Friday, November 26, 2010

Jadikanlah Sabar dan Solat Penolongmu

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam kehidupan setiap hari kita tidak akan terlepas dengan berbagai masaalah kehidupan. Masaalah akan datang silih berganti selagi kita hidup dan bernafas di dunia ini kita tidak akan sunyi dengan masaalah. Dunia ini tempat beramal, bekerja dan menghadapi dugaan dan ujian dalam kehidupan. Kerana tempat rehat kita sebenar bukan di sini , tetapi tempat rehat sebenar adalah  pertama di alam barzakh dan kedua di Syurga.


Di alam barzakh adalah tempat rehat pertama untuk orang-orang Mukmin kerana disini ia akan ditempatkan di taman-taman Syurga dan diperlihatkan tempat duduknya yang sebenar iaitu di Syurga yang akan di dudukinya nanti selepas hari kiamat dan perhimpunan di Padang Mahsyar. Di alam barzakh tak ada pergaduhan, fitnah memfitnah, membuat maksiat atau pun beramal soleh. Yang akan membantunya adalah amal-amal soleh yang telah dibuatnya ketika hidup di dunia dahulu . Jika ia meninggalkan banyak sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak-anak yang soleh yang sentiasa mendo'akannya, maka ketiga-tiga amalan inilah yang akan menambahkan pahalanya walaupun ia sedang  berada di alam barzakh.


Sahabat yang dimuliakan,
Oleh kerana kita masih hidup di dunia ini maka kita perlulah pertolongan yang akan membantu kita menyempurnakan amalan kita. Allah s.w.t menjelaskan dua perkara yang akan membantu kita adalah banyak bersabar dan mengerjakan solat .


Di dalam al-Qur'an terdapat tidak kurang 94 perkataan `sabar'. Secara mudah hakikat ini menggambarkan betapa sifat sabar amat dituntut supaya dimiliki oleh umat Islam yang beriman.


Allah s.w.t berfirman maksudnya :
``Hai orang-orang yang beriman, jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.''  (Surah al-Baqarah ayat 153)


``Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.''
(Surah al-Baqarah ayat 155)


Berdasarkan ayat-ayat di atas Allah s.w.t menyeru kepada orang-orang beriman supaya menjadikan sabar dan solat itu sebagai penolongnya. Para ahli tafsir menyatakan bahawa suruhan ini adalah wajib kerana berbentuk suruhan kepada orang-orang Mukmin. Jika orang Mukmin meninggalkan sifat sabar dan meninggalkan solat maka ianya berdosa. Jika kita komited untuk melaksanakan dua perkara ini pasti kita akan mendapat kejayaan dalam menyelesaikan berbagai masaalah yang kita hadapi. 


Pertama : Sabar.
Allah s.w.t.  menjadikan kehidupan manusia ini keseluruhannya adalah peluang untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dan menuju ke arahNya. Maka, ketika hal yang menggembirakan berlaku pintu menuju Allah adalah syukur sedang ketika hal yang kurang disukai berlaku maka pintu yang terbuka adalah sabar.

Mengenai hal ini Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Menakjubkan perihal orang yang beriman. Sesungguhnya setiap perkara dalam urusannya (orang Mukmin) semuanya adalah baik baginya dan tidak berlaku hal yang demikian melainkan ke atas mereka yang beriman. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar maka yang demikian adalah baik baginya dan jika dia didatangkan kemudahan dia bersyukur maka yang demikian adalah baik baginya.” (Hadis Riwayat  Muslim)


Manusia merupakan makhluk berakal dan selalu dibebankan dengan ujian dan cubaan, maka sabar mejadi salah satu ciri khasnya. Al-Imam Al-Ghazali berkata: "Sabar merupakan ciri khas milik manusia dan tidak dipunyai oleh haiwan kerana kekurangan-kekurangannya dan tidak pula oleh malaikat kerana kesempurnaannya"


Allah berfirman dalam yang bermaksud : "Orang-orang yang berdo'a dengan berkata: 'Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab Neraka"; (Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur"
(Surah Ali-Imran ayat 16 -17)


Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya"
(Surah al-Baqarah ayat 45-46)


Orang Mukmin akan menjadikan sabar itu sebagai penolongnya iaitu ia sabar ketika berhadapan dengan manusia lain yang cuba menyakitkan hatinya, sabar ketika di uji dengan pergolakkan rumah-tangganya, sabar dengan perangai anak-anaknya yang tidak mendengar nasihat, sabar menghadapi keranah ketua pejabatnya yang menimbulkan kemarahan hatinya, sabar mengawal nafsunya yang suka kepada perkara-perkara yang melalaikan dan sabar untuk sentiasa melaksanakan Islam dalam kehidupannya walau pun mendapat cemuhan daripada orang lain. Sabar yang paling utama adalah sabar hidup di dunia ini dengan kekurangan harta, kesakitan yang di alami dan sabar ketika mendengar bisikan syaitan yang cuba menguasi hawa nafsunya untuk melakukan perkara yang di tegah oleh Allah s.w.t.

Kedua : Solat.

Rasulullah s.a.w selaku contoh yang baik telah memberi tunjuk ajar yang konkrit dalam mengamalkan Surah al-Baqarah ayat 45-46 di atas. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dijelaskan bahwa, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila menghadapi suatu persoalan, baginda segera mengerjakan solat“.

Huzaifah bin Yaman menuturkan, “Pada malam berlangsungnya perang Ahzab, saya menemui Rasulullah s.a.w, sementara baginda sedang solat seraya menutup tubuhnya dengan jubah. Bila baginda menghadapi persoalan, maka baginda akan mengerjakan solat".

Bahkan Ali bin Abi Thalib k.w. menuturkan keadaan Rasulullah s.a.w pada perang Badar, “Pada malam berlangsungnya perang Badar, semua kami tertidur kecuali Rasulullah, baginda solat dan berdo’a sampai pagi“.

Dalam riwayat Ibnu Jarir dijelaskan bagaimana pemahaman sekaligus pengamalan sahabat Rasulullah s.a.w terhadap ayat ini. Diriwayatkan bahwa ketika Ibnu Abbas melakukan perjalanan, kemudian sampailah berita tentang kematian saudaranya Qatsum, ia langsung menghentikan kenderaanya dan segera mengerjakan solat dua raka’at dengan melamakan duduk. Kemudian ia bangkit dan menuju kenderaannya sambil membaca, “Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’“. Secara khusus untuk orang-orang yang beriman, perintah menjadikan sabar dan solat sebagai penolong ditempatkan dalam rangkaian perintah zikir dan syukur.

Oleh itu marilah kita amalkan seperti yang di amalkan oleh Nabi s.a.w. menjadikan solat itu sebagai penolong kita apabila kita menghadapai apa saja masaalah samaada melibatkan hal-hal kekeluargaan, pekerjaan, perniagaan atau hubungan dengan masyarakat.

Salah satu solat sunat mu'akkad yang amat dituntut untuk ita kerjakan selepas solat fardhu adalah solat tahajjud. Ketika waktu bertahajjud inilah kita berdo'a dan bermunajat kepada Allah s.w.t meminta apa saja pertolongan daripada-Nya untuk menyelesaikan segala permasaalahan yang kita hadapi.

Firman Allah s.w.t maksudnya :
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.
(Surah al-Israa’ ayat 79)

Dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.”

( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu jadikanlah sabar dan solat itu pakaian hidup kita dan sentiasa menjadikannya amalan yang tidak kita tinggalkan. Jika kita beristiqamah dengan dua amalan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t ini kita akan terlepas daripada kesusahan dan akan sentiasa mendapat rahmat dan keredhaan daripada-Nya. Ingatlah amalan ini adalah amalan para Nabi , siddiqin, syuhada dan solihin yang sentiasa mendapat rahmat daripada Allah s.w.t.

1 comment:

Anonymous said...

SubahanAllah.. Indahnya islam..