بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Setiap hamba pada hari kiamat tidak akan mengorak langkah menuju ke mana-mana selagi dia belum selesai disoal-siasat tentang empat perkara :
Pertama : Tentang umurnya di manakah dihabiskan sewaktu di dunia dahula?
Kedua : Masa remajanya, bagaimana dia menghadapi ujian di waktu itu?
Ketiga : Tentang harta, dari mana dia perolehi dan bagaimana dia membelanjakannya?
Keempat : Tentang ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmu itu?"
(Hadis Riwayat Muaz bin Jabal r.a.)
Ketika di hari kiamat nanti soal siasat yang pertama diajukan adalah umur yang dihabiskan di dunia. Adakah umur ketika di dunia banyak dihabiskan untuk mengerjakan amal soleh atau mengerjakan maksiat atau masa berjalan dan habis begitu sahaja tanpa di isi dengan kerja-kerja yang berfaedah.
Ingatlah masa itu adalah kehidupan, tidak berlalu masa itu melainkan habis kehidupan kita, dan ianya tidak boleh digantikan lagi selama-lamanya.
Oleh itu apa yang boleh kita lakukan adalah kita merancang dengan penuh hati-hati dan bertanggungjawab untuk masa sekarang dan akan datang agar masa dan umur kita dapat dimanfaatkan tanpa mengalami kerugian. Pergunakanlah sepenuh masa dan tenaga yang ada untuk melaksanakan amal ibadah dan amal soleh untuk mencari keredaan Allah SWT.
Remaja Muslim yang sepenuh masa menuntut ilmu semestinya berhati-hati menguruskan masa. Tidak boleh membiarkan masa berlalu dengan sia-sia atau yang dimurkai Allah. Alangkah ruginya kita jika tidak dapat menyelamatkan diri bila berhadapan dengan Allah nanti.
Ujian semasa muda juga agak berat kerana ketika inilah darah muda sedang membara dan naluri semula jadi remaja ingin mencari pasangan hidup yang serasi atau ingin berpoya-poya dahulu sebelum memasuki alam perkahwinan. Amat malang apabila mereka ingin mencuba sesuatu perbuatan maksiat yang membawa kepada dosa besar. Ketika inilah ramai para remaja tewas, tidak dapat mencari nilai kebahagiaan sebenarnya. Kenapakah hadis Nabi SAW mengkhususkan masa remaja dan ujian diwaktu itu ?
Kalau kita perhatikan gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang banyak berlaku dikalangan muda mudi Islam sebagai contoh penagihan dadah, kes buang anak, bohsia, bohjan, mat rempit, kes ragut, perzinahan, gengsterism dan minum arak dan berbagai-bagai lagi, adalah disebabkan para remaja tidak di tarbiyyah dengan asas agama yang kuat, dan mudah terpedaya dengan nafsu muda dan hasutan syaitan.
Sepatutnya ketika usia remaja, mereka melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang berguna, ilmu agama, kemahiran dan menghiasi diri dengan akhlak yang mulia dan amal-amal soleh kerana persiapan yang sempurna nanti sebagi pengganti generasi yang terdahulu sebagai pemimpin dan pendidik yang berfikiran jauh. Sesungguhnya kejayaan dan kejatuhan sesuatu umat bergantung kepada kekuatan pemuda dan pemudinya, bila baik dan kuat dari segi akhlak, keimanan dan pengetahuan maka akan baik dan majulah sesuatu umat itu. Sebaliknya apabila runtuh akhlak dan keperibadian mereka maka umat itu akan runtuh dan amat sukar untuk dibangunkan semula.
