بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
“Satu dirham mengatasi seribu dirham.”
Para sahabat bertanya, “Bagaimana berlaku demikian, ya Rasulullah?”
Rasulullah SAW. menjawab, “Seorang lelaki ada dua dirham, lalu disedekahkannya satu dirham yang paling baik. Seorang kaya mengeluarkan dari hartanya yang banyak dan disedekahkan seribu dirham. Maka satu dirham itu lebih baik.”(Dari Abu Hurairah r.a. Hadis Riwayat Nasa' i 2481 dan Ahmad 8575 Hadis Hasan)
Mata wang dirham adalah mata wang yang lumrah digunakan di zaman Rasulullah SAW. Dari hadis diatas dapat kita mengambil pengajaran bahawa sumbangan si miskin walaupun kecil tetapi besar bagi si miskin kerana ia memerlukan wang tersebut untuk menyara kehidupannya, dia terpaksa berlawan dengan perasaan dan rasa hatinya sendiri dan sanggup memberikan sedekah tersebut dengan rasa ikhlas dan takwa .
Sebaliknya si kaya tidak merasai apa-apa kesulitan walaupun dia bersedekah sebanyak seribu dirham, kerana harta yang ia miliki jauh lebih banyak daripada apa yang disedekahkan.
Oleh itu Allah SAW. menilai bukan pada jumlah sumbangan tetapi ianya dinilai daripada sejauhmana pengorbanan dan kesusahan yang terpaksa ia lalui untuk memberi sumbangan. Itulah sebabnya kenapa satu dirham mengatasi seribu dirham.
Sahabat yang dikasihi,
Sifat cintakan harta boleh menjangkiti siapa sahaja tanpa mengenal orang miskin atau kaya. Berlatihlah bersikap dermawan sewaktu miskin, walaupun menderma seringgit mungkin seringgit yang kalian dermakan nilainya melebihi seribu ringgit. Sekiranya amalan mulia ini diteruskan, percayalah kalian akan bersikap dermawan sewaktu kaya nanti.
Didalam satu wasiat Nabi SAW kepada Saidina Ali k.w mengatakan bahawa dipintu syurga ada tertulis bahawa orang yang bakhil tidak dibenarkan masuk kedalam syurga.
Sekiranya kalian membiarkan diri bersikap bakhil, kemungkinan penyakit bakhil itu akan terus kekal sewaktu kalian kaya nanti. Keadaan ini telah berlaku kepada Qarun yang hidup di zaman Nabi Musa a.s. semasa miskin beliau berjanji pada Nabi Musa a.s. bahawa beliau akan bersedekah dan menggunakan harta kekayaannya untuk membela agama Allah SWT. Tetapi berlaku sebaliknya, bahawa Qarun telah menggunakan harta kekayaannya untuk memfitnah baginda, sombaong dan tidak mahu membayar zakat, akhirnya Allah SWT benamkan beliau dan hartanya keperut bumi.
Oleh itu rebutlah peluang untuk bersedekah dan menyumbang sementara harta dan umur masih ada. Kalian tidak tahu, mungkin esok kalian jatuh miskin atau kembali kepada Allah SAW dan tidak berkesempatan untuk bersedekah.
No comments:
Post a Comment