Saturday, September 26, 2009

Sedekah dan Takwa Pembuka Pintu Rezeki.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ada beberapa amalan berfaedah yang menjadi kunci pembuka pertolongan Allah SWT. Sewaktu kita mampu mengamalkannya secara berterusan dengan istiqamah. Insya Allah kebaikan lainnya akan terbuka yang ada ketikanya kita sendiri tidak menduga.

Antaranya rajin bersedekah. Amalan ini sungguh luar biasa. Dengan bersedekah rezeki akan bertambah dan berkat. Urusan menjadi mudah dan kita terhindar daripada musibah. Jaminan daripada Allah jelas dan pasti kepada mereka yang suka bersedekah dengan ikhlas.

Maka jangan mempersia-siakan kesempatan bersedekah. Pastikan tiada hari tanpa sedekah. Mulakan kehidupan seharian kita dengan bersedekah.

Kita juga perlu rajin membantu orang lain. Sesungguhnya Allah akan menolong orang yang gemar membantu saudaranya dan dipermudahkan urusan orang lain nescaya Allah akan mempermudahkan urusan kita. Tiada hari tanpa menolong orang lain. Dan jangan pula memilih orang untuk ditolong.

Kita juga perlu banyak berselawat kepada Rasulullah SAW  adalah amalan terpuji. Rasul adalah manusia yang paling dicintai Allah. Justeru cinta Allah akan kita dapatkan sewaktu kita mencintai hamba yang paling dicintai-Nya. Bila Allah sudah cinta, pertolongan-Nya akan terbuka bagi kita.

Dalam pada itu kita harus mengamalkan sikap mencintai masjid.Bukan sudah tua atau pencen baru mahu mendekati masjid atau surau. Masjid adalah rumah Allah yang ada dibumi. Tidak ada tempat yang paling dicintai Allah di bumi selain masjid.Disebabkan itu, antara syarat agar ditolong Allah adalah mencintai masjid.

Pastikan tiada solat (wajib) kecuali di masjid.Lebih utama pula dengan solat tepat pada waktunya dan berjemaah. Rajinlah menghadiri majlis agama dan zikir dimasjid dan peruntukkan sebahagian rezeki untuk memakmurkan masjid.

Dirumah pula, kita harus rajin mendirikan solat tahajud. Sepertiga malam terakhir adalah waktu yang sangat dicintai Allah. Tidak ada satu pun solat sunat yang begitu diperhatikan Rasulullah s.a.w. kecuali solat tahajud. Sangat rugi orang yang mensia-siakan waktu sepertiga malam terakhir, detik datangnya pertolongan Allah.

Sebagai muslim, tentu sahaja kita mahu apa yang kita lakukan diberkati dan diredhai Allah SWT. Malah kita mahu segala masaalah yang membelenggu diri, keluarga dan urusan pejabat dapat diselesaikan dengan baik.

Seiring dengan masaalah yang dihadapi sama ada membabitkan kewangan dan keluarga, banyak pula cara boleh kita lakukan untuk menyelesaikannya. Namun setengah cara yang kita lakukan tidak berjaya meleraikan masaalah dan kita terpaksa menggunakan cara lain pula.

Kita boleh mengatasinya menerusi kecerdasan akal, kemampuan fizikal, harta kekayaan, perhubungan atau apa saja. Namun, kita tidak harus lupa bahawa tidak ada yang paling ampuh selain meminta pertolongan Allah s.w.t. sambil berusaha dan bertawakkal.

Mengapa pertolongan Allah SWT  itu perlu, pada hal masaalah yang kita hadapi sepatutnya kita selesaikan sendiri? Kita harus ingat tidak ada satu pun masaalah yang terjadi, kecuali dengan izin Allah s.w.t. Semuanya ada dalam genggaman Allah. Justeru, dalam keadaan demikian, alangkah mudahnya bagi Allah SWT membuka laluan pertolongan kepada sesiapa yang ditimpa masaalah.

Seberat mana persoalan akan menjadi ringan apabila dibantu Allah SWT. Soalnya bagaimana caranya agar kita layak di tolong Allah? Jawabnya ada didalam al-Quran.

Firman Allah SWT  yang bermaksud : “Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan menyediakan baginya jalan ke luar. Dan memberikan rezeki dari arah yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah menentukan setiap sesuatu.”
(Surah Ath-Thalaaq ayat 2-3)

Jadi kunci pembuka bantuan Allah SWT ada didalam ketakwaan kita. Semakin takwa hati kita, semakin terbuka lebar pintu pertolongan Allah. Sebaliknya, semakin ingkar kita, semakin tertutup rapat pintu pertolongan Allah.

Imam Ibnu Atha’ilah menegaskan pesan takwa ini, “Jangan menuntut Allah kerana terlambatnya permintaan yang telah engkau mohon kepada-Nya. Namun, hendaklah engkau memperbetulkan dirimu, tuntut dirimu agar tidak terlambat melaksanakan kewajipan terhadap Tuhanmu.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita ringankan tangan untuk bersedekah kerana fadilat bersedekah adalah Allah SWT akan membuka pintu rezeki di jalan yang tidak disangka-sangka, kerana apabila kita melapangkan kesusahan orang lain nati Allah SWT akan melapangkan kesempitan kita.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW  bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

No comments: