Friday, July 9, 2010

Pengajaran Dari 'Magkuk Yang Cantik'

 Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah s.a.w dengan sahabat-sahabatnya Abu Bakar r.a, Umar r.a, Utshman r.a. dan Ali r.a. bertamu ke rumah Ali r.a. Di rumah Ali r.a. isterinya Sayidatina Fatimah r.ha. puetri Rasulullah s.a.w. menghidangkan untuk mereka madu yang diletakkan didalam sebuah mangkuk yang cantik, dan ketika semangkuk madu itu dihidangkan sehelai rambut terikut didalam mangkuk itu. Baginda Rasulullah s.a.w kemudian meminta kesemua sahabatnya untuk membuat suatu perbandingan terhadap ketiga benda tersebut, mangkuk yang cantik, madu dan sehelai rambut.

Abu Bakar berkata, "Iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis dari madu, dan mempertahankan iman itu lebih susah dari meniti sehelai rambut."

Umar r.a. berkata, "Kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis dari madu, dan memerentah dengan adil itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Utshman r.a. berkata, "Ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis dari madu, dan beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Ali r.a. berkata, "Tetamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menjamu tetamu itu lebih manis dari madu, dan membuat tetamu senang sampai kembali pulang ke rumah adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Fatimah r.ha berkata, "Seorang wanita itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, wanita yang berpurda itu lebih manis dari madu, dan mendapatkan seorang wanita yang tak pernah dilihat orang lain kecuali mahramnya lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Rasulullah s.a.w berkata maksudnya, "Seorang yang mendapat taufiq untuk beramal adalah lebih cantik dari mangkuk yang cantik, beramal dengan amal yang baik itu lebih manis dari madu, dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Malaikat Jibril a.s berkata maksudnya, "Menegakkan pilar-pilar agama itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri, harta dan waktu untuk usaha agama lebih manis dari madu, dan mempertahankan usaha agama sampai akhir ayat lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Allah s.w.t. berfirman maksudnya, "Syurga-Ku itu cantik dari mangkuk yang cantik itu, nikmat Syurga-Ku itu lebih manis dari madu, dan jalan menuju Syurga-Ku adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut." 

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan tafsiran mengenai mangkuk yang cantik itu yang mengandungi madu dan rambut adalah seperti berikut :

1. Iman itu cantik. Orang beriman itu manis . Mempertahankan iman itu sulit.
2. Kerajaan Islam itu cantik. Pemerentah yang memerentah itu manis. Melaksanakan keadilaan itu sulit.
3. Ilmu itu cantik.Menuntut ilmu itu manis. Beramal dengan ilmu itu sulit.
4. Tetamu itu cantik. Menjamu tetamu itu manis. Melayan tetamu dengan baik hingga ia pulang kerumah itu sulit.
5. Seorang wanita itu cantik. Berpurda itu manis. Mengelak dari dipandang oleh bukan mahram itu sulit.
6. Mendapat taufik itu cantik. Beramal dengan amalan baik manis. Beramal dengan ikhlas itu sulit.
7. Menegakkan agama itu cantik. Menyerah diri, harta dan waktu untuk agama itu manis. Mempertahankan agama hingga akhir hayat itu sulit..
8. Syurga itu cantik. Nikmat Syurga itu manis. Jalan menuju ke Syurga itu sulit.

Oleh itu marilah sama-sama kita mempertahankan iman, menegakkan keadilan, beramal dengan ilmu yang dimiliki, meraikan tetamu dengan baik hingga ia pulang, menjaga pandangan dari memandang wanita yang bukan mahram, beramal dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah, mempertahankan agama Allah sepenuh hati hingga akhir hayat dan beramal dengan amalan yang boleh membawa kita kepada Syurga Allah s.w.t.


No comments: