Saturday, February 5, 2011

Doa Mohon Perlindungan Daripada Allah Kepada Empat Perkara.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang mukmin yang sentiasa dalam hidupnya  berdoa dan berhubung hati dengan Allah S.W.T.  akan mempunyai  kekuatan dalamannya amat luar biasa dan akan mencapai kecemerlangan dalam hidupnya berbanding mereka yang dalam hidupnya tidak mahu berdoa dan hanya bergantung pada akal fikirannya semata-mata untuk mencapai sesuatu perkara.

Perancangan macamana hebat sekalipun apabila ianya dibuat tanpa memohon pertolongan Allah S.W.T. maka ianya tidak akan berjaya dan kalau berjaya sekalipun ianya tidak akan berkat dan akhirnya akan menemui jalan buntu dan kegagalan.

Segala kekuatan lahir, pengalaman, kemahiran dan kekuatan batin daripada tenaga dalaman akan dipadukan untuk mencapai apa-apa yang dihajatkan. Apabila diketengahkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian doa dan munajat akan mampu menjadi senjata yang ampuh.

Rasulullah S.A.W.  selalu berdoa (mengajarkan kepada umatnya) : " Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada ilmu yang tidak memberi manfaat dan daripada hati yang tidak khusyuk dan daripada amalan yang tidak diangkat (tidak diterima) dan daripada doa yang tidak didengar (tidak dimakbulkan). " (Hadis riwayat Ahmad).

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam doa Nabi S.A.W. seperti hadis di atas, menjelaskan kepada kita bahawa baginda memohon perlindungan daripada Allah S.W.T. dalam empat perkara :
1. Ilmu yang tidak memberi manfaat.
2. Hati yang tidak khusyuk.
3. Amalan yang tidak diangkat (tidak diterima)
4. Doa yang tidak di dengar (tidak dimakbulkan).

Huaraiannya :

Pertama : Ilmu yang tidak memberi manfaat.

Rasulullah S.A.W telah mengajar kepada kita bahawa mintalah perlindungan daripada Allah S.W.T. daripada ilmu yang tidak memberi manfaat. Kenapakah ilmu yang tidak bermanfaat ini amat ditakuti oleh Nabi S.A.W. ? Ini adalah kerana ilmu yang tidak bermanfaat ini jika ianya berbentuk dosa dan maksiat, dan ianya diikut oleh manusia terus menerus hingga kehari kiamat maka orang yang menyampaikannya kepada orang lain akan mendapat dosa yang berlipat kali ganda.

Dalam hadis yang lain baginda pernah bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat.” (Petikan Kitab Tanbihul Ghafilin halaman 13).

Ilmu yang memudaratkan orang lain atau ilmu bermaksiat kepada Allah S.W.T.  pengamal dan penyampainya akan mendapat dosa disisi Allah dan dosa yang berterusan sehingga hari kiamat jika di amalkan dan diikuti oleh seseorang. Oleh itu jauhilah diri kita daripada perbuatan dan amalan yang boleh menyesatkan diri kita sendiri dan menyesatkan orang lain.

Ilmu yang tidak memberi manfaat juga bermaksud bahawa ilmu tersebut ilmu yang Islam iaitu dari  al-Quran dan sunnah dan boleh mendatangkan kebaikan tetapi kita tidak dapat amalkan dalam kehidupan walaupun kita mengetahuinya. Seperti firman Allah S.W.T. maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan” (Surah Ash Shaf ayat 2-3)

Sahabat Abu Darda’ r.a. berkata, “Yang aku takuti di hari kiamat adalah ketika dikatakan kepadaku, ‘Apakah engkau mengetahui atau tidak? Aku menjawab, ‘Aku mengetahui’.
Maka tidak ada satupun ayat dari Kitabullah yang memerintahkan atau melarang melainkan mendatangiku menanyakan perintah dan larangannya. Ayat yang memerintahkan bertanya apakah engkau kerjakan? Dan ayat yang melarang bertanya apakah engkau tinggalkan?
Maka Aku berlindung kepada Allah dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyuk, dari nafsu yang tidak puas, dan dari doa yang tidak didengar”.
(Hadis Riwayat Al Baihaqy, Ad Darimy dan Ibnu Abdil Barr dari beberapa jalan dari Abu Darda’).

Berapa ramai orang yang mengingatkan manusia kepada Allah sementara dia sendiri lupa kepadaNya. Berapa ramai orang yang menakut-nakuti manusia dengan Allah ternyata dia berani menentang Allah. Berapa ramai orang yang mengajak manusia mendekatkan diri kepada Allah, dia malah jauh dari Allah. Berapa ramai orang yang menyeru mengajak manusia kepada Allah sedangkan dia sendiri jauh dari Allah dan berapa ramai orang yang membaca Kitabullah lalu dia melepaskan dirinya dari ayat-ayat Allah? Oleh itu pastikan semua ilmu yang kita miliki dan fahami dapat pula kita amalkan dalam kehidupan kita, insya Allah.

Kedua : Hati yang tidak khusyuk.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan solat kita tidak khusyuk iaitu :

1.Tidak ada keinginan atau keghairahan mendirikan solat. Untuk mendapatkan keghairahan untuk bersolat ialah dengan banyak membaca al-Quran, ingat mati selalu ambil tahu tentang kelebihan khusyuk dalam solat.

2.Makan makanan yang haram atau sumber makanan daripada duit yang haram. Memakan benda yang haram bererti menentang Allah. Dan benda-benda yang haram ini akan menjadi darah daging manakala darah daging inilah yang akan melahirkan tenaga dan gerak. Kalau memakan yang haram ia akan menggerak dan mendorong perbuatan yang jahat dan maksiat akibatnya hati menjadi kotor dan hati yang kotor mesti sukar untuk beribadat dan sukar untuk mendapat khusyuk.

3.Keras hati dan takabbur. Orang yang takabbur ialah orang yang tidak berupaya untuk merendah diri di hadapan Allah. Manakala hati yang keras pula tidak akan terkesan dengan  nilai tarbiah kehambaan yang dilahirkan dalam solat. Apabila ruku dia tak rasa hina, bila sujud tak terasa kebesaran Allah.

4.Banyak melakukan perbuatan yang sia-sia. Apalagi kalau membawa kepada haram seperti mengumpat, memfitnah, mengadu domba dan suka keluar perkataan maki hamun kepada seseorang.

Mereka yang tidak memperoleh ketenangan daripada solat, bererti mereka tidak akan memperoleh ketenangan dalam jiwanya dalam erti kata sebenar, kerana solat adalah ibadah paling utama dalam usaha memperoleh ketenangan dan tangga mukmin untuk menghampirkan diri kepada Allah.

Ucapan dalam solat adalah perangsang dalam jiwa untuk membentuk cara berfikir dan bertindak yang akan dipersembahkan atau dipamerkan kepada Allah.

Kerana itu setiap orang yang solat mesti memahami apa yang diucapkan dalam usaha memperoleh khyusuk.

Solat adalah gambaran iman. Sentuhan kasih sayang yang mampu membuka hati, menembusi rahsia zat yang Maha Agung. Ia adalah proses perpindahan jiwa seorang hamba kepada Allah yang menciptanya.

Solat yang khusyuk adalah wasilah mensyukuri nikmat Allah dan ikrar ketuhanan. Bermaksud, orang yang meninggalkan, mengabaikan atau memandang ringan solat ialah orang yang mengingkari nikmat Allah.

Khusyuk ialah keadaan jiwa yang tenang. Ia adalah amalan hati. Sekiranya hati khusyuk, maka akan khusyuklah seluruh anggota badan. Gaya laku luaran menggambarkan keadaan batin, iaitu hati. Hati adalah penguasa. Jiwa yang khusyuk, menyebabkan semua anggota tubuh menjadi tawaduk, merangkumi ucapan dan gerakan tubuh.

Khusyuk ketika solat hanya diperoleh oleh orang yang berupaya menumpukan seluruh pengamatan dan keprihatinan kepada Allah. Solat mempengaruhi kehidupan kerana solat adalah tempat atau punca ketenangan jiwa.


Ketiga : Amalan yang tidak diangkat (tidak diterima).

Mu'az bin Jabal berkata Rasulullah S.A.W.  telah mewasiatkan kepada saya mengenai sepuluh perkara.

Dari Muaz, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Puji syukur ke hadrat Allah S.W.T yang menghendaki agar makhluk-Nya menurut kehendak-Nya, wahai Muaz!”

Jawabku, “Ya, Sayidil Mursalin.”

Sabda Rasulullah S.A.W, “Sekarang aku akan menceritakan sesuatu kepadamu yang apabila engkau hafalkan (diambil perhatian) olehmu akan berguna tetapi kalau engkau lupakan (tidak dipedulikan) olehmu maka kamu tidak akan mempunyai alasan di hadapan Allah kelak.”

“Hai Muaz, Allah itu menciptakan tujuh malaikat sebelum Dia menciptakan langit dari bumi. Setiap langit ada satu malaikat yang menjaga pintu langit dan tiap-tiap pintu langit dijaga oleh malaikat penjaga pintu menurut ukuran pintu dan keagungannya.”

“Maka malaikat yang memelihara amalan si hamba (malaikat hafazah) akan naik ke langit membawa amal itu ke langit pertama. Penjaga langit pertama akan berkata kepada malaikat Hafazah,

“Saya penjaga tukang mengumpat. Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya karena saya diperintahkan untuk tidak menerima amalan tukang mengumpat”.

“Esoknya, naik lagi malaikat Hafazah membawa amalan si hamba. Di langit kedua penjaga pintunya berkata,

“Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya sebab dia beramal karena mengharapkan keduniaan. Allah memerintahkan supaya amalan itu ditahan jangan sampai lepas ke langit yang lain.”

“Kemudian naik lagi malaikat Hafazah ke langit ketiga membawa amalan yang sungguh indah. Penjaga langit ketiga berkata, “Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya kerana dia seorang yang sombong.”

Rasulullah S.A.W meneruskan sabdanya, “Berikutnya malaikat Hafazah membawa lagi amalan si hamba ke langit keempat. Lalu penjaga langit itu berkata,

“Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya. Dia seorang yang ujub. Allah memerintahkan aku menahan amalan si ujub.”

Seterusnya amalan si hamba yang lulus ke langit kelima dalam keadaan bercahaya-cahaya dengan jihad, haji, umrah dan lain-lain. Tetapi di pintu langit penjaganya berkata,

“Itu adalah amalan tukang hasad. Dia sangat benci pada nikmat yang Allah berikan pada hamba-Nya. Dia tidak reda dengan kehendak Allah. Sebab itu Allah perintahkan amalannya dilemparkan kembali ke mukanya. Allah tidak terima amalan pendengki dan hasad.”

Di langit keenam, penjaga pintu akan berkata,”Saya penjaga rahmat. Saya diperintahkan untuk melemparkan kembali amalan yang indah itu ke muka pemiliknya karena dia tidak pernah mengasihi orang lain. Kalau orang dapat musibah dia merasa senang. Sebab itu amalan itu jangan melintasi langit ini.”

Malaikat Hafazah naik lagi membawa amalan si hamba yang dapat lepas hingga ke langit ketujuh. Cahayanya bagaikan kilat, suaranya bergemuruh. Di antara amalan itu ialah solat, puasa, sedekah, jihad, warak dan lain-lain.

Tetapi penjaga pintu langit berkata, “Saya ini penjaga sum’ah (ingin kemasyhuran). Sesungguhnya si hamba ini ingin termasyhur dalam kelompoknya dan selalu ingin tinggi di saat berkumpul dengan kawan-kawan yang sebaya dan ingin mendapat pengaruh
dari para pemimpin. Allah memerintahkan padaku agar amalan itu jangan melintasiku. Tiap-tiap amalan yang tidak bersih karena Allah maka itulah riyak. Allah tidak akan menerima dan mengabulkan orang-orang yang riyak.”

Kemudian malaikat Hafazah itu naik lagi dengan membawa amal hamba yakni solat, puasa, zakat, haji, umrah, akhlak yang baik dan mulia serta zikir pada Allah. Amalan itu diiringi malaikat ke langit ketujuh hingga melintasi hijab-hijab dan sampailah ke hadirat Allah S.W.T.

Semua malaikat berdiri di hadapan Allah dan semua menyaksikan amalan itu sebagai amalan soleh yang betul-betul ikhlas untuk Allah."

Tetapi firman Allah S.W.T. maksudnya : “Hafazah sekalian, pencatat amal hamba-Ku, Aku adalah pemilik hatinya dan Aku lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh hamba-Ku ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas pada-Ku dengan amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak boleh menipu Aku. Aku adalah Maha Mengetahui.”

“Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung bagi-Ku apa saja yang terlindung. Pengetahuan-Ku atas apa yang telah terjadi adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas apa yang bakal terjadi.”

“Pengetahuan-Ku atas orang yang terdahulu adalah sama dengan Pengetahuan-Ku atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu bagaimana hamba-Ku ini menipu Aku dengan amalannya ini?”

“Laknat-Ku tetap padanya.”

Dan ketujuh-tujuh malaikat beserta 3000 malaikat yang mengiringinya pun berkata:

“Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknat-Mu dan laknat kami sekalian bagi mereka.”
Dan semua yang di langit turut berkata,”Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat.”

Sayidina Muaz (yang meriwayatkan hadis ini) kemudian menangis terisak-isak dan berkata,

“Ya Rasulullah, bagaimana aku dapat selamat dari apa yang diceritakan
ini?”

Sabda Rasulullah S.A.W, “Hai Muaz, ikutilah Nabimu dalam soal keyakinan.”

Muaz bertanya kembali,”Ya, tuan ini Rasulullah sedangkan saya ini hanyalah  Muaz bin Jabal, bagaimana saya dapat selamat dan boleh lepas dari bahaya tersebut?”

Bersabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Ya begitulah, kalau dalam amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan aib maka janganlah mengangkat diri dan menekan orang lain.”

“Jangan riyak dengan amal supaya amal itu diketahui orang. Jangan termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan akhirat. Kamu jangan berbisik berdua ketika disebelahmu ada orang lain yang tidak diajak berbisik. Jangan takabur pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan akhirat dan jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang takut padamu, jangan mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan, jangan mengoyakkan (menguris) perasaan orang lain dengan mulutmu, kerana kelak engkau akan dikoyak-koyak oleh anjing-anjing neraka Jahanam.”

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud,”Di neraka itu ada anjing-anjing yang mengoyak badan manusia.”

Muaz berkata, “Ya Rasulullah, siapa yang tahan menanggung penderitaan semacam itu?”

Jawab Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Muaz, yang kami ceritakan itu akan mudah bagi mereka yang dimudahkan oleh Allah S.W.T. Cukuplah untuk menghindari semua itu, kamu menyayangi orang lain sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri dan benci bila sesuatu yang dibenci olehmu terjadi pada orang lain. Kalau begitu kamu akan selamat dan dirimu pasti akan terhindar dari api neraka.”

Masya Allah! Betapa payahnya amalan kita ingin diterima oleh Allah S.W.T. jika kita beramal sedangkan sifat mazmumah masih menguasai hati dan jiwa kita. Oleh itu jauhkanlah diri kita daripada sifat mazmumah dan akhlak yang buruk dan ikhlaskanlah amalan kita semata-mata kerana Allah supaya ianya diterima oleh Allah S.W.T.

Keempat : Doa yang tidak di dengar (tidak dimakbulkan).

Suatu ketika Rasulullah S.A.W. melihat seorang lelaki yang kusut masai rambutnya, berdebu wajahnya kerana lama dan jauh perjalanannya. Dia mengangkat tangan berdoa Allah dengan katanya, ‘Wahai tuhanku, wahai tuhanku!
Keadaannya nampak bersungguh-sungguh memohon kepada Allah. Tetapi malang nasibnya kerana doanya tidak dimakbulkan. Ia disebabkan ketiadaan syarat yang diperlukan di dalam doa. Baginda menjelaskan, ‘Makannya haram, minumnya haram, pakaiannya haram, disuapkan dengan yang haram, maka bagaimanakah boleh dimakbulkan doanya.
(Hadis Riwayat Muslim).

Mafhum dari hadis ini, makanan halal adalah syarat penting termakbulnya doa. Sebaliknya pula, memakan makanan haram menyebabkan doa tidak dimakbulkan.
Pernah orang bertanya Ibrahim Adham ( seorang ahli tasawuf yang masyhur) mengapa doa mereka tidak dikabulkan Allah padahal mereka selalu berdoa. Jawapan beliau seperti berikut:

1.Kamu mengenal Allah tetapi tidak tunaikan hak-Nya.

2.Kamu cinta Rasulullah tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.

3.Kamu membaca Al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya.

4.Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah tetapi kamu tidak tunaikan syukurnya.

5.Kamu berkata syaitan musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya.

6.Kamu berkata syurga itu benar tetapi kamu tidak beramal untuknya.

7.Kamu berkata neraka itu benar tetapi kamu tidak bersedia untuknya.

8.Kamu berkata mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia untuknya.

9.Kamu bangun dari tidur lalu kamu menceritakan keaiban manusia tetapi kamu lupa keaiban kamu sendiri.

10.Kamu kuburkan mayat tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripada mereka.

Syarat doa supaya di makbulkan.

1.Berdoa di dalam keadaan suci daripada hadas dan najis.

2.Memoho hanya perkara kebaikan dan kebajikan sahaja.

3.Disertai rasa menyesal diatas dosa-dosa yang lalu.

4.Berdoa diwaktu-waktu mustajab doa seperti selepas solat fardu, tengah akhir malam , waktu hujan atau hari Jumaat.

5.Dengan khusyuk.

6.Hidup dengan makanan yang halal dan jauhi makanan haram dan subahat

7.Menyeru nama Allah dengan munasabah dengan hajat yang diminta.

8.Mengulang-ulang permohonan itu dan meyakini bahawa doa kita akan dimakbulkan.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Fushshilat  ayat 51 maksudnya :
“Dan apabila Kami memberikan nikmat kepada manusia, ia berpaling dan menjauhkan diri; tetapi apabila ia ditimpa malapetaka maka ia banyak berdo'a.”

Dari ayat tersebut, terlihat bahwa Allah S.W.T. ‘menyindir’ dan mengecam (sifat) manusia, yang mudah lupa jika diberi kenikmatan. Sebaliknya, jika mendapat kesusahan, walau sekecil apapun, maka dia akan menangis, berkeluh kesah dan berdoa meminta pertolongan kepada Allah S.W.T.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu mereka) : Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul."

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama amalkan doa ini dan fahami sungguh-sungguh maksud yang tersirat di atas doa perlindungan Nabi S.A.W. kepada Allah S.W.T. supaya Dia melindungi baginda dalam empat perkara seperti hadis di atas.

No comments: