Sunday, July 4, 2010

Jauhi Diri Kita Daripada Sifat Fasik

Sahabat yang dirahmati Allah,
Salah satu sifat yang mazmumah dan keji adalah sifat fasik. Fasik di definisikan sebagai keluar daripada landasan syariat atau agama. Istilah fasik digunakan khusus kepada orang yang diperintahkan dengan hukum Allah namun mereka menolak untuk mentaatinya dan seterusnya mengingkari sama ada sebahagian mahupun keseluruhan hukum itu. Dengan lain perkataan, istilah fasik ditujukan kepada mereka yang banyak melakukan dosa, baik dosanya kepada Tuhannya atau dosanya kepada sesama manusia.

Orang fasik adalah orang Mukmin atau orang Muslim yang secara sedar melanggar ajaran Allah (Islam) atau dengan kata lain org tersebut percaya akan adanya Allah, percaya akan kebenaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. tetapi dalam tindak perbuatannya mereka mengingkari terhadap Allah dan hukumNya, selalu berbuat kerosakan dan kemaksiatan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Orang Fasik adalah orang yang melanggar perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan dimuka bumi. Mereka itulah orang yang rugi”
(Surah Al Baqarah ayat 27)

Allah berfirman dalam surah al-Hasyr, ayat 19 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang yang fasik lagi derhaka.”

Bertolak daripada sini, dapat disimpulkan bahawa sifat fasik ini pada hakikatnya adalah sifat lupa diri itu sendiri. Ia berdasarkan analogi berikut iaitu apabila seseorang manusia lupa diri, maka secara automatik dia akan lupa kepada Tuhannya. Serentak dengan sifat lupa kepada Tuhannya menguasai dirinya, maka dia sudah pastinya akan berani melawan dan menentang segala hukum Allah.

Sahabat yang dimuliakan,
Salah satu sifat orang fasik adalah suka memutuskan silaturahim. Islam sangat menganjurkan untuk memelihara hubungan baik terhadap sanak saudara, dan orang-orang memutuskan silaturahim sangat dicela oleh Islam, seperti di dalam firmanNya, “Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan takutlah dari memutuskan silaturahim” 
(Surah an-Nisa’ ayat 1)

Al-qarabat bererti hubungan silaturahim yang terbentuk atas dasar kekelurgaan. Allah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi maksudnya, “Aku adalah Allah, Aku adalah Zat yang Maha Pengasih. Aku ciptakan ‘rahim’. Aku ambilkan kata itu dari namaku. Siapa yang membina hubungan dengan sanak famili (silaturahim) aku akan menyambungkan ia dengan namaku. Dan siapa yang memutuskannya, Aku juga akan memutuskan hubungan dengannya.”

Allah s.w.t.telah berfirman maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik membawa berita, periksalah dengan teliti (tabayyun) agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."
(Surah Al-Hujuraat ayat 6)

Allah SWT dengan begitu tegas telah memberikan peringatan kepada kita di dalam menghadapi sesuatu berita terutamanya berita yang dibawa atau disiarkan oleh orang-orang fasik. Ertinya, jangan terpedaya atau mudah percaya begitu saja kepada suatu berita, khabar, pendapat, atau maklumat yang disebarkan oleh orang-orang fasik.

Orang fasik adalah orang yang melakukan dosa besar dan sering melakukan dosa kecil. Orang fasik tidak boleh menjadi saksi dalam Islam dan tidak boleh menjadi wali nikah dalam perkahwinan sebelum dia bertaubat. Jika tidak berhati-hati, memang tidak mudah bagi kita untuk memahami erti 'fasik' yang sebenar. Ini adalah kerana, di dalam Al-Quran, kata fasik muncul dalam berbagai konteks. Seseorang boleh dikategorikan sebagai fasik akibat melakukan dosa besar atau dosa kecil.  Sebahagian ulama mazhab Syafi'i menyatakan bahawa seseorang dapat dikatakan tidak fasik (adil) apabila kebaikannya lebih banyak dari kejahatannya dan tidak terbukti bahawa ia sering berdusta.

Islam memiliki mekanisme yang cukup rapi, dipercayai dan meyakinkan di dalam konsep penyampaian berita atau maklumat. Islam meletakkan 'kefasikan' dan 'keadilan' sebagai hal yang penting. Al-Mawardi meriwayatkan sebuah hadis Nabi s.a.w.: "Umumkanlah orang fasik dengan keadaan yang ada padanya agar masyarakat mewaspadainya." 
Firman Allah s.w.t maksudnya : “Dan jika Aku (Allah) hendak membinasakan suatu negeri, maka Aku perintahkan kepada orang yang hidup mewah dinegeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kederhakaan (fasik) dalam negeri itu, maka sepantasnya berlaku terhadap mereka (ketentuan-Ku) kemudian Aku hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya”
(Surah Al Isra' ayat 16)

Orang Islam yang berbuat fasik, berbuat kerosakan, kejahatan dan maksiat dimuka bumi ini, maka Allah menyediakan seksa Neraka yang pedih.

Akhirkata marilah sama-sama kita jauhkan diri kita daripada sifat fasik kerana sifat fasik adalah sifat yang dibenci oleh Allah s.w.t. Sekiranya ada sifat-sifat fasik ini menguasai diri kita maka cepat-cepatlah beristighfar dan bertaubat kepada Allah s.w.t.


No comments: