Friday, April 30, 2010

Siapakah Golongan Yang Sesat dan Golongan Yang di Murkai Allah?

Di suatu ketika, seorang sahabat Nabi s.a.w yang dahulunya seorang Nasrani, iaitu ‘Adi bin Hatim r.a, bertanya kepada Rasulullah s.a.w :"Siapakah yang dimaksudkan dengan al-maghdhoob ‘alayhim (golongan yang dimurkai Allah) seperti yang tersebut di dalam surah al-Fatihah?" Rasulullah s.a.w. menjawab maksudnya : “Mereka itu adalah Yahudi”. Adi bertanya lagi :"Siapakah pula yang dimaksudkan sebagai al-dhaalloon (golongan yang sesat) itu?" Rasulullah s.a.w.  menjawab : “Mereka itu adalah Nasrani”.
(Hadis Riwayat al-Tirmidhi dan Ahmad serta dinilaikan sebagai sahih.)

Biar pun pada aqidah kepercayaan kaum Yahudi itu ada sesatnya, namun mereka lebih menonjol sebagai golongan yang banyak menimbulkan kerosakan yang mengundang murka Allah. Begitu juga dengan kaum Nasrani, walaupun terdapat juga perlakuan mereka yang merosakkan dan mencetuskan murka Allah, namun mereka lebih menonjol sebagai kaum yang mendatangkan kepercayaan yang sesat dan mengelirukan. Justeru Yahudi disimbolkan sebagai KAUM YANG DIMURKAI-NYA, manakala kaum Nasrani pula dilabelkan sebagai KAUM YANG SESAT.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
"Tidaklah lahir seorang bayi melainkan lahirnya dia di atas fitrah. Maka ibu bapalah yang meYahudikannya, meNasranikannya serta meMajusikannya” 
(Hadis Riwayat Muslim) 
 
Ibu bapa bertanggungjawab untuk mendidik dan menyuburkan fitrah anak-anak. Fitrah yang subur akan menggenggam Islam sebagai cara hidup yang sempurna. Pengabaian fitrah ini adalah simpang-simpang kehidupan yang menyasarkan seorang manusia daripada membesar daripada penuh potensi untuk menjadi seorang Muslim, kepada tersasar menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.

No comments: