Monday, August 31, 2009

Ubati Keresahan Jiwa dengan al-Quran.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  Al-Quran al-Karim adalah kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT. kepada Nabi Muhammad SAW. sebagai satu rahmat yang tiada bandingnya kepada alam ini. Ia menjadi petunjuk, pedoman dan pengajaran bagi semua umat manusia di muka bumi.


Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia”. (Surah al-Baqarah ayat 185).

Membaca al-Quran adalah amalan mulia. Sesiapa yang membacanya akan mendapat pahala berlipat ganda pada setiap hurufnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Qur’an maka dia akan mendapat satu kebajikan, dan satu kebajikan itu nilainya 10 kali ganda seumpamanya. Aku tidak berkata bahawa Alif Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”. (Hadis Riwayat Tirmizi)

Jelaslah bahawa al-Quran itu adalah sebaik-baik bahan bacaan bagi orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT tidak kira ketika senang atau susah. Selain merupakan ibadah yang diberi ganjaran, al-Quran juga mampu mengubati keresan jiwa insan.

Diceritakan bahawa seorang lelaki berjumpa dengan Ibn Mas’ud r.a untuk meminta nasihat bagi mengubati jiwanya yang gelisah, fikiran kusut, tiada selera makan dan tidak boleh tidur seperti biasa.

Ibnu Mas’ud menasihati agar lelaki tadi mengunjungi tiga tempat iaitu :

Pertama : Tempat orang membaca al-Quran atau mendengar baik-baik orang yang membaca al-Quran.

Kedua : Menghadiri majlis ilmu yang mengingatkan hati kepada Allah.

Ketiga : Memohon ketenangan dan ketenteraman jiwa dan ketenteraman fikiran dan kemurnian hati.

Andainya jiwa masih juga tidak terubat dengan cara ini, minta kepada Allah SWT. agar diberi hati yang lain, kerana hati yang dimiliki bukan hatinya.

Lalu lelaki itu mengamalkan apa yang di nasihatkan oleh Ibn Mas’ud. Dia pergi mengambil wuduk kemudian membaca al-Quran dengan penuh khusyuk. Selepas sempurna membaca al-Quran jiwanya terasa tenang dan tenteram, manakala kegelisahannya hilang sama sekali.

Perlu dijelaskan membaca al-Quran, samaada memahami ertinya atau tidak adalah ibadah, amalan soleh dan memberi rahmat serta manfaat bagi mereka yang melakukannya. Memberi cahaya dalam hati, memberi cahaya kepada keluarga juga tempat dimana al-Quran itu dibaca.

Daripada Anas bin Malik r.a Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumahtangga kamu dengan solat dan dengan membaca al-Quran"
(Hadis Riwayat al-Baihaqi).

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin telah memberi garis panduan yang berkaitan dengan adab-adab membaca al-Qur'an iaitu adab batin dan zahir."

Adab batin itu ialah memahami kalimah-kalimah yang dibaca, ada rasa penghayatan membesarkan kalimah Allah, menghadirkan hati sepenuhnya ketika membaca, memperhalus perasaan dan jiwa. Dengan sebab batin itu, kandungan al-Quran yang dibaca dengan perantaraan lidah itu dapat bersemi di dalam jiwa dan meresap kedalam lubuk hati si pembaca."

Untuk membesarkan kalimah Allah SWT seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali seorang itu mestilah menghadirkan dalam hati betapa keagungan Allah SWT yang mempunyai kalimah-kalimah itu tadi.

Pembaca mesti memahami bahawa apa yang dibaca itu bukan tutur kata manusia tetapi ia adalah kalam Allah. Membesarkan kalam Allah itu bukan sahaja ketika membacanya, tetapi juga ketika menjaga tulisan-tulisan al-Qur'an.

Adab-adab zahir adalah seperti berikut :

1. Membaca al-Quran mestilah dalam keadaan bersih dan berwuduk.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Tidak boleh menyentuh al-Quran kecuali makhluk-makhluk yang diakui bersih suci". (Surah al-Waqi'ah ayat 79).

2. Al-Quran hendaklah diambil dari tangan kanan dan sebaik-baiknya hendaklah dipegang dengan kedua-dua belah tangan.

3. Al-Quran hendaklah dibaca ditempat yang bersih, seperti dirumah, dimasjid dan lain-lain tempat. Paling utama adalah di masjid.

4. Mulut hendaklah bersih, tidak berisi sisa-sisa makanan, kerana itu seorang itu hendaklah bersugi sebelum itu.

5. Disunatkan membaca al-Quran dalam keadaan menghadap kiblat. Membacanya dengan penuh khusyuk dan tenang Dalam masa yang sama orang yang membaca hendaklah berpakaian yang sesuai.

6. Sebelum membaca, seseorang hendaklah memohon perlindungan daripada Allah. Permohonan ini diistilahkan sebagai 'at-Ta'awwuz'. Setelah itu barulah membaca 'Basmalah'. Dilakukan demikian agar ia dilindungi Allah daripada tipu daya iblis dan syaitan yang boleh menyebabkan hati dan fikiran tidak tenang ketika membaca al-Quran.

Elok juga seseorang itu memohon kepada Allah agar hatinya menjadi terang dengan doa yang bermaksud, ' Ya Allah, bukakan bagi kami hikmat-Mu dan anugrahkan rahmat-Mu kepada kami dari khazanah-Mu. Ya Allah yang Maha Pengasih Lagi Penyayang".

7. Al-Qur'an hendaklah dibaca dengan tartib, iaitu membaca dengan perlahan-lahan dan tenang.

8. Bagi mereka yang boleh memahami makna dan maksud ayat-ayat yang dibaca, mereka hendaklah membacanya dengan penuh perhatian dan penghayatan. Untuk mereka yang tidak memahami bahasa Arab selepas membaca ayat-ayat ai-Qur'an hendaklah membaca terjemahannya supaya makna dan maksud ayat-ayat yang dibaca dapat difahami.

Sahabat yang dimuliakan,
Kesimpulannya, membaca al-Quran samaada memahami maknanya atau pun tidak tetap mendapat ganjaran daripada Allah SWT. Selepas membaca dan memahami makna dan maksud al-Quran, seseorang itu mestilah cuba melaksanakan segala bentuk arahan-arahan yang datang daripada Allah SWT kerana al-Quran diturunkan adalah untuk menjadi peduman hidup manusia di dunia ini.

No comments: