بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, kita sudah sampai 17 Ramadhan, tarikh ini dipanggil Nuzul al-Quran iaitu masa al-Quran diturunkan kepada Junjungan Besar Rasulullah SAW. Sehingga ke saat ini kita telah melaksanakan ibadah puasa selama 17 hari.
Kita sedang berada dipenghujung fasa kedua iaitu Pengampunan dari Allah SWT. dan akan memasuki fasa terakhir iaitu Pembebasan dari api neraka.
Marilah kita bermuhasabah dan memerhatikan kualiti ibadah puasa yang kita laksanakan dan amalan ibadah-ibadah yang lain. Adakah ibadah puasa yang dilakukan pada zahir dan batin iaitu puasa dalam erti sebenarnya?. Sekiranya kita dapat menjaganya dan mengawal hati, nafsu dan keinginan lahiriah maka kita telah berjaya meningkatkan kualiti ibadah puasa iaitu darisegi zahir dan batin.
Puasa pada hati iaitu menghidupkan hati dengan zikrullah, mengingati Allah, meningkatkan iman, takwa, tawakkal, tawaduk, sabar dan membuangkan sifat-sifat mazmumah (sifat –sifat yang dikeji seperti hasad dengki, iri hati, sombong , takbur dan buruk sangka).
Puasa pada nafsu tidak makan dan minum disiang hari dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dan tidak makan dan minum berlebihan ketika berbuka. Kontrol nafsu makan dan tidak melakukan pembaziran.
Puasa pada pancaindera iaitu menjaga mulut, mata, telinga dan anggota lain supaya tidak melakukan sesuatu yang ditegah oleh syarak.
Darisegi ibadah yang lain pula berjalan dan berterusan secara konsistan iaitu solat tarawih, solat duha, solat tahajjud, solat taubat,solat hajat, membaca al-Quran, mendengar tazkirah Ramadan, sedekah , bermunajat, berdoa dan berzikir . Tidak ada ruang langsung untuk membuang masa yang sia-sia.
Sekiranya apa yang dinyatakan diatas terdapat didalam puasa kita dan perlaksanaan ibadah-ibadah yang lain, memenuhi ciri-ciri tersebut insya Allah kita mempunyai puasa yang berkualiti seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Sahabat yang dimuliakan,
Dalam fasa kedua ini Allah SWT. menerima dan memberi pengampunan kepada hamba-hamba-Nya yang merayu , berdoa dan memohon keampunan dari-Nya. Apakah ada tanda-tanda atau kesan dari fasa kedua ini yang telah memberi kesan pada kita?
Tanda Allah SWT.menerima dan mengampuni hamba-hamba-Nya ialah ia merasakan dalam hati tidak mahu lagi melakukan dosa-dosa samaada besar atau kecil, menginsafi akan kesalahan-kesalahan lama yang ia telah lakukan dan terus merasai seronok dengan amal ibadah, zikrullah dan amal soleh. Dalam hati dan jiwanya merasai bahawa hidup didunia hanya sementara dan kehidupan dihari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Didalam fikirannya terbayang-bayang kehidupan di syurga yang penuh nikmat dan juga azab Neraka yang amat dahsyat sekali. Perasaan ini akan menjadi sebagai pendorong dan motivasi untuk ia terus meningkatkan amal soleh dan meninggalkan amal yang buruk dan berdosa.
Sahabat yang dihormati,
Setiap kali berdo’a dan bermunajat teruskan memohon ampun kepada Yang Maha Pengampun, kerana sifat ini amat disukai oleh Allah s.w.t. Dan kalau Allah SWT menyukai kita, akan diberi-Nya rahmat dan nikmat seluas-luas-nya dan akan dibebaskan kita daripada siksaan api neraka.
Amalkanlah membaca doa ini sebelum membuat sebarang permohonan kepada Allah SWT. agar diterima oleh-Nya.(Dari Kitab 101 Doa daripada Hadis-hadis Sahih- Us. Zahazan Mohamed)
“Ya Allah, ampunkanlah bagiku amalan yang telah kukerjakan dan apa yang akan kukerjakan, sesuatu yang aku sembunyikan dan sesuatu yang aku nyatakan, sesuatu yang tidak sengaja kulakukan dan sesuatu yang Engkau lebih mengetahuinya daripadaku. Engkaulah yang terawal dan Engkau yang terakhir, tiada Tuhan selain Engkau.”
“Ya Allah, aku pohon perlindungan daripada azab api neraka dan azab kubur dan fitnah kehidupan dan kematian dan fitnah al-Masih al-Dajjal.”
“Ya Allah, aku pohon perlindungan daripada dosa dan hutang.”
“Ya Allah, aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang besar dan tidaklah dapat mengampunkan aku melainkan Engkau, maka ampunilah aku dengan keampunan daripada-Mu dan rahmatilah aku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Sahabat yang dikasihi,
Persiapkanlah dirimu untuk masuk fasa terakhir.Nabi SAW sendiri apabila masuk sahaja 10 hari terakhir begitu sibuk sekali, baginda mengikat kain sarungnya (tidak mendekati isteri-isteri baginda) kerana terlalu sibuk dengan ibadah lebih dari masa-masa lain. Dibangunkan isteri dan anak-anaknya agar menghidupkan malam-malam ini dengan berikhtikaf di masjid dan memperbanyakkan berdoa, bermunajat, membaca al-Quran, solat dan berzikir. Kerana didalam malam-malam 10 hari terakhir terdapat malam Lailatul Qadar iaitu malam yang penuh berkah dan lebih baik daripada 1000 bulan.Mengutamakan pada malam-malam ganjil.
Malam Lailatul Qadar berlaku serentak seluruh dunia, malam yang penuh berkah ini bermula dari masuk waktu magrib sehingga terbit fajar (masuk waktu subuh). Menurut pendapat ulama’ diantara waktu magrib hingga subuh terdapat beberapa saat waktu kemuncak Lailatul Qadar masanya diantara jam 2.00 pagi hingga jam 5.30 pagi. Waktu ini adalah waktu mustajab do’a dan turun ketika ini malaikat Rahmat. Alangkah bahagianya apabila datang malaikat Rahmat tersebut pada waktu dan saatnya kita sedang berdo’a, bermunajat, membaca Al-Qur’an atau sedang solat sunnat.
Oleh itu selepas solat tarawih, tidurlah awal sedikit dan berikhtikaf di masjid , dengan tidur awal untuk menghilangkan rasa mengantuk dan memberi kekuatan pada badan dan bangun diawal pagi dan teruskan ibadah sehingga solat subuh.
Sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga Ramadan kali ini adalah Ramadan yang terbaik yang pernah kita lalui. Peningkatan darisegi ibadah, meninggalkan semua perkara-perkara yang membatalkan puasa dan pahala puasa. Yang nikmatnya kita perolehi di Ramadan kali ini kita mememui dan menghayati dimalam Lailatul Qadar.
Permintaan saya pada kalian semua jangan lupa semasa kalian berdoa , tolong doakan saya supaya saya sentiasa sihat walafiat dan mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah SWT. dan dapat meneruskan tugas dan amanah yang diberikan-Nya kepada saya.
Saya juga akan memasukan dalam doa saya untuk kesejahteraan dan kebahagiaan kalian semua dan semoga kalian sentiasa beriman, bertakwa dan kekal didalam deen Islam dan diredai oleh Allah SWT .di dunia dan akhirat. Amin yarabbul alamin.
No comments:
Post a Comment