas Nabi SAW. bertanya: “Adakah kamu sudah menunaikan haji untuk dirimu sendiri?” Jawabnya: ”Tidak!” Sabda Baginda: ”Tunaikanlah untuk dirimu, kemudian tunaikanlah untuk Syubrumah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban.

4.  Imam Ahmad dan Nasai telah meriwayatkan daripada Abdullah bin Zubair katanya: “Telah datang seorang lelaki dari Khas`am kepada Nabi SAW. dan berkata: “Bapa saya telah memeluk Islam, sedangkan usianya sudah lanjut dan tidak berupaya menaiki kenderaan sedangkan haji wajib ke atasnya, adakah boleh saya menunaikan haji untuknya?” Rasulullah SAW. bersabda bermaksud: “Apakah kamu anaknya yang paling tua?” Jawabnya: ”Ya!” Rasulullah SAW  bersabda: ”Tunaikanlah haji untuknya.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Nasai).

5.  Hadis-hadis ini jelas menunjukkan keharusannya, malah wajib ditunaikan ibadah haji bagi sesiapa yang meninggal dunia, sakit yang tiada harapan sembuh atau tersangat lemah atau seumpamanya, jika ia telah memenuhi syarat-syarat wajib haji yang telah disebut. Andainya ia tidak mempunyai kemampuan kewangan, maka tidak wajib ia mewakilkan kepada orang lain.

Namun begitu, jika ada pihak lain yang ingin mengerjakan haji bagi pihaknya walaupun ia tidak berkemampuan, hukumnya juga harus. Seperti seorang anak yang ingin membiayai ibadah haji untuk ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka.

Seseorang yang ingin melakukan ibadah haji untuk orang lain hendaklah menunaikan haji untuk dirinya terlebih dahulu, seperti yang dinyatakan dalam hadis Syubrumah.

Tidak disyaratkan bagi mereka yang ingin mengerjakan ibadah haji bagi pihak orang lain itu dari kalangan kaum kerabatnya atau berasal dari tempat kelahirannya. Malah ia boleh dilakukan oleh siapa sahaja yang boleh mengerjakannya, walaupun dinyatakan dalam hadis Khas`am di atas daripada anaknya yang paling tua.

Faktor jantina juga tidak diberi perhitungan. Malah jelas daripada hadis wanita Khas`am, wanita telah diizinkan menunaikan haji menggantikan lelaki.

Siapakah yang paling afdal untuk mengerjakan haji bagi pihak si mati atau yang uzur tersebut?

Telah disebut sebelum ini, tidak berbangkit siapakah yang paling afdal.

Namun begitu, seorang anak digalakkan melakukan untuk kedua-dua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka .

Hal ini termasuk dalam perbuatan ihsan terhadap kedua-dua mereka sesudah kematian mereka, kerana berbakti kepada kedua-dua ibu bapa itu tidak terhenti semasa mereka masih hidup sahaja, malah berterusan selepas kematian mereka.

Selain itu, perlu diperingatkan bahawa seorang anak tidak boleh melakukan ibadah haji kepada kedua-dua ibu bapa mereka dalam satu masa.

Imam Daraqutni meriwayatkan daripada Zaid bin Arqam bermaksud :

“Jika seorang lelaki mengerjakan haji untuk kedua-dua ibu bapanya, diterima daripadanya dan kedua-duanya. Ia tercatat di sisi Allah sebagai kebajikan.” (Sunan Daraqutni).

Menyentuh aspek perbelanjaannya pula, siapakah lebih berperanan? Adakah diambil daripada peninggalan si mati atau sumber keluarga yang terdekat?

Sebagaimana yang diterangkan sebelum ini, kewajipan mengerjakan adalah ke atas mereka yang memenuhi syarat dan berkemampuan, bukan kepada yang lain.

Sekiranya mereka tidak sempat mengerjakannya atau berhalangan untuk mengerjakannya kerana faktor kesihatan yang menghalang mereka. Dengan itu perbelanjaan hendaklah diambil daripada harta mereka.

Oleh itu, dalam kes yang melibatkan si mati, sepatutnya sebelum harta peninggalannya diagihkan kepada ahli waris, hendaklah dikeluarkan dahulu kos untuk ibadah haji si mati.

Bagaimanakah sejarah mengupah haji pada zaman Rasulullah SAW. hingga para sahabat. Sila jelaskan?

Tiada maklumat berkaitan sejarah upah haji pada zaman awal. Yang ada hanyalah pertanyaan para sahabat mengenai boleh atau tidak dikerjakan haji untuk orang lain seperti yang disebut dalam hadis-hadis di atas.

Salah satu daripada hadis Ibnu Abbas di atas menyatakan pertanyaan itu berlaku semasa baginda melakukan ibadat haji wada` (haji selamat tinggal) pada tahun 10 Hijrah. Wallahu a'lam.

No comments: