Friday, May 14, 2010

Tujuh Ciri-ciri Penghuni Syurga Firdaus

Sahabat yang dirahmati Allah,
Syurga adalah tempat balasan yang disediakan oleh Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya yang beriman, bertakwa dan mengerjakan amal soleh. Setiap amal ibadah, amal soleh dan kerja-kerja kebajikan yang kita kerjakan hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. bukanlah mengharapkan ganjarannya. Ganjaran atau pahala memang telah disediakan oleh Allah s.w.t. tetapi sebagai hamba yang merendahkan diri kepada-Nya dengan rasa khusyuk semua amalan yang dilakukan hanya semata-mata mengharapkan redha dan rahmat-Nya.

Sahabat yang dimuliakan,
Manusia akan memperoleh ganjaran setimpal berdasarkan usaha atau amalan dilakukannya baik perkara kecil atau besar yang tergolong dalam perbuatan yang baik dan buruk.

Allah berfirman yang bermaksud: “Barang siapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya).”
(Surah al-Zalzalah, ayat 7-8) .

Setiap apa yang dilakukan memberi kesan kepada diri manusia itu dan mereka yang beriman dan bertakwa pastinya berusaha melakukan lebih banyak perbuatan baik.

Orang Mukmin yang taat adalah golongan yang mendapat kemuliaan dan kasih sayang Allah dan dijanjikan sebagai penghuni Syurga bernama Firdaus yang kekal di dalamnya. Firdaus adalah nama Syurga yang pertama (paling atas sekali). Tujuh ciri-ciri dimiliki golongan ini yang di dinyatakan Allah s.w.t.di dalam al-Qur'an Surah al-Mukminun, ayat 1 hingga 11.

Tujuh ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Khusyuk dalam menunaikan solat.
Insan yang Mukmin mampu melaksanakan solat dengan khusyuk sesuai dengan keteguhan dan kemantapan iman dimilikinya. Pengertian khusyuk mencakupi seseorang itu memahami apa yang dibaca dan dilakukannya dalam solat.

Menurut Imam al-Ghazali, dalam khusyuk itu juga harus ada rasa takut kepada Allah. Solat yang dikerjakan dengan khusyuk adalah syarat pertama untuk mewarisi syurga Firdaus.

Kedua : Memelihara diri daripada perbuatan yang tiada berguna.
Seseorang yang benar-benar Mukmin tidak akan membiarkan masa berlalu dengan tidak melakukan perkara berfaedah. Ia akan menggunakan sepenuh masa yang ada untuk mencari keredhaan Allah. Masa adalah kehidupan tidak berlalu masa itu melainkan telah habis sebahagiaan daripada kehidupannya. Oleh itu setiap saat masa berlalu akan dipenuhi dengan amal soleh dan kebaikan kerana setiap sesuatu itu akan ditanya oleh Allah s.w.t dihari akhirat nanti.

Ketiga : Menunaikan zakat.
Seorang Muslim sejati akan rela dengan ikhlas menunaikan kewajipan zakatnya tanpa wujud paksaan, lantaran sedar bahawa hartanya sudah memenuhi syarat untuk berzakat.

Selain itu, dia sedar bahawa pada harta miliknya itu ada hak orang lain yang harus diberikan, terutama hak fakir miskin. Hartanya yang sebenar hanyalah harta yang tinggal selepas dikeluarkan zakatnya.

Keempat : Memelihara kehormatan
Orang Mukmin berjaya akan menghindarkan diri daripada melakukan penyimpangan dalam hal seksual dan tidak mendekati zina. Dia tidak akan berlaku serong dan hanya menyalurkan keinginan syahwat (persetubuhan) melalui jalan halal dengan pasangan sah sahaja.

Kelima : Melaksanakan amanah.
Seseorang Mukmin yang diberi kepercayaan akan menunaikannya dengan baik kerana kepercayaan itu adalah penghormatan paling berharga baginya.

Keenam : Memenuhi janji.
Islam mengajar bahawa setiap janji mesti ditunaikan kerana janji itu ibarat hutang. Lantaran itu ia perlu dibayar. Segala sesuatu yang dijanjikan perlu dipenuhi kerana yang demikian adalah ciri Mukmin berjaya.

Ketujuh : Memelihara solat.
Solat pada pandangan Mukmin sejati paling penting. Jadi, solat mereka cukup terpelihara, sehingga dapat dilaksanakan dengan begitu baik lagi sempurna. Waktu solat dijaga dengan baik seperti solat pada awal waktu. Begitu juga dengan rukun dan pelbagai syarat lainnya yang mana semuanya itu sangat diberi perhatian.

Sahabat yang dihormati,
Sekirannya kita dapat melaksanakan tujuk ciri-ciri di atas dengan ikhlas, sabar dan istiqamah, insya Allah Syurga Firdaus akan dikurnaikan oleh Allah s.w.t. sebagaimana janji Allah di dalam Surah al-Mukminun ayat 1 hingga 11.

2 comments:

Rizal said...

beruntunglah orang2 yg beriman

Anonymous said...

Terima Kasih,Saudara.