Wednesday, May 19, 2010

Hadis Nabi s.a.w. Untuk sampaikan daripada baginda walaupun satu ayat.

Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya :
"Sampaikanlah dari aku walaupun satu ayat, dan bicaralah tentang kisah (hadis) Bani Israil, tidaklah ia satu kesalahan. Dan barangsiapa yang berdusta atas aku dengan sengaja, pasti dia akan mendapat tempatnya di dalam neraka."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Kemusykilan:
Kenapakah hadis ini mengajurkan umat Islam untuk berbicara tentang kaum Bani Israil ? Bukankah dengan ini banyak ajaran mereka yang menyeleweng yang akan menyerap masuk ke dalam Islam ?

Penjelasannya:
Sebenarnya hadis ini disampaikan di zaman akhir Islam, iaitu apabila umat Islam telah faham akan asas-asas, hukum dan ciri-ciri agama Islam yang sebenar. Di saat ini umat telah memiliki ilmu serta keyakinan yang mantap tentang agama Islam sehingga tidak mungkin lahirnya fitnah atau kekeliruan jika dibicarakan sama cerita atau perihal agama lain. Antara manfaat yang dicari adalah mewujudkan perbincangan dua hala agar kaum Bani Israil merasa selesa dengan orang Islam sehingga akhirnya dapat mengenali agama Islam dengan lebih sempurna.

Selain itu perlu diingatkan bahawa perkataan hadis bukanlah bererti sabda seseorang Nabi dalam konteks agama sahaja tetapi ia secara keseluruhannya bererti kata-kata, ucapan dan sebutan dikhabarkan, disampaikan dan diberitakan.

Justeru hadis di atas juga membuka jalan kepada umat bertukar-tukar pengetahuan dan maklumat dengan kaum lain dalam pelbagai bidang seperti pertanian, perindustrian, jual beli dan sebagainya, iaitu apa yang dikenali sebagai perkongsian teknologi dan maklumat. Hadis ini juga membuka jalan ke arah pengkajian agama kaum lain agar dengan itu dapat dilihat pelbagai penyelewengan yang terdapat di dalamnya yang akhirnya akan meyakinkan lagi umat akan agama Islam yang mereka pegangi. Ia juga akan membantu dalam rangka dakwah kepada umat lain ke arah Islam. Ini dikenali sebagai ilmu perbandingan agama, mengikut definasi masa kini.

Tidak ada salahnya untuk berbicara dan berdialog dengan seseorang dari agama lain. Islam sentiasa menekankan konsep hidup bermasyarakat, bersosial dan menjalin hubungan dua hala dengan semua pihak asalkan ia tidak melanggar batas-batas agama. Perhatikan ayat-ayat berikut:

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim."
(Surah al-Mumtahanah ayat 8-9)

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan"
(Surah al-Maidah ayat 8)

Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka.
(Surah al-Ankabut ayat 46)

Justeru tidak ada sebarang kemusykilan dalam hadis ini. Malah sebenarnya ia memiliki beberapa ajaran yang penting di dalam Islam: Pertama adalah konsep bermasyarakat dan bersosial tanpa mengira agama. Kedua adalah anjuran untuk mengkaji ilmu perbandingan agama dan ketiga adalah bertukar-tukar ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang duniawi. Semua ini dibolehkan oleh Islam asalkan batas-batas syari‘at dipelihara.

No comments: