Thursday, February 5, 2015

Kemuskilan Agama : Khasiat Berbekam dan Makanan Sunah.

Soalan Ke Lima Puluh Sembilan : Berbekam adalah salah satu rawatan perubatan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Bolehkah ustaz nyatakan hadis-hadis yang menceritakan tentang kebaikan berbekam? Dan apakah makanan-makanan sunah yang baik untuk kesihatan?

Jawapan :

Amalkanlah berbekam kerana berbekam banyak menfaatnya untuk membuangkan darah kotor dalam badan kita. 
  
Terdapat banyak hadis mengenai bekam di antaranya ialah: 

1. Dari Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW bersabda;
"Kalian harus berbekam dan menggunakan al-qushtul bahri" 
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad) 

2. Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya dengan berbekam itu terdapat kesembuhan." (Lihat Mukhtashar Muslim, Shahiihul Jaami' dan Silsilah al-Ahaadiits ash-Shahiihah) 

3. Dari 'Uqbah bin 'Amir, Rasulullah SAW. bersabda: "Ada tiga hal yang jika pada sesuatu ada kesembuhan, maka kesembuhan itu terdapat pada hirisan alat bekam atau meminum madu atau dengan membakar di tempat yang sakit. Dan aku membenci pembakaran" (Hadis Riwayat Imam Ahmad) 

4. Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW. bersabda:"Barang siapa yang berbekam pada hari ke 17, 19 dan 21 (Kalender Hijrah), maka ia akan sembuh dari segala penyakit"
(Hadis Sahih Riwayat Sunan Abu Daud) 

5. Dari Abu Kabsyah al-'Anmari r.a., bahawa Rasulullah SAW. pernah berbekam di bahagian tengah kepalanya dan di antara kedua bahunya. Dan Baginda bersabda:
"Barangsiapa mengalirkan darah ini, maka tidak ada mudharat baginya untuk mengubati sesuatu dengan sesuatu" (Hadis Sahih Riwayat Abu Daud dan Jaami'ul Ushuul) 

6. Diriwayatkan oleh Ibnu Sunni dan Abu Nu'aim, Nabi Muhammad SAW. bersabda:
"Kalian harus berbekam di jauzatil qamahduwah, kerana sesungguhnya ia dapat menyembuhkan 70 penyakit" 

7. Dari Anas bin Malik r.a., dia bercerita: "Rasulullah SAW. biasa berbekam di bahagian urat merih (jugular vein) dan pada bahagian belakang. Baginda biasa berbekam pada hari ke 17, 19 dan 21".(Hadis Riwayat Tarmizi) 

8. Dari Ibnu 'Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda:  "Berbekam dalam keadaan perut kosong adalah yang paling baik, di mana ia akan menambah ketajaman menghafal. Ia akan menjadikan seseorang penghafal lebih mudah menghafal. Oleh kerana itu, sesiapa yang hendak berbekam, maka sebaiknya dia melakukannya pada hari Khamis dengan menyebut nama Allah. Hindarilah berbekam pada hari Jumaat dan Sabtu serta Ahad. Berbekamlah pada hari Isnin dan Selasa. Hindarilah berbekam pada hari Rabu kerana hari tersebut merupakan hari di mana Nabi Ayyub tertimpa malapetaka. Tidaklah timbul penyakit kusta dan lepra kecuali pada hari Rabu atau malam hari Rabu" (Hadis Sahih Riwayat Sunan Ibni Majah) 

9. Dari Anas r.a., dia bercerita: "Rasulullah SAW. bersabda: "Jika terjadi panas memuncak, maka neutralkannya dengan berbekam sehingga tidak berlaku darah tinggi pada seseorang dari kalian yang akan membunuhnya" (Hadis Riwayat al-Hakim). 

10. Dari Ibnu 'Abbas r.a., dia bercerita: "Nabi Allah SAW. bersabda: "Sebaik-baik hamba adalah tukang bekam, mengeluarkan darah dan meringankan tulang rusuk serta memperjelaskan pandangan." (Hadis Riwayat Ibni Majah)

11. Dalam hadis qudsi yang diriwayatkan oleh al-Tarmizi menyatakan ketika Nabi Muhammad dalam perjalanan Israk Mikraj, Baginda menemui malaikat yang menyuruh umat Islam menggunakan bekam untuk tujuan kesihatan,” katanya.

Makanan Sunah :

Makanan kesihatan (makanan sunah) yang sentiasa digunakan oleh Rasulullah SAW adalah madu, habbatus sauda', buah delima dan kurma. 

Hasiat Madu : 

Firman Allah SWT naksudnya : “Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan.” (Surah An-Nahl ayat 69)

Rasulullaah SAW bersabda maksudnya : “Ambillah / pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Quran.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

“Sungguh seorang datang pada Nabi SAW dan berkata saudaraku sakit perut, maka bersabda Rasul SAW : Beri ia madu. Lalu ia datang lagi mengadukan saudaranya masih sakit, Rasul SAW bersabda : beri ia madu. Lalu ia datang ketiga kalinya (saudaranya masih sakit) dan Rasul SAW bersabda : beri ia madu. Orang itu berkata : sudah kuperbuat (dua kali) namun tidak sembuh. Rasul SAW bersabda : beri ia madu, sungguh Maha Benar Allah dan jangan kau didustakan oleh perut saudaramu. Maka orang itu memberi saudaranya madu (yg ketiga kali) dan ia sembuh.” (Hadis Shahih Riwayat Bukhari)
  
Hasiat Habbatus Sauda' : 

Diriwayatkan dari Aisyah r.a, beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
"Sesungguhnya Al-Habbatus Sauda' boleh menyembuh segala penyakit kecuali Al-Sam". Aku bertanya. "Apakah Al-Sam itu? Baginda menjawab, "Al-Sam itu ialah maut" (Hadis Riwayat  Bukhari.)

Daripada Buraidah katanya, Rasulullah S.A.W bersabda: "Pada Habbatus Sauda' terdapat ubat segala penyakit kecuali mati".(Hadis Riwayat Abu Nu'aim dalam kitab Al-Tibb dalam himpunan hadis-hadis sahih no. 1819.)

Buah Delima :

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Buah delima dan kulitnya memperkuat pencernaan di perut.” (Hadis Riwayat Abu Nu’aim dan Al-Jauzi)

Kurma Ajwa :

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :

"Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : "Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu".

Khasiat kurma "Ajwah" sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

No comments: