Wednesday, November 11, 2009

Bertaubat Sebelum Terlambat

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup di dunia ini penuh cabaran dan dugaan. Sebagai manusia kita tidak terlepas dari kesilapan dan kesalahan.Hidup ini umpama sebuah perjalanan yang cukup jauh. Dalam laluan ini kalian sering keletihan, kehausan dan pelbagai hambatan-hambatan lain akan menghujani kalian.

Tetapi, sepanjang perjalanan ini juga ada saat manis, keseronokan dan kegembiraan dan ketenangan jika kalian bersabar di atas jalannya.Situasi perjalanan yang ditempuh kadang kala mungkin boleh menyesatkan. Sekiranya tersesat, langkah yang terbaik dan pilihan yang tepat kembalilah ke pangkal jalan. Yakin dan percayalah Islam akan memberi petunjuk serta menyinari kehidupan Muslim dan seluruh alam ini.

Kesesatan dan kesalahan yang berlaku adalah di sebabkan dorongan hawa nafsu yang kalian tidak sedari sentiasa menghantui hidup kalian, ditambah pula pengaruh kebendaan dan nikmat dunia yang menipu. Oleh itu jalan terbaik segeralah bertaubat dan memohon keampunan Allah s.w.t. di atas kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukan.

Seorang ahli sufi yang bernama Dzun Nun berkata, "Hakikat taubat ialah jika bumi yang luas ini terasa sempit bagimu. Sehingga engkau tidak melihat tempat yang boleh dihuni, dan keadaan ini semakin menyempitkan jiwamu."

Rasulullah s.a.w. pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah : "Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah)."

Justeru itu bertaubatlah kalian dan memohon keampunan daripada Allah s.w.t. secara berterusan tanpa henti.Taubat haruslah di perbaharui dari masa ke masa. Ini kerana, setiap insan tidak mungkin terlepas dari dosa, samaada besar atau kecil, dosa batin atau lahir, dosa yang diketahui atau tidak atau lalai dalam menunaikan hak Allah dan manusia lainnya. Bahkan dosa kerana tidak menambah ilmu pengetahuan dalam agama dan sebagainya juga tidak terkecuali.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
 (Surah Al-Baqarah ayat 222)

Sahabat yang dimuliakan,
Bukti penyesalan ialah mengaku dosa dan tidak lari dari tanggungjawab untuk menerima akibatnya. Seterusnya, meminta maaf kepada manusia yang dizalimi dan memohon keampunan daripada Allah s.w.t. Demikianlah, yang dilakukan oleh Nabi Adam a.s. dan Hawa setelah memakan buah terlarang. Keduanya berkata : "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi."
(Surah Al-A'raf ayat 23)

Diikuti Nabi Nuh a.s. yang memohon keampunan kerana hasrat untuk syafaatkan anaknya ditolak Allah s.w.t. Nabi Nuh a.s. berkata, "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dan memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tidak mengetahui hakikatnya. Jika sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku dan tidak menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku akan termasuk orang-orang yang rugi."
 (Surah Huud ayat 47).

Begitu juga kisah Nabi Musa a.s. yang meninju seorang Qibti hingga meninggal dunia dan kisah Nabi Yunus a.s. yang pergi dalam keadaan marah kepada kaumnya.

Satu lagi iktibar mengenai kesungguhan seorang pembunuh untuk bertaubat. Setelah membunuh 99 orang, timbul kesedaran di jiwanya. Kesedaran terhadap dosa besar ini memaksanya untuk berjumpa seorang abid (ahli ibadah) yang dianggap boleh membimbingnya. Tetapi ternyata abid itu bukan sahaja tidak membantunya tetapi menghalang hasratnya untuk bertaubat. Akibat terlalu kesal dia terdesak untuk membunuh abid itu hingga genap 100 orang yang di bunuhnya. Namun keinginan untuk bertaubat terus membara. Akhirnya, seorang ulama' yang arif mampu memberi jalan keluar, memahami perasaannya dan memberikan bimbingan yang lebih baik.

Sahabatku,
Jelas menunjukkan bahawa seseorang yang telah melakukan kesalahan dan dosa perlu menginsafi tindakannya dan segera melakukan taubat yang sebenarnya yang mengandungi tiga syarat utama :
Pertama, mempunyai tekat yang kuat. Maksudnya seseorang itu berazam meninggalkan segala kegiatan maksiat yang pernah dilakukan. Kesungguhan ini ibarat seorang bayi yang tidak mungkin kembali lagi ke rahim ibunya.

Kedua, mesti ada pembimbing. Jika seseorang berhasrat untuk bertaubat maka dia bertanggungjawab mencari seseorang yang diyakini mampu membimbing ke arah kebenaran. Ini kerana, bebanan jiwa yang di tanggung akan merasa lebih ringan. Jika seseorang itu sanggup mendengar keresahan dan masaalahnya. Justeru itu perlu bijak memilih orang yang ikhlas dan betul-betul ingin menghulurkan bantuan dan bimbingan.

Ketiga, bertekat untuk mencari suasana baru yang lebih baik. Dalan satu hadis di katakan, "Agama seseorang itu tergantung pada agama temannya." Semua teman-teman yang tidak berakhlak dan pernah mengajak dan membawanya melakukan kemaksiatan selama ini mesti dijauhi. Dalam masa yang sama, berusaha mencari teman-teman yang baik. Teman yang baik akan memberikan pandangan yang mengajak kepada mengingati Allah s.w.t. Nasihat dan perkataan mereka akan mengarah untuk melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t. Bahkan, setiap tindakan dan amal mereka hanya ditujukan kepada Allah s.w.t. semata-mata.

Akhirkata, tanda kerendahan hati kepada Allah s.w.t. tidak ada ruginya kita bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t. kerana kita tidak ketahui mungkin ada tindakan, amalan, perbuatan, pandangan mata dan lintasan hati kita, kita rasa tidak berdosa tetapi disisi Allah ianya berdosa. Alangkah bahagianya jika dalam perjalanan hidup ini bersih dari dosa dan kemurkaan Allah kerana lidah tidak putus-putus beristighfar kepada-Nya siang dan malam.

No comments: