Tuesday, March 1, 2011

Perasaan Dukacita Boleh Menghapuskan Dosa.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup di dunia ini adalah umpama pelayaran kapal di samudera yang luas terbentang. Di dalam kapal ada nakhoda yang mengemudi dan menentukan arah perjalanan kapal menuju ke destinasinya. Ada pembantu nakhoda yang bersama-sama mengendalikan pengurusan perjalanan kapal dan di dalam kapal ada anak-anak kapal (kelasi) yang bertungkus lumus untuk memastikan segala keperluan di dalam kapal umpama air bersih, makanan, pakaian dan keperluan-keperluan yang lain semasa masa pelayaran cukup untuk kegunaaan mereka semua.

Di dalam perjalanan yang jauh pasti akan berlaku ombak besar, angin ribut dan gangguan lanun-lanun di lautan yang mana setiap nakhoda dan kelasinya perlu berhati-hati dan berwaspada setiap masa supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini. Silap pelayaran akan memasuki negara lain dan akan ditahan kerana mencerubuh perairan tanpa mendapat kebenara terlebih dahulu.

Begitulah erti kehidupan sering mengalami kepahitan hidup, perselisihan suami isteri, salah faham dengan ibu bapa mertua dan keluarga sebelah ipar. Anak-anak terikut-ikut dengan pengaruh luar dan kurang  mendapat asuhan yang sewajarnya hingga mendatangkan masaalah  kepada ibu bapa. Kesempitan kewangan keluarga biasanya akan menyebabkan sesuatu rumah tangga akan goncang atau ada pihak ketiga yang menimbulkan bibit-bibit fitnah kepada keluarga tersebut.

Sikap suami yang lepas tangan sebagai ketua keluarga tidak mahu bertanggungjawab sepenuhnya memberi nafkah dan pendidikan kepada isteri dan anak-anaknya atau sikap isteri yang mementingkan diri sendiri dengan aktiviti luarnya yang membimbangkan hati suami kerana ada teman diluar rumah adalah punca keretakan rumah tangga.

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila berlaku keadaan seperti ini perlulah diperbaiki puncanya. Apakah punca yang menyebabkan berlaku perselisihan dan ketetakkan rumah tangga? Apakah wang punca segala-galanya?

Jawapannya pasti bukan kewangan yang menjadi punca utama kerana betapa ramai keluarga miskin dikampung-kampung mereka 'kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang' tetapi mereka hidup rukun damai dan saling reda meredai dan dapat membesarkan anak-anak dengan baiknya dan ada yang mampu masuk ke univesiti.

Apakah formula terbaik untuk mengatasi masaalah seperti ini? Formula terbaik adalah kesemua pihak samaada suami, isteri , anak-anak dan kaum keluarga yang lain memahami ajaran Islam sebenarnya. Perlu diceritakan mengenai dosa dan pahala dan juga syurga dan neraka supaya hati ini ada perasaan takut jika masing-masing lari daripada amanah dan tanggungjawab kepada Allah S.W.T.

Perlu sentiasa diingatkan hidup di dunia ini hanya sementara dan kehidupan di hari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi dan rendahkanlah hati untuk menerima kebenaran dan buangkan sikap ego samaada suami atau isteri. Sikap ego dan tak mahu menerima teguran adalah sikap ahli neraka yang mementingkan pendapat sendiri dan tidak mahu bertolak ansur dalam perkara yang harus.

Bila hati kita bersedia untuk menerima tarbiah dan bersedia untuk menerima perubahan dan merasai diri ini bersalah maka akan lahir perasaan dukacita dan menyesal kerana keegoannya selama ini menyebabkan kehidupan makin celaru maka dukacita seperti ini akan mengapuskan dosa-dosanya yang lalu.

Rasulullah S.A.W. bersabda “Apabila seorang hamba terlalu banyak dosanya dan tidak ada amalan untuk menghapuskan dosa-dosanya, Allah akan melibatkannya dengan kedukacitaan untuk menghapuskan dosa-dosanya” (Riwayat Ahmad dari Aisyah r.a.)

Jikalau seorang hamba melakukan amalan kebaikan, ia akan menghapuskan dosa-dosa kecilnya. Tetapi jika dosanya telah terlalu banyak dan dia tidak melakukan sesuatu untuk menghapuskan dosanya, maka Allah akan menimpakan sesuatu yang mendukacitakan atau merungsingkannya untuk menghapus dosanya.

Dari Abu Said Al-Khudri dan Abu Hurairah r.a. “Seorang muslim itu tidak ditimpa sesesuatu dari keletihan, penyakit, masalah (kebingungan), kesedihan (kerana kehilangan sesuatu), kesengsaraan dan dukacita sehinggakan (kepada) duri yang menusuknya (menyakitinya), kecuali Allah menghapuskan (mengampunkan) dengan sebabnya sebahagian daripada dosa-dosanya”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mana-mana muslim yang sakit atau terkena sesuatu musibah digugurkan dosa seperti pokok kayu gugur daunnya di musim luruh. (Hadis Riwayat Bukhari Muslim dari Ibnu Mas’ud)

Firman Allah S.W.T. dalam hadis qudsi maksudnya : “Bila Aku (Allah) mengenakan satu musibah ke atas hamba-Ku samada ke atas badannya, hartanya, anaknya dan disambut dengan baik, Aku malu hendak tegakkan timbangan amalannya” (Hadis Riwayat Muslim)

Orang yang sakit lama dan diterimanya dengan reda, maka diampun dosanya kecuali dosa dengan manusia. Segala musibah ada pampasannya kerana ia datang dari Allah (takdir). Ada pampasan sehingga habis segala dosa. Walaupun, orang yang kena musibah itu hamba Allah, Allah berhak melakukan apa sahaja ke atas hamba-Nya, namun Allah malu hendak menimbang amalan hamba-Nya yang sabar dengan musibah-Nya di hari kiamat.Musibah itu menyedarkan manusia tentang kesalahanya supaya dia insaf dan sedar akan kesalahannya.

Sahabat yang dikasihi,
Perasaan dukacita yang disertai dengan sabar kerana masalah keluarga yang dihadapinya , samaada dukacita kerana suaminya tidak mampu menguruskan keluarga dengan baik atau masaalah isteri yang sukar menerima teguran atau masaalah anak-anak yang tidak mendengar nasihat. Maka perasaan dukacita ini tidak akan sia-sia ianya akan mendapat ganjaran daripada Allah S.W.T. dan menghapuskan dosa-dosa kecilnya .

Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya : “Mana-mana lelaki yang bersabar di atas keburukan perangai isterinya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Ayyub kerana bersabar di atas bala yang menimpanya. Dan mana-mana isteri yang bersabar di atas keburukan perangai suaminya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun.”

Berakhlaklah dalam mendidik isteri, sebuah rumahtangga bahagia ialah rumahtangga yang dikendalikan mengikut nilai-nilai yang dikehendaki oleh Allah SWT. Tidak boleh dikatakan rumahtangga sekiranya sesebuah rumahtangga itu tidak dapat diatur dan disusun mengikut apa yang dikehendaki Allah SWT walaupun keadaan rumahtangga itu nampaknya tenang dan aman. Dalam hal ini, kebijaksanaan suami dalam mengendalikan rumahtangga menjadi faktor penting untuk mencapai tujuan itu.

Masalah utama yang patut dilakukan oleh suami ialah berakhlak baik dengan isteri dan anggota keluarga di bawah tanggungjawapnya. Maksud berakhlak di sini ialah si suami mestilah seorang penyabar dalam mendidik isterinya. Dalam artikata yang lain si suami mestilah sanggup menghadapi derita dan sengsara disebabkan kerenah isterinya. Ini adalah kerana kaum perempuan itu dijadikan oleh Allah SWT sebagai makhluk yang lemah dan perlu dilindungi.

Marilah sama-sama kita perbaiki rumah tangga yang bergelora  dengan tenang dan sabar, dan yakinlah kepada Allah S.W.T. setiap kesusahan itu ada kebaikan dan kejayaan. Mungkin Allah S.W.T. ingin menguji kita sebagai suami atau isteri untuk sedar kesilapan masing-masing dan  kembali kepada-Nya dengan mentaati suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Insya Allah akan dapat memasuki syurga-Nya.

No comments: