Thursday, September 3, 2009

Golongan Yang di Mulia Di sisi Allah


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya ada beberapa manusia dari kalangan hamba-hamba Allah SWT. yang dicemburui oleh para nabi dan syuhada lantaran kedudukan mereka yang mulia di sisi Allah".

Para sahabat bertanya, "Siapakah mereka ya Rasulullah dan apakah yang telah mereka lakukan? Kami ingin mencontohi dan mencintai mereka".

Rasulullah SAW menjawab dengan sabdanya, "Mereka itu adalah satu kaum yang berkasih sayang kerana Allah walaupun tanpa ikatan kekeluargaan serta tanpa harta yang mereka saling memberi. Sesungguhnya demi Allah mereka berada diatas cahaya dan sesungguhnya mereka itulah cahaya. Mereka tidak takut apabila manusia takut dan mereka tidak berdukacita apabila manusia berdukacita".

Siapakah mereka ini yang dinyatakan oleh Nabi SAW.?
Adakah kita mampu menjadi seperti mereka?
Apakah ciri-ciri peribadi yang ada pada mereka?

Didalam hadis diatas terdapat tiga ciri-ciri penting iaitu pertama, mereka berkasih sayang tanpa ada ikatan kekeluargaan atau harta. Kedua mereka tidak takut apabila manusia takut, dan ketiga, mereka tidak berdukacita apabila manusia berdukacita.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebenarnya golongan yang dinyatakan oleh Nabi SAW seperti diatas adalah satu jemaah orang-orang yang beriman. Tugas mereka adalah mengajak yang ma'aruf dan mencegah kemungkaran. Mereka berkasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana Allah. Mereka merancang dan berusaha sesuatu bagaimana untuk mengembalikan balik dan membetulkan akidah manusia yang telah rosak untuk mentauhidkan hanya kepada Allah SWT. semata-mata. Mengajak manusia supaya menerima Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah dan menjadikan undang-undang dan hukum-hukum Allah SWT. sebagai pedoman hidup di dunia ini.

Mereka tidak takut di keji, di hina, di fitnah atau di lemparkan dengan berbagai-bagai tuduhan, kerana mereka berjuang untuk mencari keredhan Allah bukannya mencari habuan duniawi dan pangkat kedudukan. Walaupun terpaksa mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit hati mereka tetap gembira kerana tugas ini adalah tugas para Rasul dan Nabi. Allah SWT mencampakkan sakina dalam hati-hati mereka.

Mereka adalah kaum yang menempuh jalan yang sukar hingga sampai pada tingkatan para Nabi. Mereka memilih lapar setelah Alah memberikan (peluang)kepada mereka untuk (sentiasa)kenyang, memilih pakaian kasar setelah Allah memberi mereka pilihan berbagai pakaian, dan memilih haus setelah Allah memberi mereka rasa puas. Mereka meninggalkan itu semua kerana mengharap apa yang ada di sisi Allah (redha dan nikmat Syurga). Mereka tinggalkan yang halal kerana takut banyak dihisab. Mereka mempergauli manusia dengan badan-badan (lahir) mereka, tetapi itu tidak menyibukkan (hati) diri mereka (daripada mengingati Tuhan mereka). Para Nabi dan malaikat takjub dengan ketaatan mereka kepada Tuhan.

Untuk memasuki syurga Allah SWT penuh kenikmatan, tidaklah boleh berpeluk tubuh dan berangan-angan sahaja tanpa berusaha, bekerja dan berjuang diatas jalan kebenaran. Kerja-kerja dakwah perlu bermula membaiki diri sendiri, mendidik isteri dan anak-anak seterusnya jiran, saudara mara, sahabat handai, rakan-rakan dan seterusnya kepada masyarakat. Sampaikanlah kebenaran ini walaupun bermula dengan satu ayat dan seterusnya menyampaikan kebenaran Islam dengan penuh hikmah dan lemah lembut.

Jangan menganggap bahawa kerja-kerja dakwah ini hanya tugas alim ulama atau ustaz sahaja, sebenarnya kita semua yang telah beriman kepada Allah s.w.t dan beriman dengan rukun-rukun iman yang lain untuk bersama-sama menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah. Buatlah sekadar kemampuan dan berusaha meningkatkan kemampuan kerana kerja-kerja dakwah adalah kerja-kerja ahli syurga.

Jika kita melihat sejarah pejuang-pejuang Islam selepas generasi sahabat-sahabat Rasulullah SAW hingga kini mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Islam, mereka tidak takut kepada sesiapa sahaja yang menentang matlamat dan jalan perjuangan mereka, kerana mereka berjuang semata-mata mencari keredhaan Allah ,walaupun mereka terpaksa melalui ujian dan tribulasi, ditangkap, dipenjara atau disiksa. Walaupun menerima tekanan dan penderitaan namun hati mereka tetap gembira kerana mereka yakin janji-janji Allah SWT. dan Allah SWT. akan memberi pertolonganNya kepada mereka-mereka yang berjuang diatas jalan yang hak.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama berazam untuk meletakkan diri kita diatas matlamat perjuangan untuk berkhidmat pada Deen Allah SWT. Apabila kita kembali menemui Allah SWT. kita tidak takut menjelaskankan bahawa semasa hidup di dunia kita telah serahkan semua yang kita miliki harta kekayaan, kenderaan, rumah, masa lapang,tenaga kerja, buah fikiran untuk Islam semata-mata dan mencari keredan Allah.

No comments: