Tuesday, September 1, 2009

Mohonlah Keampunan dari Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. kerana kita masih dihidupkan dan dapat bernafas dibulan yang penuh keberkataan, sedang meneruskan ibadah puasa. Ketika ini semua pintu-pintu syurga dibuka luas dan semua pintu-pintu neraka ditutup rapat. Telah berlalu fasa pertama iaitu permulaannya rahmat dan kita masuk fasa kedua iaitu pengampunan daripada Allah SWT.

Rahmat Allah SWT. terlalu luas keatas semua makhluk yang ada dimuka bumi ini, dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya. Allah SWT memasukkan jin dan manusia kedalam syurga-Nya bukanlah kerana banyaknya amal ibadah atau banyaknya pahala yang dihimpun ketika didunia, tetapi Allah SWT. memasukkan kedalam syurga pada hamba-hamba-Nya adalah kerana rahmat-Nya.

Sekiranya ditimbang seluruh amal kebaikan dan pahala kita ketika hidup didunia berbanding sebiji nikmat mata yang Allah SWT. kurniakan, maka sebiji mata itu lebih berat daripada amalan kita.Kita tidak akan mampu nak balas nikmat-nikmat Allah ini. Allah SWT akan memberikan rahmatNya hanya kepada mereka yang beramal soleh ketika hidup di dunia.

Sebenarnya tanpa kita sedari semua yang berlaku di atas muka bumi ini adalah diatas rahmat Allah SWT. Kekuatan kita meneruskan ibadah puasa dan amalan ibadah yang lain, kesihatan badan yang baik, rezeki yang bertambah, terhindar dari bala dan musibah, keharmoniaan hidup berkeluarga dan lahir kasih sayang dan tidak berlaku huru hara dan pergaduhan dalam masyarakat dan lain-lain lagi semuanya adalah kerana rahmat Allah.

Oleh itu kita tidak boleh sombong dan takbur dengan Allah SWT. Rahmat Allah akan terus dikurniakan-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa dan tidak diberikan kepada mereka-mereka yang sombong dan takbur.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai seorang hamba kepada Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, tidak ada permohonan yang lebih besar dari permohonan keampunan dari segala noda dan dosa. Setiap satu dosa yang kita kerjakan akan terjadi satu titk hitam pada hati-hati kita. Apabila terlalu banyak dosa yang dilakukan secara sedar atau tidak maka titik-titik hitam itu akan menjadi banyak hingga hati itu menjadi hitam pekat. Apabila hati sudah menjadi hitam maka selaput inilah yang menjadi hijab kepada Allah SWT.

Hati yang kotor ini tidak akan menjadi gementar apabila disebut nama Allah SWT dan tidak akan bertambah imannya apabila dibacakan ayat-ayat Allah. Hati ini tak rasa takut bila mendengar siksaan-siksaan di neraka. Untuk mensucikan hati-hati yang hitam ini tidak ada jalan lain melainkan dengan zikrullah, membaca al-Quran, berdoa, bermunajat, beribadah dan bertaubat kepada Allah SWT. Apabila bersih saja daki-daki hitam di hati, hati akan menjadi jernih, puth, bersih, maka akan terbinalah iman dan takwa didalam hati tersebut.

Di fasa kedua ini di dalam bulan yang mulia, perbanyakkanlah memohon ampun diatas segala kejahilan , kesalahan dan perbuatan yang terlanjur yang kita lakukan. Dosa mulut banyak mengumpat , berbohong dan menyakitkan hati orang, dosa mata melihat aurat wanita , dosa telinga mendengar berita fitnah dan mengumpat. Dosa tangan menulis berita yang tak sahih. Dosa dengan manusia kita perlu meminta maaf kepada orang-orang yang kita lakukan kesalahan, seperti suami, isteri, ibu bapa, jiran, saudara mara dan rakan-rakan.

Dosa dengan Allah SWT juga banyak kita lakukan tanpa kita sedari. Dosa tidak menjalankan amal ma'aruf nahi mungkar, kita biarkan maksiat didepan mata tanpa kita berusaha mencegahnya, tidak ada usaha untuk menyampaikan dakwah kepada orang jahil, kelalaian kita tidak mendidik dengan sempurna isteri dan anak-anak kerana kesibukan kita dengan aktiviti lain, malas untuk menuntut ilmu, melambat-lambatkan waktu solat dan tidak mengerjakannya secara berjemaah di masjid, tidak menjaga adab-adab puasa yang boleh mengurangkan pahala puasa, membazirkan masa dan harta kejalan yang tidak bermanfaat, menonton filem dan mendengar lagu-lagu yang melalaikan , pergaulan bebas dengan lelaki dan wanita yang bukan mahram dan banyak lagi dosa-dosa lain yang kita telah melakukannya.

Sahabat yang dikasihi,
Ingatlah! Bahawa sesungguhnya hawa nafsu manusia menjadi penghalang di antara manusia dengan Allah SWT. Hawa nafsulah yang menebar kesuraman, menghalang penglihatan dan mengkaburkan arah tujuan, hawa nafsu tidak dapat ditundukkan dengan kata-kata saja tetapi hawa nafsu dapat ditewaskan dengan takwa. Ianya dapat dilemahkan dengan rasa takut kepada Allah SWT. dan terus menerus muraqabah terhadap-Nya baik dalam keadaan sunyi dan terang-terangan.

Natijah dari ibadah puasa yang ikhlas akan melahirkan takwa, dan takwa juga adalah lahir dari keimaman yang kukuh, keimanan yang selalu dipupuk dengan maraqabatullah, merasa takut terhadap murka dan azab-Nya, dan selalu berharap limpahan kurnia dan rahmat-Nya.

Dengan takwa ini akan menjadi sumber segala kebaikan dalam masyarakat, sebagai satu-satunya cara untuk mencegah kerosakan, kejahatan dan kekusutan. Takwa merupakan asas utama dalam pembinaan jiwa dan akhlak seseorang dalam rangka berhadapan dengan fenomena kehidupan. Dia dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, serta bersabar di atas segala ujian dan cubaan. Itulah hakikat takwa.

Sahabat yang dihormati.
Teruskanlah berpuasa dengan ikhlas dan pertingkatkan amal-amal ibadah dengan bersungguh-sungguh. Untuk membaiki dan meningkatkan amal soleh kita, perlulah kita laksanakan tujuh amalan sunnah Nabi SAW. yang tidak pernah Nabi SAW. meninggalkannya.

Pertama : Solat malam (solat tahajjud dan solat witir dan lain-lain lagi. Ketika bulan Ramadan Nabi s.a.w tidak pernah meninggalkan solat tarawih)
Kedua : Solat duha.
Ketiga : Membaca al-Quran.
Keempat : Solat fardu berjemaah di masjid.
Kelima : Beristighfar (100 kali sehari)
Keenam : Sentiasa berwuduk.
Ketujuh : Bersedekah.

Dibulan Ramadan Nabi SAW. akan melaksanakan amal ibadah dengan berlipat kali ganda banyaknya.Oleh itu perlulah kita mempertingkatkan amalan ibadah kita sebagaimana yang dilaksanakan oleh baginda Nabi SAW.

Jangan ditinggal solat tarawih, solat tahajjud, solat witir, solat taubat, solat hajat, solat duha, membaca al-Quran, sentiasa beristighfar, solat berjemaah di masjid, sentiasa berwuduk dan bersedekah. Pertingkatkan juga dengan menghadiri majlis ilmu, tazkirah Ramadan, tadarus al-Quran dan iftar (berbuka puasa) bersama-sama di masjid atau di surau.

Sekiranya berkemampuan adakanlah sekurang-kurangnya sekali iftar dirumah menjemput ahli keluarga, jiran dan sahabat-sahabat dan solat berjemaah bersama, dengan ini boleh merapatkan hubungan silaturahim dan membina ukuwah Islamiyah. Seseorang yang memberi makan dan minum orang berpuasa, mendapat dua pahala iaitu pahala memberi jamuan dan pahala orang yang berpuasa.

Akhirkata, jangan sia-siakan fasa kedua ini iaitu pengampunan daripada Allah SWT  minta dan mohonlah keampunan dengan bersungguh-sungguh kepada Allah s.w.t. hingga menitiskan air mata penyesalan diatas dosa-dosa yang telah dilakukan.

No comments: