Thursday, April 28, 2011

Sedih Memikirkan Keperluan Keluarga Adalah Tabir (Penghalang) Dari Neraka

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah SWT telah ditetapkan rezeki untuknya. sejak di dalam kandungan ibunya lagi. Allah SWT  yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menjamin rezeki untuk semua makhluknya, dari sekecil-kecilnya makhluk (kuman) hinggalah sebesar-besarnya (ikan paus) dan tidak dikurangkan sedikit pun daripadanya.

Manusia diminta untuk berusaha, berdoa dan bertawakkal nescaya ia akan mendapat dan memiliki rezeki yang telah disedaikan oleh Allah s.w.t. dimuka bumi ini.

Setiap manusia menghabiskan sebahagian besar dari waktu dan umur untuk mencari rezeki. Berusaha mencari rezeki, apabila ikhlas niat dan dilaksanakan dengan mengikut jalan-jalan yang halal adalah ibadah kepada Allah. Dalam mencari rezeki juga , dapat menguatkan aqidah seorang Muslim, Allah SWT adalah pemberi rezeki. Salah satu nama Allah adalah al-Razzak… iaitu Pemberi Rezeki. Banyak perkara di dunia ini dipermudahkan oleh Allah SWT. untuk manusia, agar di gunakan dalam usaha mencari rezeki. Oleh itu jangan sampai kita lupa kepada Allah SWT. apabila kita telah mendapat nikmat dari-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya."
(Surah At-Talaq ayat 2-3)

Sahabat yang dimuliakan, 
Setiap orang mukmin akan diuji oleh Allah SWT dengan berbagai dugaan dan ujian. Ada diuji dengan penyakit, pergolakkan rumah tangga, kemiskinan dan kerugian di dalam perniagaan yang dijalankan. Apabila kita bersabar di atas kesusahan yang dialami dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasinya, insya Allah akan diberi jalan keluar dan pertolongan daripada Allah SWT.


Sebuah kisah daripada pertemuan dua sahabat Rasulullah SAW pada waktu pagi iaitu Sayyidina Ali k.w. dan Salman al-Farsi r.a. Selepas memberi salam, Ali k.w. bertanya khabar kepada Salman. Selepas menjawab salam Salman menceritakan keadaannya pada pagi itu.

"Ya Amirul Mukminin, pagi ini aku disedihkan oleh empat perkara." selepas mendapati Ali inginkan jawapan, Salman pun menjelaskan :

"Pertama, sedih memikirkan keluarga yang menuntut roti kepadaku.

Kedua, sedih memikirkan suruhan Allah terhadapku.

Ketiga, sedih memikirkan pujukan syaitan terhadap rohku.

Keempat, sedih memikirkan tuntutan malaikat terhadap rohku."

Mendengar penjelasan itu Ali k.w. mententeramkan hati Salman dengan katanya :

"Wahai Salman, gembiralah kerana keempat-empat itu menambahkan darjatmu."

Kemudian, Ali menceritakan peristiwa dia bertemu Rasulullah SAW yang bertanya khabar kepadanya. Jawab Ali, "Ya Rasulullah, aku berada dalam empat kesedihan :

Pertama, sedih memikirkan anak-anakku di rumah yang tiada sebarang makanan kecuali air.

Kedua, sedih memikirkan taat kepada Allah.

Ketiga, sedih memikirkan akibatku.

Keempat, sedih memikirkan malaikat pencabut roh."

Nabi SAW bersabda yang maksudnya, "Wahai Ali, bergembiralah kerana sesungguhnya,

1. Sedih memikirkan keluarga adalah tabir (penghalang) dari api Neraka. 

2. Sedih memikirkan taat kepada Allah itulah kesejahteraan dari seksa. 

3. Sedih memikirkan akibat itu adalah perjuangan yang lebih utama daripada ibadah selama 60 tahun.

4. Sementara sedih memikirkan malaikat itu adalah pelebur semua dosa". 

Sahabat yang dikasihi,
Beruntunglah orang-orang yang beriman kerana kesedihannya memikirkan keadaan keluarganya dan berusaha untuk membaikinya samaada untuk memberi nafkah, memberi pendidikan yang sempurna dan tempat berlindung dan keselamatan adalah sebagai tabir (penghalang) daripada seksaan api neraka. Begitu juga apabila kita merasai sedih kerana  kelemahan kita  untuk mentaati Allah SWT adalah akan dijauhkan daripada seksaannya  dihari akhirat nanti.

 Sedih dan menyesal memikirkan akibat (kesan) daripada nafsu kita yang sentiasa dikuasai oleh syaitan dan sentiasa melakukan dosa kepada Allah SWT adalah lebih baik beribadah selama 60 tahun. Dan yang akhir sekali apabila kita sedih memikirkan malaikat pencabut roh akan datang bila-bila masa apabila sampai saatnya untuk mencabut roh kita, sedangkan kita belum cukup bersedia dengan amal soleh dan amal ibadah maka kesedihan ini sebagai pelebur semua dosa-dosa yang kita lakukan.


Oleh itu marilah sama-sama kita bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT dan bersabar diatas segala ujian yang datang kerana kesabaran itu akan mendatangkan pahala yang besar dan penghapus segala dosa-dosa kita kepada Allah SWT.

No comments: