Monday, January 3, 2011

Pembinaan Rumahtangga Islam Satu Tuntutan

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setengah pasangan atau salah seorang daripadanya meletakkan tujuan yang tidak betul dalam perkahwinan. Sebahagiannya kerana bermatlamatkan kekayaan, kecantikan, keturunan, nafsu dan sebagainya. Cabaran yang akan dihadapi adalah berdasarkan sejauhmana matlamat yang ingin dicapai dalam rumahtangga. Tujuan perkahwinan ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya dapat mewujudkan suasana kasih sayang yang memperindahkan kehidupan. Tanpa penyusunan yang rapi di dalam pergaulan di antara lelaki dan wanita, kepincangan tidak dapat dielakkan, kerana itu perkahwinan disyariatkan.

Islam memberikan perhatian yang sangat besar dalam pembentukan sebuah keluarga, kerana keluarga merupakan satu masyarakat yang kecil sebelum terbentuknya sebuah masyarakat yang lebih luas. Mendirikan dan membentuk sebuah keluarga yang berteraskan Islam, sakinah, mawaddah wa rahmah harus dimulai dengan meletakkan asas keislaman yang kukuh, yang dimulai dengan memilih jodoh mengikut cara Islam, proses walimatul ‘urus, membangun keluarga dari tahap awal, dan mendidik anggota keluarga .

Sahabat yang dimuliakan,
Kejahilan adalah musuh kepada kebahagiaan rumah tangga. Kejahilan mengurus akan membuka ruang yang lebih luas kepada cabaran yang lebih besar. Pengurusan rumahtangga mesti didasarkan kepada tiga perkara berikut :

1. Proses pendidikan Islam perlu berjalan untuk mengukuhkan kesedaran beragama iaitu menyuburkan ketaatan kepada Allah S.W.T., tidak menganiaya sesama manusia, melahirkan sifat kasih sayang dan bertimbangan rasa dan lain-lain.

2. Memahami hukum fikah bab munakahat iaitu memahami kewajipan dan tanggungjawab suami kepada isteri , kewajipan mendidik dan memberi nafkah kepada anak-anak dan memahami hukum-hakam mengenai penceraian, talak, hak-hak suami dan isteri dan sebagainya jika berlaku perselisihan.

3. Memahami perlunya toleransi dan kerjasama serta komunikasi yang baik diantara suami, isteri dan anak-anak. Termasuk keluarga di kedua-dua belah pihak.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Perkahwinan itu adalah sunahku, maka barangsiapa yang benci kepada sunahku, nescaya telah membenci aku.”

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
”Ambillah isteri, kerana beristeri lebih membuka pintu rezeki bagi kamu.” 
(Hadis Riwayat Thusiy)

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan jadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan."
(Surah al-Rum ayat 21)

Di dalam Islam sebelum seseorang itu ingin mendirikan rumahtangga maka pemilihan jodoh hendaklah berdasarkan pada agama seseorang kerana ini akan membawa kepada kebahagiaan dan kerukunan rumahtangga kerana masing-masing mempunyai asas dalam kefahaman agama.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Wanita itu dikawini kerana hartanya atau kecantikannya, keturunannya atau agamanya, maka hendaklah kamu memilih yang mempunyai agama yang kukuh, nescaya kamu akan bernasib baik.”

Selain daripada mengutamakan agama satu lagi perkara yang perlu di ambil perhatian adalah sekufu (persamaan). Perkahwinan sekufu adalah perkahwinan di antara suami dan isteri yang mempunyai persamaan dari segi keadaan hidup. Adakah Islam mengaku suami isteri itu bertaraf-taraf? Jawapannya ia. Taraf ini diukur dari darjat kehidupan. Tentunya tidak sama orang berilmu dengan yang tidak berilmu, orang yang bertakwa tidak sama dengan orang yang tidak bertakwa, orang yang suka berpoya-poya dan berbuat maksiat dengan orang yang warak. Dari aspek inilah Islam melihat adanya perbezaan hidup manusia. Walaupun begitu dari segi nilai kemanusiaan, manusia itu sama.

Manusia yang jahat pun dari sudut kemanusiaan perlu diberi pertolongan dan dihormati sebagai manusia. Dari semua perbezaan hidup dan nilai-nilai hidup manusia, tidak ada yang lebih mulia melainkan insan yang  bertakwa kepada Allah S.W.T.

Pembinaan institusi kekeluargaan yang mantap merupakan hospital yang paling anggun bagi menghadapi segala bentuk cabaran. Keluarga yang mantap dan bahagia menjadi penawar kepada segala masaalah. Ia juga menjadi prasyarat dalam merencana rekayasa sosial. Rekayasa sosial adalah satu cara dalam mengukuhkan institusi keluarga menerusi pembentukan masyarakat sakinah dalam menghadapi era globalisasi zaman moden ini. Pendekatan ini diambil dengan matlamat untuk melahirkan masyarakat yang aman, makmur, seimbang, maju, berbudaya dan bertatasusila dengan berlandaskan norma moral dan nilai kerohanian hidup yang positif.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Jika seorang perempuan melihat kesalahan suaminya atau telah berpaling hatinya, tiada berdosa jika keduanya mengadakan perdamaian sesama mereka, berdamai itu adalah lebih baik, memang manusia berperangai kikir, jika kamu berbuat baik kepada isteri kamu dan bertakwa, sesungguhnya Allah Amat Mengetahui." (Surah An-Nisaa' ayat 128)

Apakah ciri-ciri penting yang perlu ada pada bakal pasangan suami isteri supaya menjamin kebahagiaan rumahtangga yang akan dibina?

1. Mempunyai matang fizikal iaitu sihat tubuh badan dan tidak naif.

2. Mempunyai kematangan intelektual iaitu  mempunyai keyakinan diri (bersikap objektif), mampu membuang segala perangai buruk dan amalan negatif, mengaku kekurangannya dan berkeinginan untuk membaiki kelemahan diri.

3. Mempunyai kematangan emosi iaitu tahu mengawal diri ketika marah dan sebagainya.

4. Mempunyai kematangan sosial iaitu mempunyai hubungan kekeluargaan yang harmoni, mampu menyesuaikan diri dengan masyarakat di mana dia berada.

5. Mempunyai kematangan moral iaitu memahami hal orang lain dan selalu mempertimbangkan akibat perbuatannya terhadap orang lain.

6. Mempunyai kematangan usia iaitu antara 24-30 tahun bagi lelaki dan 20-25 tahun bagi wanita. Ia sebenarnya banyak bergantung kepada iklim dan adat sesuatu tempat.
(dalam kes-kes tertentu jika di dapati pasangan tersebut lebih muda daripada kematangan usia tersebuat dan memerlukan mereka berkahwin maka ianya lebih baik daripada terlibat dengan gejala zina)

Sahabat yang dikasihi,
Di dalam pembinaan rumah tangga bapa sebagai ketua keluarga perlu menyedari bahawa menyediakan bekalan ilmu dan pendidikan kepada isteri dan anak-anak ada satu keperluan yang diutamakan. Semoga dengan ilmu dan pendidikan akan melahirkan rumah tangga muslim 'menjadikan rumahku syurgaku' dan mereka sentiasa terbimbing dengan ilmu dan akhlak Islam. 

Bapa juga perlu bekerja keras  nencari nafkah untuk mendapatkan wang dan harta supaya sekurang-kurangnya dapat memenuhi tiga keperluan asasi kehidupan iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Setiap keluarga juga mestilah menguruskan soal-soal perbelanjaan dengan betul dan terancang. Perkara-perkara yang menjadi tegahan agama seperti pembaziran, berbelanja dengan berlebih-lebihan sehingga menimbulkan riyak atau membeli barang-barang yang tidak perlu dan seumpamanya hendaklah dielakkan. Amalkanlah kehidupan secara sederhana dan sentiasa berjimat cermat. Rezeki yang diperolehi itu sepertiga darinya hendaklah dibelanjakan untuk maksud nafkah, sepertiganya untuk maslahat umum seperti zakat, sedekah dan seumpamanya dan sepertiga lagi untuk tabungan. Untuk menjamin hidup masa depan, budaya menabung perlu diamalkan dalam keluarga seperti kata pepatah "beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis" 

Proses pendidikan kepada keluarga perlu berjalan dengan baik dan berterusan. Untuk melahirkan susana tarbiah persekitarannya perlulah persekitaran yang baik kerana ianya akan membantu mencapai kebahagiaan rumahtangga tetapi persekitaran yang tidak baik akan mempengaruhi dan menghalang wujudnya kebahagiaan dan keharmonian dalam keluarga. Banyak aspek persekitaran yang perlu diambil perhatian seperti jiran tetangga, masyarakat sekeliling, pembantu rumah, pengaruh media, pengaruh pemikiran barat, keselesaan dan keindahan di dalam dan luar rumah, menghiasi rumah dengan peralatan dan perhiasan yang diredai Allah. Ibu bapa hendaklah pandai membentuk suasana yang harmoni.

Daripada Saat r.a. katanya, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Empat perkara yang membawa kebahagiaan rumahtangga iaitu wanita yang baik, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang baik." (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Semasa majlis perkahwinan beberapa perkara yang perlu di ambil perhatian adalah seperti berikut :
1. Menyedari tujuan sebenar kita mengadakan walimah.
2. Menghindari perbuatan syirik dan kurafat.
3. Mengelak daripada melakukan maksiat.
4. Mengundang golongan yang kurang berada.
5. Mengelakkan ikhtilat (percampuran antara lelaki dan wanita)
6. Menghindarkan hiburan yang merosakkan nilai ibadah. (hiburan yang memuji kebesaran Allah tidaklah dilarang)
7. Menghindari pembaziran.
8. Mengelakkan perhiasan yang melampau.
9. Memberikan ucapan selamat serta mendoakan kebahagiaan kedua mempelai serta keluarga mereka.

Sahabat,
Perkahwinan adalah sunah Rasulullah S.A.W. dan hanya jalan perkahwinan sahaja dapat menyelesaikan perzinaan dan pembuangan dan kelahiran anak-anak tidak sah taraf. Apabila sudah ada jodoh dan ada calun yang sesuai teruskanlah diijab kabulkan kerana jika ditangguh-tangguh lagi akan mendatangkan mudarat yang lebih besar. Janganlah dipandang kepada hantaran dan mas kawin yang mahal kerana ianya akan mendatangkan kesusahan kepada pihak lelaki yang berhajat untuk mengambil seorang wanita itu untuk menjadi isterinya .

Rasulullah S.A.W.  memberi cara mudah bagi laki-laki untuk mengetahui akhlak calon isterinya dengan mengetahui besar kecil mas kawin yang dimintanya. Seorang wanita yang kuat agamanya tentu tidak akan membebani calon suaminya dengan mas kawin yang mahal harganya. Tetapi dia akan menunjukkan jalan bagi suaminya jalan yang mudah untuk segera mengawininya.
 Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
”Sebaik baik wanita yaitu yang paling murah permintaan mas kawinnya.” 
(Hadis Riwayat Thabrani)

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
“Barangsiapa yang mampu untuk berumahtangga, maka hendaklah ia berkahwin kerana yang demikian itu dapat memelihara mata dan menjaga kemaluan. Dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu adalah dapat menahan keinginan (hawa nafsu).”

“Jika yang datang meminang kepada kamu orang yang kamu percaya tentang agamanya dan amanatnya, maka sebaik-baiknya kamu kawinkanlah saja. Jika tidak, dikawatirkan akan menjadi fitnah di atas muka bumi dan kecelakaan yang besar.”

No comments: