Monday, November 9, 2009

Malu dan Iman Teman Seiring Jalan

Sahabat yang dirahmati Allah,
Alangkah beruntungnya orang yang memelihara kesucian dirinya di sisi Allah, merendahkan dirinya dengan Allah, akur dengan hukum-Nya, mencintai-Nya dan bimbang terhadap kemurkaan-Nya dan memiliki sifat malu.

Dalam usaha kalian untuk merapatkan hubungan dengan Allah s.w.t. dan mensucikan diri dari karat-karat jahiliah maka cara yang patut kita contohi adalah proses tarbiyah yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w. As Syahid Syed Qutb dalam bukunya' Petunjuk Sepanjang Jalan' ada menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. mendidik sahabat-sahabatnya dengan menTauhidkan diri kepada Allah s.w.t. sehingga melahirkan jiwa-jiwa yang tulin dalam aqidah, tulin dalam pemikiran dan tulin dalam kefahaman. Tidak sedikit pun bercampur aduk dengan nilai-nilai jahiliah atau kotoran nafsu, di masuki di dalam proses pentarbiyahan yang mereka lalui. Hingga Rasulullah menghalang Sayyidina Umar membawa beberapa helaian dalam Kitab Taurat (yang asli) untuk diguna pakai dalam proses tarbiyah, ini adalah kerana Nabi s.a.w. ingin pastikan proses tarbiyah berjalan hanya melalui satu sumber sahaja iaitu kitab suci Al-Qur'an.

Ribuan sahabat yang mencontohi baginda telah berubah daripada pembunuh, tahi arak, penzina menjadi manusia yang sangat mulia hingga nama mereka menjadi buah mulut para malaikat di langit. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Setiap agama ada akhlaknya dan (punca) akhlak Islam itu adalah haya (malu)." (Hadis Riwayat Malik, Ibn Majah dan Baihaqi)

Sahabat yang dimuliakan,
Malu tidak dapat dipisahkan dengan iman, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Malu dan iman itu adalah teman seiring jalan. Jika yang satu diangkat nescaya terangkat pula yang satu lagi." (Hadis Riwayat Muslim)

Lihat perwatakan Sayyidina Umar ketika dihembusi angin nyaman pada suatu musim panas, katanya, "Aku malu kepada Allah. Begitu banyak sudah nikmat-Nya kepadaku...(sambil beliau mengelak hembusan angin itu). Malu kepada Allah membuatkan seseorang memelihara kesucian dirinya di sisi Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Antara ajaran Nabi-nabi terdahulu ialah apabila tiada malu, maka (kamu akan) perbuatlah sesuka hatimu." Malu melakukan perkara keji adalah perisai kuat dari membuat dosa.

Berhati-hatilah kalian dengan suasana masyarakat yang sudah hilang sifat malu. Persekitaran yang lucah menghakis sifar malu. Kelucahan film, iklan, 'modelling', ratu cantik, adigan lucah dalam internet, 'you tube', gambar lucah melalui mms dalam telefon bimbit, pakaian yang menjolok mata, majalah-majalah lucah, bahasa, simbol, nyanyian dan sebagainya. Kesemua perkara ini adalah berbentuk maksiat yang harus kalian jauhi. Ianya sebenarnya boleh mengotori jiwa dan hati kalian, jika dibiarkan boleh memesongkan amalan soleh kalian kepada Allah s.w.t.

Sahabat,
Apa sahaja berbentuk kelucahan adalah amalan dan kesukaan iblis dan syaitan. Iblis dan syaitan akan bekerja keras untuk menghancurkan sifat malu dan kesucian manusia. Islam menganggap semua ini sebagai zina. Zina mata, zina perasaan, zina lisan. Ia akan menjurus kepada zina yang sebenarnya. Allah s.w.t. melarang semua ini, firman-Nya di dalam surah Al-Isra' ayat 32 yang bermaksud, "Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya ia (zina) itu adalah perbuatan keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan)."

Dari itu wahai sahabatku, kalian tundukkanlah pandangan kalian, supaya kalian dapat menjaga mata, telinga, hati dan iman kalian kepada Allah s.w.t. Islam menyuruh supaya lelaki yang beriman agar mereka menundukkan pandangan terhadap wanita yang bukan mahram atau isteri-isteri mereka. Begitu juga wanita yang beriman disuruh agar menundukkan pandangan mereka terhadap kaum lelaki yang bukan mahram atau suami-suami mereka.

Para wanita yang solehah akan memelihara kesucian diri, tidak berhias di luar rumah seperti orang jahiliah. Mereka hanya disuruh hanya berhias di depan suami mereka. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian keluar lantas melintasi suatu kaum (bukan mahram) agar mereka tercium bau-bauan harumnya, maka ia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandangnya itu berzina." (Hadis Riwayat Ahmad, Tabarani, Baihaqi dan Al-Hakim).

Wanita yang memelihara kesucian diri akan menutup aurat mereka dan membataskan pergaulan mereka dengan lelaki bukan mahram. Mereka yakin pada janji Allah bahawa sesiapa yang mengotori diri pasti akan rugi dunia dan akhirat. Mereka sering berdo'a seperti yang diajar oleh Rasulullah s.a.w., "Ya Allah berilah aku nampak kebenaran sebagai benar dan berupaya mengikutinya. Dan nampak kejahatan sebagai jahat dan berupaya menjauhinya."

Wanita solehah seperti ini adalah mereka yang tidak mahu melihat masyarakat terus terhimpit dengan kelucahan dan kehinaan. Lelaki yang soleh juga sentiasa menjaga akhlak dan keperibadiannya dan tidak mudah terpengaruh dengan aktiviti-aktiviti jahiliah dan mengajak kepada keruntuhan akhlak. Ia tetap istiqamah untuk menjadi seorang hamba Allah yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t.

Berkata Pujangga Maulana Muhammad Iqabal :
" Jika ingin melihat keadaan sesebuah masyarakat pada masa kini lihatlah akhlak golongan lelakinya pada masa kini, tetapi jika ingin tahu keadaan masyarakat itu pada masa hadapan lihatlah pada akhlak golongan perempuan pada masa kini."

Katanya lagi :
"Sinarlah zaman kamu dengan cahaya iman dan nyahkanlah kerosakkan dengan cahaya iman juga."

No comments: