Saturday, July 3, 2010

Bersabar dan Berhemah di Jalan Raya Sifat Orang Mukmin

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap hari akhbar arus perdana memaparkan kejadian kemalangan maut yang berlaku di seluruh negara. Kemalangan yang amat mengerikan berlaku, seolah-olah nyawa rakyat Malaysia amat murah dijalan-jalan raya. Kalau di Iraq kematian berpunca daripada ledakkan bom yang diletakkan ditempat-tempat awam tetapi di negara kita kematian berpunca dari kelalaian manusia atau sikap tidak bertanggung jawab manusia memandu laju melebihi had yang dibenarkan undang-undang hingga membahayakan keselamatan orang lain.

Tidak dinafikan kemalangan juga boleh berpunca dari perkara yang tidak disengajakan seperti tayar pancit, kerosakan brek atau jalan licin disebabkan hujan dan sebagainya. Perkara seperti ini kita boleh katakan sebagai takdir kerana diluar kemampuan manusia untuk mengelaknya. Tetapi sekiranya kemalangan berlaku disebabkan mengantuk (tak cukup tidur), terbabas disebabkan memandu terlalu laju, mabuk disebabkan meminum arak ianya tidak boleh dimaafkan kerana ianya atas kesalahan manusia, ianya mungkin tidak akan berlaku jika perkara tersebut dielakkan diperingkat awal lagi.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai seorang Mukmin, kita meyakini bahawa setiap peristiwa yang berlaku di atas muka bumi ini adalah di atas Qadha' dan Qadar Allah s.w.t. kita kena terima dan redha di atas apa yang telah ditetapkan. Walaubagaimana pun sebagai langkah berjaga-jaga untuk masa akan datang dan dalam rangka ibadah kepada Allah s.w.t. kita diminta berhati-hati dalam setiap aspek kehidupan kita. Perkara yang difikirkan boleh mendatangkan mudarat dan membahayakan keselamatan hendaklah dielakkan.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sifat orang Mukmin cukup berhati-hati ketika memandu dengan penuh kesabaran dan berhemah. Tidak gopoh dan hanya mementingkan diri sendiri. Dia amat prihatian atas kesalamatan orang lain. Orang Mukmin sentiasa berzikir dan mengingati Allah ketika memandu dan sentiasa berhati-hati supaya orang lain tidak akan mendapat kesusuahan disebabkan sifat lalai dan tidak bertanggung jawab.

Ingatlah! Kita akan menjawab dihadapan Allah sekiranya kemalangan berlaku hingga membawa kecederaan dan kematian adalah kerana kecuaian , gopoh , ego dan mengikut hawa nafsu ketika membawa kenderaan.

Terdapat beberapa tip-tip perlu diikuti sebagai ikhtiar kita untuk mengelakkan kemalangan :

1. Semasa memandu perlulah berada di dalam keadaan segar dan tidak mengantuk, jika mengantuk berihat seketika jangan memaksa diri.

2. Pastilan kenderaan dalam keadaan baik, periksa brek,lampu kenderaan, minyak hitam, tayar , tangki air dan bateri.

3. Jangan memandu laju melebihi had yang dibenarkan. Kerana bila berlaku sesuatu yang tidak dijangkakan sempat memberhentikan kenderaan secara kecemasan.

4. Jika jalan licin disebabkan hujan hendaklah memandu lebih perlahan dari had yang dibenarkan.

5. Jika berhenti dilorong kecemasan pastikan meletakkan kun kecemasan dibelakang kenderaan supaya kenderaan yang dibelakang mengetahui kita memberhentikan kenderaan ditepi jalan.

Sahabat yang dihormati,
Terdapat dua cara untuk kita mengelakkan daripada mendapat bala atau musibah iaitu dengan berdo'a kepada Allah s.w.t. dan membanyakkan memberi sedekah.

Pertama, Membaca do'a naik kenderaan dan berdo'a kepada Allah.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan: 'Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. . Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali"
(Surah Az-Zukhruf ayat 13-14)

Do'a dari Nabi s.a.w yang diajarkan kepada kita untuk diamalkan :"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan bala, hinanya kesengsaraan, keburukan Qadha' dan kegembiraan musuh (terhadap masaalahku)"
(Riwayat al-Bukhari).

Firman Allah s.w.t. maksudnya : " Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina."
(Surah al-Mukmin ayat 60)

Kedua, banyakkan bersedekah :
Sedekah boleh melindungi dari bahaya dan musibah, serta menolak su’ul khatimah (kematian yang buruk). Kematian yang buruk adalah kematian yang tidak sempat mengucap kalimah syahadah, kematian ngeri disebabkan kemalangan jalan raya, mati lemas, mati terbakar dan lain-lain lagi.

Sedekah mampu memberikan pengaruh yang luar biasa kepada orang yang menunaikannya. Salah satu manfaat sedekah adalah ia memelihara seseorang dari segala macam bahaya dan musibah.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Oleh itu marilah sama-sama kita amalkan dua perkara tersebut di atas semoga kita dan ahli keluarga kita terselamat daripada kemalangan, bala atau musibah dan dijauhi daripada su'ul khatimah (kematian yang buruk). Sebagai seorang Mukmin yang yakin pada janji-janji Allah hendaklah sentiasa bersabar dan berhemahlah dimana saja kita berada samaada dirumah, didalam masyarakat dan ketika dijalan raya, ' ingatlah akan kemurkaan Allah jika kita lalai dan menyusahkan orang lain dan ingatlah orang yang tersayang supaya menjadi motivasi supaya tetap berhati-hati dalam setiap pekerjaan kita.

No comments: