Sahabat yang dirahmati Allah,
Doa adalah senjata orang mukmin. Dalam kehidupan seorang mukmin, hidupnya penuh dihiasi dengan akhlak Islam, amal soleh, amal ibadah dan peribadi mulia yang akan menjadi contoh kepada orang lain. Dalam keadaan hidup yang sukar dan perlu pengorbanan maka lidahnya sentiasa berzikir, berdoa dan bermunajat kepada Allah S.W.T. tanda pengharapannya yang mutlak kepada AllahS.W.T.
Nabi S.A.W. mengajarkan agar sentiasa berdoa tanda pengharapan dan pergantungan kita kepada Allah S.W.T. salah satu doa yang sering baginda ucapkan yang maksudnya : "Ya Allah, perbaikilah agamaku kerana ia merupakan pangkal urusanku, perbaikilah duniaku kerana ia merupakan penghidupanku, perbaikilah akhiratku kerana ia merupakan tempat kembaliku, dan jadikanlah hidup sebagai kesempatan untuk menambah setiap kebaikanku, dan jadikanlah mati sebagai pelepas diriku dari setiap kejahatan." (Hadis Riwayat Muslim)
Berdasarkan doa di atas terdapat lima perkara Nabi S.A.W memohon kepada Allah S.W.T .iaitu :
1. Perbaikilah agamaku kerana ia merupakan pangkal urusanku.
2. Perbaikilah duniaku kerana ia merupakan penghidupanku.
3. Perbaikilah akhiratku kerana ia merupakan tempat kembaliku, dan
4. Jadikanlah hidup sebagai kesempatan untuk menambah setiap kebaikanku, dan
5. Jadikanlah mati sebagai pelepas diriku dari setiap kejahatan.
Huraiannya :
Pertama : Perbaikilah agamaku kerana ia merupakan pangkal urusanku.
Perkara yang paling penting dan utama dalam kehidupan seorang mukmin adalah mempunyai pegangan agama yang kuat. Agama ini sentiasa difahami, diyakini dan dilaksanakan dalam kehidupan setiap hari.
Definisi agama Islam mengikut syara' adalah patuh dan menyerah diri kepada Allah dengan penuh kesedaran dan kerelaan tanpa paksaan. Islam juga adalah peraturan hidup, peraturan yang lengkap dan sempurna yang mengatur hidup dan kehidupan manusia dan menjadi dasar akhlak mulia, yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Sabda Rasulullah maksudnya : "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya, iaitu al-Quran dan Sunnah Rasul".
Definisi Islam semasa Jibril datang bertanya Rasulullah tentang Islam:
"Ceritakan padaku (wahai Muhammad) tentang Islam," Rasulullah S.A.W. menjawab: "Kau mengakui tiada Tuhan selain Allah, Muhammad adalah hambaNya dan Rasulullah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, puasa bulan Ramadhan dan berhaji ke baitullah jika engkau kuasa".
Kedua : Perbaikilah duniaku kerana ia merupakan penghidupanku.
Dari Ibnu Abbas r.a katanya : " Ada tujuh petanda kebahagiaan dunia, iaitu :
1. Hati yang selalu bersyukur
2. Pasangan hidup yang soleh dan solehah
3. Mempunyai anak yang soleh dan solehah.
4. Suasana persekitaran yang baik untuk iman kita
5. Harta yang halal .
6. Memiliki kefahaman untuk memahami agama
7. Umur yang barakah - ertinya umur yang semakin tua semakin soleh, yang setiap detiknya diisi dengan amal ibadah."
Tujuan penciptaan manusia di dunia adalah untuk beribadah kepada Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku" (Surah az-Zariyat ayat 56)
Untuk mendapatkan manfaat langsung dari Alah S.W.T, maka perlu untuk meyakini bahwa kejayaan yang sempurna di dunia ini terletak hanya dalam mentaati perintah-perintah Nya dengan cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W.
Allah S.W.T berfirman maksudnya : "Barangsiapa mengerjakan amal kebaikan laki-laki atau perempuan, dan dia beriman, pasti akan Kami beri ia kehidupan yang baru, suatu kehidupan yang baik dan bersih, dan akan Kami balas dengan pahala sebaik-baiknya sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan".
(Surah an-Nahl ayat 97)
Allah S.W.T berfirman maksudnya : "Tidaklah semestinya bagi seorang mukmin, laki-laki dan perempuan bila Allah dan Rasul Nya sudah menentukkan suatu keputusan, mereka akan memilih yang lain dalam keputusan mereka ; Barang siapa tidak mentaati Alah dan rasul Nya ia dalam kesesatan yang nyata."
( Surah al Ahzab ayat 36)
Ketiga : Perbaikilah akhiratku kerana ia merupakan tempat kembaliku.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
“Ada empat perkara yang apabila diberikan kepada sesaorang sesungguhnya ia telah memperolehi kebaikan dunia dan akhirat, iaitu :
1. Hati yang sentiasa bersyukur
2. Lisan yang sentiasa berzikir
3. Tubuh yang sentiasa sabar dalam menanggung musibah, dan
4. Isteri yang tidak pernah khianat sama ada terhadap dirinya atau terhadap harta benda (suami) nya.”
Sesungguhnya setiap insan dalam menghadapi gelombang kehidupan pasti menjadikan doa sebagai senjata paling ampuh. Apatah lagi kehidupan seorang mukmin. Malah salah satu permohonan yang tidak pernah diabaikan adalah permintaan memperolehi kebaikan di dunia dan akhirat. Permohonan untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan terlepas dari bahang api neraka. Doa ini dirakamkan di dalam al-Quran.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
“Dan di antara mereka ada yang berdoa ; ‘Ya Tuhan kami kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api Neraka.”
(Surah al-Baqarah ayat 201)
Dari hadis Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. berkata, "Rasulullah S.A.W. ditanya tentang (amalan) yang paling banyak memasukkan orang ke dalam syurga. Baginda menjawab, 'Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik (husnul khuluq).' Baginda ditanya tentang hal yang banyak memasukkan orang ke neraka. Baginda menjawab, 'Mulut dan kemaluan'."
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Dari hadis diatas telah jelas kepada kita bahawa orang yang bertakwa (muttaqiin) dan akhlak yang baik adalah ciri utama yang boleh membawa jalan ke syurga. Orang muttaqiin adalah mereka yang mempunyai kedudukan yang tinggi disisi Allah S.W.T.
Keempat : Jadikanlah hidup sebagai kesempatan untuk menambah setiap kebaikanku.
Sikap orang mukmin sentiasa memperbaiki amalannya setiap hari. Jika ada perkara-perkara yang mencacatkan amalannya dia akan tinggalkan perkara tersebut, begitu juga jika ia dapati ada perkara-perkara yang membantu menyempurnakan amal solehnya kearah yang lebih baik dan sempurna maka ia akan lakukan.
Terdapat enam perkara yang boleh menyempurnakan amal soleh seseorang iaitu :
1. Senantiasa mendekatkan diri kepada Allah dan takut pada ancaman-Nya.
2. Berbaik sangka terhadap sesama muslim.
3. Sibuk dengan aib sendiri.
4. Menutup aib saudaranya .
5. Menganggap amalnya terlalu sedikit.
6. Berteman dengan orang- orang soleh.
Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :
"Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia." (Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah memperingatkan umatnya agar tidak malas dalam beribadat dan beramal soleh, sebaliknya harus memperbanyakkan kedua-duanya. Setiap hari ketika anak Adam menemui pagi, maka saat itu ada kesempatan baginya yang harus ia manfaatkan dengan memperbanyakkan ketaatan, ibadat dan amal soleh. Dengan begitu, ia akan sentiasa taat kepada Tuhannya dan menjauhi segala larangan-Nya, sehingga akan bertambah kebaikannya, semakin berat timbangan amal kebajikannya dan terhapus dosa-dosanya.
Kelima : Jadikanlah mati sebagai pelepas diriku dari setiap kejahatan.
Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya : “Apabila meninggal dunia seorang anak Adam maka putuslah segala amalannya kecuali tiga iaitu
1. Sedekah yang di tinggalkan semasa hidup.
2. Ilmu yang di menfaatkan. dan
3. Anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.”
Nabi S.A.W bersabda maksudnya : "Apabila dikebumikan hamba yang beriman, maka kubur berkata kepadanya, 'marhaban wa ahlan' (ucapan selamat datang), kamu adalah orang yang aku kasihi di kalangan mereka yang berjalan di atas belakangku, dan apabila aku menerimamu hari ini, lihatlah apa aku akan lakukan kepada kamu."
Sambung Nabi, "Maka kubur pun menjadi luas sejauh pandangan matanya dan dibukakan juga kepadanya pintu yang menghadap ke syurga.."
Bagi orang beriman dan bertakwa kematian itu adalah kerehatan kerana Allah S.W.T sedaikan untuk mereka taman-taman syurga. Sedangkan bagi orang kafir kubur adalah merupakan satu lubang daripada lubang api neraka.
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita amalkan doa yang sering di baca oleh Nabi S.A.W. seperti di atas yang mengandungi 5 kebaikan yang perlu kita fahami dan hayati semoga kita termasuk di kalangan hamba-hamba Allah yang dirahmati dan di kasihi-Nya di dunia dan akhirat.
1 comment:
AS SALAM SAYA MOHON SHARE DI BLOG SAYA KERANA RAMAI SAHABAT SAYA YG JUGA INGIN MEMBACA NYAAAA ..SEMOGA ALLAH SWT MEMBERIKAN RAHMATNYA KE ATAS KAMU ..TERIMA KASIH ... WASSALAM
SILA HADIR KE BLOG SAYA :
www.nurhidayahjalansuciku.blogspot.com utk memberikan pandangan dan comment anda yg bernas ..tk
Post a Comment