Sunday, September 27, 2009

Segerakan Bertaubat Kepada Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Manusia sentiasa terdedah kepada kesilapan dan kesalahan. Malah setiap anak Adam adalah berdosa dan tidak pernah lekang dari dosa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Semua anak Adam (manusia) itu sering membuat kesalahan (dosa) dan sebaik-baik manusia yang membuat kesalahan (dosa) itu ialah orang-orang yang bertaubat." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Dari hadis yang lain Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
"Setiap orang mukmin tetap akan mendatangi dosa dari masa ke semasa."

Oleh yang demikian kita perlu selalu dan segera bertaubat. Taubat bererti kita kembali merujuk kepada Allah SWT. Meninggalkan dosa, menyesali yang sudah terlanjur dan berazam untuk tidak mengulangi lagi serta memperbaiki amalan dengan memperbanyakkan kebaikan. Ia adalah proses pembersihan dari kekotoran. Orang yang bertaubat bersih dari segala dosa.

Sabda Rasulullah SAW  bermaksud : "Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak punya dosa."

Sahabat yang dihormati,
Taubat perlu dilakukan terus menerus dan pada setiap ketika. Hatta sekalipun kita merasa tidak melakukan apa-apa dosa. Kerana Nabi SAW itu maksum, yang diampuni dosanya yang terdahulu dan yang terkemudian, tetapi baginda meminta ampun serta bertaubat kepada Allah SAW paling tidak tujuh puluh kali sehari.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah serta bertaubat kepada-Nya sebanyak tujuh puluh kali dalam sehari semalam."

Memperbanyakkan istighfar serta taubat juga menjadi sebab bagi terhurainya segala masaalah serta terbuka luas segala pintu rezeki.

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : "Barangsiapa melazimi meminta ampun kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan dan menjadikan baginya jalan lapang dari setiap kesusahan serta Allah memberi rezeki kepadanya dari punca yang tidak disangka-sangka."

Sahabat yang dikaasihi,
Allah yang Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat sentiasa bersedia mengampuni dosa hamba-hamba-Nya yang sudi bertaubat. Allah SWT sentiasa ternanti-nanti taubat dari orang yang bersalah agar dapat segera diampunkan-Nya.

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu siang untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu malam, dan membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu malam untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu siang. Hal ini berkekalan sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat."

Walau bagaimanapun taubat yang diterima Allah SWT hanyalah taubat yang ditangguhkan. Tiada taubat lagi bila maut telah hampir tiba.

Firman Allah SWT  yang bermaksud :
"Dan bukanlah taubat itu bagi mereka yang melakukan kejahatan-kejahatan, lalu apabila salah seorang daripada mereka didatangi oleh maut, iapun berkata : Sesungguhnya aku bertaubat sekarang." (Surah An-Nur ayat 18)

Dari itu, marilah segera kita bertaubat. Sesungguhnya Allah SWT cinta pada mereka yang bertaubat dan yang mensucikan diri. Dia juga suka pada yang bersih, dan tidak akan masuk ke dalam syurga kecuali mereka yang bersih dari segala dosa.

No comments: