Friday, July 2, 2010

Jauhilah Diri Kita Daripada Sifat-sifat Munafiq

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
 Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
“Empat sifat, siapa yang bersifat dengannya bererti ia seorang munafiq yang nyata, dan siapa yang mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu bererti ia mempunyai satu sifat munafik sehingga ia meninggalkan sifat itu iaitu : Apabila bercakap ia dusta, apabila berjanji ia mungkiri, apabila ia mematerikan perjanjian ia cabuli perjanjian itu dan apabila berbalah (bertengkar) ia sentiasa ingin menang.” 
(Riwayat oleh al’Syaikhan dari Ibn ‘Amr)

Kaum  munafiq dizaman Nabi s.a.w. adalah seorang yang pada zahirnya nampak beriman tetapi hakikat sebenarnya dia adalah seorang kafir (tidak beriman kepada Allah dan Rasul dan menolak syariat Allah). Mereka yang tidak berterus- terang dalam kekafiran dan pengingkarannya. Mereka menampakkkan keimanan sementara pada hakikatnya mereka adalah kafir! Mereka ini merancang dengan kaum Yahudi dan kaum kafir untuk memerangi baginda.

Abdullah ibn Ubay ibn Salûl (ketua kaum Munafiq) dengan hatinya yang busuk  mengejek-ejek dan mengancam untuk mengusir Nabi saw. dan kaum Muslimin dari kota Madinah. Kemudian setelah ucapannya yang menjelaskan kekentalan kemunafikannya itu dilaporkan kepada Nabi s.a.w. dan baginda pun menegurnya lalu Abdullah ibn Ubay pun mengelak dengan mengatakan bahawa ia tidak pernah mengatakan apa-apa pun seperti yang dilaporkan kepada baginda.

Menyingkap kekejian kata-kata Abdullah ibn Ubay ibn Salûl sebagai sahabat lainnya (khususnya Umar ibn al Khaththâb) meminta agar Nabi s.a.w. memerintah untuk membunuh saja Abdullah ibn Ubay si ketua munafiq itu. Tetapi mereka (sahabat-sahabat)  benar-benar dikejutkan dengan jawapan Nabi s.a.w. Apa jawaban Nabi s.a.w. terhadap Umar yang mengusulkan agar Abdullah ibn Ubay dibunuh saja?

Ibnu Jarir ath Thabari, menyebutkan banyak riwayat: bahawa ketika Umar r.a. berkata kepada Nabi s.a.w, ‘Wahai Nabi, perintahkan Mu’âdz ibn Jabal agar memenggal kepala si munafiq itu!’ Maka Nabi s.a.w. menjawab:
“Jangan sampai orang-orang berbicara bahawa Muhammad membunuh para sahabatnya.”

Allah s.w.t. menurunkan ayat:

وَ مِنْهُمُ الَّذينَ يُؤْذُونَ النَّبِيَّ وَ يَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَكُمْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَ يُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنينَ وَ رَحْمَةٌ لِلَّذينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَ الَّذينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ
اللَّهِ لَهُمْ عَذابٌ أَليمٌ
.
“Di antara mereka (orang- orang munafiq) ada yang menyakiti Nabi dan mengatakan:” Nabi mempercayai semua apa yang didengarnya”. Katakanlah:” Ia mempercayai semua yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah, mempercayai orang- orang mukmin, dan menjadi rahmat bagi orang- orang yang beriman di antara kamu”. Dan orang- orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih.” 
(Surah At Taubah ayat 61)

Orang-orang munafik dizaman Rasulullah s.a.w akan mencari alasan untuk tidak menyertai peperangan. Diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudriy r.a:
"Pada zaman Rasulullah s.a.w orang munafik selalu tidak menyertai peperangan, malah mereka bergembira dengan sikap mereka tidak bersama Rasulullah s.a.w. Apabila Nabi s.a.w kembali, mereka mengemukakan berbagai alasan kepada baginda sambil bersumpah dan mengharapkan pujian terhadap apa yang mereka tidak lakukan. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat ,aksudnya : "Jangan sekali-kali engkau menyangka wahai Muhammad bahawa orang-orang yang bergembira dengan apa yang telah mereka lakukan itu dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan, maka jangan kamu sangka mereka akan terselamat dari seksa "
(Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Di suatu masa nanti diakhir zaman orang-orang kafir dan Munafik akan keluar dari Madinah untuk menemui Dajal. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

"Tidak ada negara (dalam dunia) melainkan akan dipijak (dilanda) oleh Dajal kecuali Mekah dan Madinah kerana setiap jalan dan lereng bukit dijaga oleh barisan Malaikat. Oleh itu Dajal akan turun (berhenti) di satu kawasan bernama Sibkhah (tanah kering lagi masin) maka Madinah bergegar sebanyak tiga kali, kemudian semua para Kuffar (orang kafir) dan para Munafik keluar dari Madinah menemui Dajal " 
(Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Sahabat yang dimulaikan,
Sifat munafik ialah sifat-sifat hipokrit  atau sifat talam dua muka atau musang berbulu ayam atau berpura-pura jujur. Seorang yang munafik ialah seorang yang berpura-pura baik dan jujur. Seorang yang bersifat telunjuk lurus kelingking berkait atau pepet di luar runcing di dalam. Ia bercakap manis tapi bohong. Ia pandai berbahasa sehingga orang boleh mempercayai percakapannya, ia pandai berjanji tapi mungkir, ia bijak mematerikan perjanjian tetapi ia cabuli dan apabila ia berbalah ia sentiasa ingin menang walaupun terpaksa menegakkan benang yang basah asalkan orang boleh percaya cakap dia, dia juga pandai mengampu seseorang.

Di dalam masyarakat umat Islam memang terdapat kaum munafik yang berlindung dibalik agama Islam . Mereka ini memerangi saudara seagama, merancang dan menangkap para pejuang Islam yang menegakkan syariat Islam. Mereka lebih gembira bekerjasama dengan Yahudi dan Kristian atau kaum kafir daripada bekerjasama dengan ulama-ulama, para pendakwah, para mujahidin dan aktivis Islam.

Salah satu contoh bagaimana seorang munafik bernama Mustafa Kamal Artatuk yang menjatuhkan Kerajaan Islam Uthamaniah di Turki dan menukar hukum-hakam dan syariat dengan undang-undang barat. Menghalalkan arak dan judi , mengharamkan menutup aurat dan menghidupkan budaya cara hidup barat yang membenarkan kebebasan lelaki dan wanita. 

Kita juga digemparkan bagaimana pemimpin umat Islam berjiran dengan Palestin, boleh menghalang bantuan kemanusiaan ke Gaza yang memerlukan bantuan makanan dan ubat-ubatan dan sanggup menyalurkan gas beracun dan membunuh penduduk Palestin yang melalui terong bawah tanah membawa makanan dan uabat-uabatan. Pemimpin seperti ini boleh berpelukan dengan pemimpin Zionis dan pada masa yang sama membunuh saudara seagama.?

Kita bertemu juga dengan pemimpin umat Islam yang menolak hukum hudud dan menganggap hukum hudud adalah hukum yang tak sesuai dengan zaman. Dan sanggup membenarkan lesen-lesen judi dan membiarkan maksiat dan gejala sosial bermaharajalela?

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w. terdapat empat ciri-ciri munafik , sekiranya seseorang itu memiliki keempat-empat ciri tersebut jadilah ia seorang munafik tulin.

1. Khianat amanah iaitu mencabul dan mengkhianati amanah-amanah yang wajib dipelihara dan meremeh-temehkan amanah yang diberikan padanya atau tidak menunaikan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya yang diserahkan padanya, kerja dengan sambil lewa dan ia gunakan amanah yang diberikan kepadanya untuk mendapatkan kepentingan diri dan keluarganya. Amanah yang paling utama adalah amanah menegakkan syaraiat Islam dan hukum-hukum Islam tertegak dalam masyarakat. Apabila amanah ini dikhianati maka ini adalah salah satu sifat munafik yang paling utama sekali.

2. Bercakap bohong. Membuat penjelasan, kenyataan dan penerangan yang dusta atau seakan-akan dusta samada dengan lisan atau tulisan, memutar belit dan memesongkan keterangan yang sebenar, mengubah dan menokok tambah kenyataan untuk disesuaikan dengan seleranya, membuat kempen-kempen atau promosi-promosi dusta dan propaganda liar dan segala bentuk penyelewengan kata-kata dan bicara termasuk membesarkan yang kecil dan memperkecilkan yang besar.

3. Mencabul janji-janji yang diikrarkan dan mencabul perjanjian yang dipersetujui bersama.

4. Ingin menang dalam pertengkaran walaupun terpaksa menegakkan benang yang basah atau terpaksa membawa saksi yang palsu bagi menguatkan hujahnya.

Sahabat yang dihormati,
Semua sifat-sifat munafik yang tersebut itu boleh menimbulkan kesan yang amat buruk kepada ketenteraman masyarakat manusia, malah boleh menimbulkan huru-hara dan perpecahan dan boleh menghilangkan rasa kepercayaan terhadap satu sama lain yang merupakan batu asas bagi kerukunan sesebuah masyarakat yang padu dan kukuh, selagi mana ada manusia serupa ini dunia ini tidak akan aman tenteram. Oleh itu marilah sama-sama menjauhkan diri kita daripada sifat-sifat munafik dan kembali kepada Allah dengan melaksanakan Islam sebagai cara hidup yang sempurna.

Kaum munafik dihari akhirat nanti akan dimasukkan kedalam Neraka Jahanam yang paling bawah sekali kerana sifat pura-pura dan hipokrit. Di satu ketika pertemuan Jibril a.s dengan Rasullullah s.a.w, Jibril ada memberitahu tentang tingkatan Neraka dan para penghuninya. Telah digambarkan oleh Jibril orang-orang munafik berada di tingkat yang paling dalam iaitu tingkat ketujuh, sedangkan Iblis yang jahat menghasut manusia pun hanya berada di tingkat yang ke empat. Suatu gambaran betapa orang munafik sangatlah keji, satu makhluk yang paling jahat dan paling dihina di muka dunia ini.Ia digambarkan lebih hina dan lebih jahat dari Iblis, tetapi dia memakai topeng seolah dia mulia dan menyebelahi golongan mukmin.




2 comments:

Syadiyah said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

Salam, ustaz nak ambil sikit yea info ini...