Sahabat yang dimuliakan,
Harta kekayaan yang kita miliki akan ditanya di hari akhirat nanti, dari mana diperolehi dan kemana dan bagaimana ianya di belanjakannya.Oleh itu kita perlu berhati-hati mencari sumber rezeki pastikan ianya didapati bukan dari sumber yang haram. Sumber rezeki yang termasuk didalam kategori haram adalah seperti berikut :
1. Bekerja dengan syarikat penerbangan, kilang arak, pasaraya, restoran yang menjual, memproses dan menghidangkan arak.
2. Bekerja dengan syarikat insuran, perbankan, kewangan, money lender dan 'along' mengandungi unsur-unsur riba.
3. Mengambil rasuah.
4. Bekerja dikelab-kelab malam sebagi penari, teman sosial, penyanyi, pemuzik yang jelas suasana kerja disitu pergaulan bebas lelaki dan wanita, terdapat minuman keras dan suasana kerja yang meruntukkan akhlak seorang muslim.
5. Memakan harta anak yatim (sekiranya pembahagian faraid tidak disempurnakan dan pembahagian harta dibuat secara adil).
6. Mendapat keuntungan dalam perniagaan secara menipu atau mengurangkan spesifikasi yang ditetapkan pelangan.
7. Menjual barang-barang haram seperti dadah. daging babi dan arak dan lain-lain lagi.
Sahabat yang dihormati,
Bagaimana hidup kita hendak mendapat keredaan Allah, dan Allah menerima doa kita kalau sumber rezeki kita diperolehi dari sumber yang haram dan makanan yang masuk dalam perut kita juga haram! Betapa ramainya umat Islam yang bekerja ditempat-tempat yang dinyatakan diatas. Semua ini akan ditanya oleh Allah SWT. dihari akhirat nanti, kerana sedekah dan zakat dari sumber yang haram tidak akan diterima oleh Allah SWT.
Sekiranya sumber harta kita dari sumber yang halal, kita akan ditanya kemana harta kita digunakan dan dibelanjakan, andaikata kita gunakan untuk menyara keluarga, menuntut ilmu, sedekah pada fakir miskin dan anak-anak yatim, kerja-kerja dakwah,amal jariah,pembangunan masjid dan surau, membantu sekolah agama dan tahfiz, kerja-kerja kebajikan dan menegakkan syiar Islam, maka alhamdulillah, kesemua ini adalah merupakan amalan soleh yang akan mendapat balasan pahala disisi Allah s.w.t. Tetapi sekiranya kita gunakan harta yang dimiliki membantu kerja-kerja maksiat, menjalankan kerja-kerja yang di haramkan Allah s.w.t. dan tidak mahu berzakat dan bersedekah maka kita akan mendapat balasan siksa yang berat di hari kiamat nanti.
Sahabat yang dikasihi,
Ilmu yang kita miliki mestilah diamalkan. Kita diwajibkan menuntut ilmu sejak dalam buayan hinggalah keliang lahat. Setelah ilmu difahami maka perlulah berusaha untuk merelisasikannya dalam kehidupan. Apakah umat Islam yang melakukan maksiat dan dosa mereka tidak berilmu?
Mengikut kajian sebahagian besar daripada mereka mengetahui hukum hakam tetapi tetap juga melakukan perkara yang dilarang Allah SWT kerana dorongan nafsu dan hasutan syaitan. Sebahagian pula memang jahil tentang hukum hakam agama. Orang jahil akan ditanya pula kenapa mereka tidak mahu belajar dan menuntut ilmu, mereka tetap mendapat balasan diatas kejahilan mereka.
Untuk melaksanakan ilmu yang dimiliki perlu kepada suasana yang baik, perlu mendekati alim ulama' dan bersahabat dengan orang-orang yang baik akhlaknya dan mengikuti program usrah dan halakat. Dari sinilah kita mempunyai kekuatan untuk melaksanakan kebaikan dan amal soleh, kerana proses nasihat-menasihat dan tegur menegur akan berjalan.
Oleh itu setiap kita perlulah mengambil perhatian tentang empat perkara seperti hadis diatas, apabila kita melaksanakan dengan baik keempat-empat perkara tersebut maka kita akan lulus ujian lisan yang akan ditanya kepada kita kelak. Bila ujian lisan lulus alhamdulillah ianya akan memudahkan kita untuk lulus ujian-ujian lain pula.
No comments:
Post a Comment