Wednesday, July 7, 2010

Dirikanlah Solat Dengan Khusyuk

Sahabat yang dikasihi Allah,
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud r.a katanya: Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w:
"Apakah amalan yang paling utama?"
 Baginda s.a.w. bersabda: "Soalt pada waktunya."
 Aku bertanya lagi: "Kemudian apa lagi?"
 Baginda s.a.w. bersabda: "Berbakti kepada kedua orang tua. "
Aku bertanya lagi: "Kemudian apa lagi? "
Baginda s.a.w. bersabda: "Berjuang pada jalan Allah."
Kemudian aku bertanya lagi kepada Baginda s.a.w., semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan baginda s.a.w."
 
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Berapa ramai orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehinya hanya penat dan letih kerana mereka itu lalai dalam solatnya."

Menurut Imam Ghazali bahawa solat itu ialah merupakan munajat seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila solat itu sebagai munajat sudah tentu ia dilakukan dengan penuh kesedaran di samping khusyuk dan tawaduk. Bagaimana mungkin seorang yang lalai boleh berbisik atau berdialog dengan Allah.

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seorang akan diterima oleh Allah. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi kata-kata pujian kepada Allah.

Solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih awal di akhirat kelak oleh Allah berbanding amalan-amalan lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan lain.
Solat itu, hebat statusnya dalam pandangan Allah, hebat cara penurunan kepada Rasulullah s.a.w. hebat cara melakukannnya, ditentukan waktunya, terikat kepada beberapa syarat rukun dan sunat sunatnya.

Di antara syaratnya mestilah suci dari hadas kecil dan besar, tubuh badan, pakaian dan tempat solat mestilah bersih dan segala najis dan kotoran dan mesti menghadap kiblat (Baitullah). Kedudukan Solat adalah sebagai tiang agama, tertegaknya solat maka tegaklah agama dan runtuhnya solat maka runtuhlah agama, dan kita harus INGAT.. ianya merupakan soalan pertama yang akan diajukan kepada kita semua sewaktu sekalian manusia itu dihisab di Padang Masyar nanti. Sabda Nabi s.a.w. maksudnya :
“ Persoalan pertama yang akan ditanya manusia di akhirat kelak dan amalannya ialah persoalan solat. Jika solatnya diterima oleh Allah, maka akan diterima seluruh amalannya yang lain dan sekiranya solatnya ditolak oleh Allah, akan ditolak semua amalannya ” 
(Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majjah)  

Hadis ini bermaksud : Jika ibadah solat itu diterima Allah, maka akan diterima semua amal ibadah yang lain, tetapi jika ibadah solat itu ditolak maka ibadah yang lain juga akan ditolak. Kerana solat ini terlalu tinggi darjatnya disisi Allah, lantaran itu perintah solat ini diterima Nabi s.a.w. mendapat perintah solat secara langsung daripada Allah s.w.t. di Arash Illahi. 

Sahabat yang dimuliakan,
Antara amalan untuk mendapat khusyuk dalam solat dan kemanisan ibadah ada 17 perkara :

1.Sentiasa melaksanakan solat berjemaah (yang paling afdhal ialah di masjid).

2.Menjaga makan minum agar terjamin halalnya (pastikan tidak di makan makanan yang haram dan syubhat kerana ianya boleh mengelapkan hati).

3.Membanyakkan sedekah kepada fakir dan miskin.

4.Jangan solat dengan menangguh untuk membuang air besar atau kecil dan perkemaskan segala urusan supaya tidak timbul kebimbangan dalam solat.

5.Mengambil wudhuk dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat atau do'a apabila air melalui di tiap-tiap anggota.

6.Memakai pakaian yang bersih dan kemas seperti akan menghadap pembesar negeri.

7.Tempat sujud dipastikan tidak ada gambar yang menganggu fikiran atau membimbangkan hati.

8.Mengingatkan mati dan kemungkinan itulah solat kita yang terakhir dalam hidup.

9.Menyedari bahawa kita sedang berhadapan dengan Allah Yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segala rahsia hamba-Nya.

10.Memenuhkan dada dalam perasaan takut dan rendah diri kepada Allah yang melihat segala gerak geri kita.

11.Memahami segala bacaan dalam solat termasuk ayat-ayat Al-Qur'an dan segala zikir.

12.Sebelum mengangkat takbir, membaca surah An-Nas, selawat atas Nabi s.a.w., istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan.

13.Memandang ketempat sujud dan tidak terlalu banyak mengerakkan anggota badan.

14.Memusatkan seluruh ingatan kepada solat.

15.Memanjangkan sedikit tempoh semasa rukuk dan sujud.

16.Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan solat.

17.Jangan menjeling ke kiri dan ke kanan. 

Akhirkata marilah sama-sama kita perbaiki solat kita supaya ianya menjadi khusyuk dan berkualiti dan dapat di persembahkan kepada Allah s.w.t sebagai persembahan yang pertama ketika berhadapan dengan Allah s.w.t. di hari akhirat nanti. Bila lulus solat kita maka segala amalan-amalan yang lain akan mudah melalui proses timbangan amal. Semoga kita ditempatkan oleh Allah s.w.t. kedalam Syurga yang disediakan-Nya untuk hamba-hamba-Nya yang dikasihi.

No comments: