بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Orang-orang yang beriman dan bertakwa dan mengerjakan amal soleh ketika di dunia akan dikurniakan syurga oleh Allah SWT. Sebaliknya orang-orang yang melakukan perbuatan dan amal kejahatan dan maksiat akan diberi hukuman dan balasan oleh Allah SWT. dengan neraka. Setiap manusia akan dimasukkan salah satu tempat ini samaada syurga atau neraka bergantung kepada amalan masing-masing, semasa hidup didunia dan mereka boleh membuat pilihan tanpa ada paksaan.
Selagi di dunia belum berlakunya hari kiamat maka pintu taubat masih terbuka luas untuk manusia yang melakukan kesalahan dan dosa untuk bertubat dan memohon ampun kepada Allah SWT. Tetapi apabila saat kematiannya sudah hampir tiba sekiranya nyawanya sudah sampai kehalkum ketika nazak, maka pintu taubat sudah tertutup, tidak berguna lagi penyesalannya ketika itu. Allah SWT memberi ruang masa yang cukup banyak di dunia ini kepada manusia untuk ia sentiasa beristighfar, bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT .sebelum saat kematian.
Salah satu Rukun Iman adalah percaya kepada hari kiamat. Masa datangnya hari kiamat tidak ada seorang manusia pun di dunia ini yang tahu bilakah berlakunya, hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui bilakah saatnya akan berlaku.
Apabila sampai saatnya nanti Allah SWT. akan memerintahkan Malaikat Israfil untuk meniup sangkala maka pada waktu itu seluruh alam semesta, manusia dan makhluk yang lain akan hancur binasa dan suasana ketika itu berlaku dengan amat dasyat sekali.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan (ingatlah) hari (ketika) ditiup sangkala, maka terkejutlah segala yang ada dilangit dan segala yang dibumi, kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Dan semua mereka datang menghadapi-Nya dengan merendahkan diri.”
(Surah an-Naml ayat 87).
Sesudah sangkala ditiup, semua manusia berada dalam kadaan huru hara dan sangat terkejut, setiap orang membawa diri masing-masing untuk menyelamatkan diri sendiri.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkala yang kedua) pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dan dari ibu bapanya, dan dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.” (Surah ‘Abasa ayat 33 – 37)
Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Hai manusia bertakwalah kepada Tuhanmu, sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadiaan yang sangat besar (dahsyat). (Ingatlah) pada hari (ketika) kamu melihat kegoncangan itu lalailah wanita yang menyusui anaknya dari anak yang disusuinya dan gugurlah kandongan segala wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangat keras.” (Surah Al-Hajj ayat 1 -2).
Sangat hebat dan kacaubilau akan terjadi kelak di hari kiamat, dan itu hanyalah baru sebagai permulaan percubaan bagi manusia, dan melihat kepada amal masing-masingnya selama di dunia ini.Oleh itu ambillah iktibar dan menjadi keinsafan dan peringatan bagi kita apa yang dinyatakan Allah didalam al-Quran.
Setelah habis masa kiamat itu dan entah berapa lama masa huruhara, sehingga tidak ada satupun dari makhluk yang tinggal di dunia, hanya Zat Allah yang Wahidul Qahhar. Kemudian Tuhan mengadakan pula hari Mahsyar, iaitu hari Kebangkitan.
Malaikat Israfil dihidupkan kembali lantas meniup sangkakala kedua dan demikian maka terjadilah Padang Mahsyar. Semua makhluk dihidupkan dan berdiri kembali dari kubur masing-masing. Dan bagaiman hebat dan dahsyat penanggungan serta huru hara dihari itu, ketika ini semua makhluk sejak Nabi Adam dilahirkan sehingga kepada manusia yang terakhir diadakan. Semua ini akan dihimpunkan di PadangMahsyar itu, sesak dan padat makhluk di Padang Mahsyar itu sedang matahari dihampirkan diumbun-umbun, yang menyebabkan mengeluarkan peluh masing-masing sampai ada yang menengelamkan sebahagian mereka di hari Mahsyar itu.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Berpancaran peluh manusia di hari kiamat (di Padang Mahsyar) nanti kerana sangat huru hara yang mereka alami dan rasai, sehingga mereka tenggelam didalam peluh mereka yang telah mengalir.”
Sehari di Padang Mahsyar sama dengan 1000 tahun lamanya menurut perhitungan sekarang. Segala peristiwa dan kesengsaraan yang dialami ketika di Padang Mashyar amat dahsyat sekali yang akan dialami oleh orang-orang kafir dan mereka yang melakukan maksiat dan dosa ketika di dunia dan tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT.
Perlulah setiap diri mempersiapkan dirinya untuk kesenangan hidup di hari kemudian, tanpa melupakan bahagiannya didunia. Hari kiamat besar adalah merujuk kepada hancurnya dunia ini, tetapi hari kiamat kecil adalah hari kematian seseorang didunia ini. Apabila meninggal dunia seorang manusia maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya.
Oleh itu kita hendaklah menjadikan ayat-ayat Allah dan hadis Nabi SAW di atas yang menceritakan tentang kisah hari kiamat dan perhimpunan di Padang Mahsyar sebagai pengajaran untuk menginsafkan diri kita supaya sentiasa taat dan patuh kepada suruhan Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya.
No comments:
Post a Comment