skip to main |
skip to sidebar
Apakah Tujuan Dan Tugas Manusia Hidup Di Dunia Ini.?
Terdapat tiga persoalan yang perlu kita faham, hayati dan menjawab supaya kita tahu apakah fungsi dan tujuan sebenar kita di ciptakan oleh Allah SWT di muka bumi ini.
Tiga persoalan tersebut adalah seperti berikut :
1. Dari mana kita datang?
2. Apakah tujuan kita diciptakan di dunia?
3. Kemana kita akan pergi setelah kematian?
Huraiannya :
1. Dari mana kita datang?
Kita diciptakan oleh Allah SWT dari roh di alam arwah. Ketika ini apabila ditanya oleh Allah SWT siapakahTuhan mereka, maka semua roh menjawab Allah SWT sebagai Tuhan mereka.
Fitrah manusia pada asalnya adalah suka kepada kebaikan dan telah mengaku kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'alah di alam arwah lagi bahawa Dia adalah Tuhan yang Maha Esa.
Allah Subhanahu Wa Taa'la berfirman yang bermaksud : "(Allah bertanya pada roh) "Bukankah Aku Tuhanmu?". Roh menjawab: 'Ya', kami akui Engkaulah Tuhan kami." (Surah al ‘Araaf ayat 172)
Sebelum masuk ke badan kita roh sudah mengenal Allah SWT, bahkan sudah menyaksikan ketuhanan Allah dan sudah mengaku kehambaan pada Allah. Tetapi ketika dilahirkan ke dunia, roh dikurung dalam jasad lahir bersama-sama musuhnya nafsu dan syaitan.
Manusia barasal daripada tanah (ciptaan Nabi Adam a.s) , selepas ciptaan Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa, manusia diciptakan daripada air mani lelaki dan wanita selepas berlaku persenyawaan maka akan terbentuk janin di dalam kandungan perut ibunya. Apabila dilahirkan sahaja maka manusia telah memasuki alam dunia. Ketika inilah manusia diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai hamba Allah dan khalfah Allah dimuka bumi.
2. Apakah tujuan kita diciptakan di dunia?
Selama ini kita sering mendengar dari ulama yang menjelaskan bahwa tujuan hidup manusia adalah untuk beribadah kepada Allah SWT sebagaimana ayat surah az-Dzaariat ayat 56 menjelaskannya “ Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku”
Beribadah (menyembah) kepada Allah SWT dimaksud ialah menyembah(solat) kepada Allah, berpuasa, naik haji, berbuat kebaikan-kebaikan dan lain-lain lagi.
Kalau sudah menjalankan rukun Islam ini ramai menyangka bahawa mereka sudah merasa beragama dengan benar. Sesungguhnya bukanlah demikian menurut perintah Allah SWT. Penjelasan seperti diatas itu belumlah sempurna, sehingga hasilnya pun juga tidak sempurna. Seperti kita lihat masarakat Islam sekarang ini yang masih terbelakang.
Beribadah kepada Allah SWT bukanlah menyembah Allah SWT sahaja bukan menjalankan rukun Islam yang lima saja, dan berbuat kebajikan saja, tetapi maknanya jauh dari itu.
Beribadah kepada Allah SWT bermaksud melaksanakan semua perintah Allah SWT dan meninggalkan semua larangan-Nya dengan bersungguh-sungguh. Allah SWT adalah Raja di bumi dan di langit ini. Sebagai para hamba kepada Allah SWT maka manusia seharusnya patuh dan taat mengikuti semua peraturan-peraturan Allah SWT bagaimana cara hidup dan bagaimana cara berkerja di dunia ini.
Selain daripada menjadi hamba Allah SWT di dunia ini, kita juga telah dipilih oleh Allah SWT menjadi khalifah Allah SWT iaitu memakmurkan muka bumi ini dengan Islam dan undang-undang Allah SWT.
Firman Allah SWT maksudnya : " Sesungguhnya Aku akan menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi" (Surah al-Baqarah ayat 30).
Khalifah bermaksud menjadi wakil Tuhan untuk mengurus tadbir bumi dengan baik berpandukan peraturan dan ketetapan yang termaktub dalam AlQuran dan Sunnah Nabi SAW untuk kesejahteraan umat manusia sejagat sebagai "rahmatan lil 'alamin" . Tanggungjawab khalifah tidak diberi kepada makhluk lain kerana mereka tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.
3. Kemana kita akan pergi setelah kematian?
Apabila manusia meninggal dunia maka rohnya akan kembali ke alam barzakh . Alam barzakh adalah alam di antara dua alam iaitu alam dunia dan hari akhirat. Sesiapa pun tidak dapat menduga bilakah saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan 'menanti' saat kematian mereka.
Allah berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiya' ayat 35)
Apabila mayat dikebumikan dikubur, maka dia akan tinggal keseorangan melainkan yang akan menemaninya adalah amalannya ketika di dunia. Jika banyak amal solehnya maka dia akan merasa gembira dan berbahagia, tetapi jika dia membawa amalan dosa dan maksiat dan tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT maka dia akan berdukacita , sedih dan merasai amat takut untuk berhadapan dengan malaikat Munkar dan Nakir.
Malaikat yang menanyakan persoalan di amal barzakh adalah Malaikat Munkar Dan Nakir. Malaikat Munkar dan Nakir bertugas menanyai mayat dalam alam kubur tentang siapa Tuhannya, apa agamanya dan siapa nabinya. Sedangkan dalam suatu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah menjelaskan bahwa al-Qaulu as-Tsabit dalam al-Quran Surah Ibrahim ayat 27 adalah jawaban orang Islam terhadap pertanyaan Malaikat di dalam alam kubur.
Firman Allah SWT maksudnya : "Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh (al-Qaulu as-Tsabit) (dalam kehidupan ) di dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim, dan Allah berbuat apa yang Dia kehendaki" (Surah Ibrahim ayat 27)
Asbabun Nuzaul ayat 27 :
Al-Barra' r.a menyatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan tentang azab kubur dan keadaan yang terjadi di alam kubur. (Hadis Sahih Riwayat Nasai).
Selepas berlakunya hari kiamat maka semua makhluk Allah SWT samaada jin atau manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar. Ketika inilah proses keadilan bermula dan setiap manusia akan di adili seadil-adilnya di mahkamah Allah SWT dan dijalankan timbangan amal (Mizan). Selepas Mizan akan ada pula titian yang perlu dilalui untuk ke syurga iaitu Siratul Mustakim. Ada manusia yang berjaya melalui titian ini dan ramai yang kecundang hingga terjatuh ke gaung dibawahnya iaitu tempat terletaknya Neraka Jahanam dengan api yang menyala-nyala.
No comments:
Post a Comment