Thursday, July 8, 2010

Jangan Pentingkan Diri Sendiri

1. Dari Abu Hurairah r.a. katanya: “Bersabda Rasulullah s.a.w.: “ Tiga macam orang bukan saja tidak akan mendapat layanan dan ampunan pada hari kiamat kelak, bahkan akan mendapat seksa yang pedih, iaitu seorang yang mempunyai kelebihan air di tengah padang pasir, sedangkan ia tidak mahu memberikannya kepada orang yang kehausan, seorang yang menjajakan barang dagangannya sesudah lewat waktu Asar sambil bersumpah dusta bahawa pokoknya sekian-sekian dan dipercayai oleh si pembeli dan seorang lagi yang membai’at pemimpin hanya untuk maksud manfaat keduniaan; apabila kelak maksudnya tercapai, ia patuh dan jika tidak, ia mungkir (berpaling tadah).” -
 (Hadis Riwayat Muslim)


Huraiannya :
Jujur dan telus adalah sifat yang datang dari dalam jiwa insan yang beriman. Orang-orang yang selalu mementingkan dirinya tidak akan memikirkan kepentingan orang lain sebaliknya akan sanggup berbuat apa sahaja asalkan hajatnya tercapai. Dalam hal ini kehidupan kita bukanlah bersandarkan kehendak hawa nafsu tetapi ia perlu kepada semangat kekitaan dan kasih sayang yang mengenepikan segala unsur peribadi yang menjadikan seseorang itu lupa diri dan lupa saudara. Seharusnya apa sahaja yang dilakukan hendaklah bermula dari niat yang betul dan ikhlas. Kedua-dua sifat tersebut menentukan sejauhmanakah kita bepegang pada prinsip walaupun di akhirnya kita terpaksa berkorban.

2. Rasulullah s.a.w.. pernah besabda yang bermaksud : "Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia suka saudaranya mendapat (kebaikan seperti) apa yang dia sendiri suka mendapatnya"

(Hadis Riwayat Bukhari Muslim).

Huraiannya :
Sesungguhnya Allah s.w.t. dan RasulNya tidak menyukai bahkan memurkai golongan manusia yang sukakan dirinya saja dan tidak memikirkan orang lain yang berduka, sakit, miskin dsb. Jenis manusia sedemikian dianggap tidak mengakui persahabatan, sillaturrahim, maruah dsb. kecuali jika ia ada faedah disebaliknya. Islam membenci sikap ini, ia satu sifat keji yang perlu dijauhi. Manusia yang dikasihi Allah adalah orang hidup untuk dirinya dan orang lain, memikirkan tentang kebaikan orang lain sebagaimana dia memikirkan tentang kebaikan dirinya sendiri.










No comments: