Sunday, August 23, 2009

Nikmat dan Azab Seteguk Air.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ulama sufi Syaqiq al-Balkhi pernah berkata kepada Khalifah Harun ar-Rasyid yang memimpin kerajaan Bani Abbasiah, " Wahai khalifah! Sekiranya tuan berada di tengah padang pasir yang luas terbentang dalam kepanasan yang membakar kulit. Ketika itu tuan berasa haus yang amat sangat. Jika tuan tidak mendapat minuman, sudah tentu tuan akan ditimpa kebinasaan. Tiba-tiba datang seorang yang menawarkan air. Berapakah yang tuan sanggup bayar untuk air itu?"

"Apa sahaja yang dikehendaki olehnya, aku akan bayar." jawab Khalifah Harun ar-Rasyid.

Saqiq bertanya lagi, "Jika orang itu meminta separuh dari kerajaanmu, bagaimana?

"Aku akan penuhi permintaannya itu." jawab Khalifah Harun ar-Rasyid.

"Baiklah, sekaran khalifah telah selamat dari maut kerana mendapat seteguk air. Seandainya air yang tuan minum itu tiba-tiba tidak boleh keluar (buang air kecil) dan jika dibiarkan akan menyebabkan kematian. Lalu datang seorang pakar yang sanggup mengubatinya, tetapi dia juga meminta bayaran yang sangat tinggi iaitu separuh dari kerajaan tuan yang masih ada. Adakah khalifah akan setuju?" soal Syaqiq.

Jawab Khalifah Harun, "Tentu aku setuju."

Kata Syaqiq, " Sekarang khalifah telah tahu nilai kerajaan yang khalifah tadbir sekarang ini boleh dibeli dengan seteguk air. Jadi, kenapa kita masih bermegah dengan kemewahan serta kekayaan yang kita miliki. Sedangkan Allah tak nilai itu semua."

"Bukankah besar dan mahalnya nikmat kesihatan yang dianugrahkan oleh Allah kepada setiap makhluk-Nya?.Oleh itu, jadilah kita hamba yang bersyukur." Syaqiq mengakhiri nasihatnya.

Sahabat yang dimuliakan,
Untuk mengambil pelajaran daripada kisah di atas maka kita sebagai hamba Allah SWT yang diberikan berbagai-bagai nikmat, rezeki dan sebagai manusia yang sempurna anggota tubuh badan perlulah bersyukur dan berterima kasih kepada Allah SWT. Tanda kita bersyukur dan mengucapkan terima kasih perlulah kita mematuhi segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan semua larangan-Nya.


No comments: