Monday, June 13, 2011

Ciri-ciri Orang Muhsinin adalah Mendirikan Solat, Membayar Zakat dan Yakin Pada Hari Akhirat

 أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah.
 Firman Allah SWT maksudnya : “Alif Laam Miim, Inilah ayat-ayat al-Quran yang mengandung hikmat, menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang berbuat kebaikan (muhsinin), (iaitu) orang-orang yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka yakin akan adanya negeri akhirat. Mereka itulah orang-orang yang tetap mendapat petunjuk (hidayah) dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”
(Surah Luqman ayat 1-5)

Huraiannya :

Dalam ayat di atas (ayat 1-3) Allah SWT menjelaskan bahawa ayat-ayat al-Quran yang mengandungi hikmat menjadi petunjuk dan rahmat kepada orang-orang muhsinin.

Muhsinin adalah orang yang menjadikan al-Quran itu sebagai petunjuk (hidayah) maksudnya setiap perilakunya selalu sesuai dengan tuntunan al-Quran, dan masanya sentiasa di isi dengan membaca al-Quran, memahami maksudnya dan tafsirannya seterusnya menghayati al-Quran sebagai panduan hidup.

Ibnu Katsir menjelaskan ayat ini, Allah SWT  menjadikan al-Quran ini sebagai ubat untuk orang yang muhsisnin mereka itu orang-orang yang selalu berbuat baik dengan mengikuti syariat Islam.

Dalam satu hadis yang panjang  riwayat Bukhari dan Muslim , malaikat Jibril bertanya kepada Nabi SAW  " ...kemudian ia (Jibril) bertanya kepada Rasulullah “Apa Islam?” jawab baginda: "Mengucap أشهد أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله mendirikan sembahyang, menyempurnakan zakat yang diwajibkan, puasa bulan Ramadan, menyempurnakan Haji ke Baitullah jika kuasa” kemudian ia bertanya “Apa Ihsan” jawab baginda “ Bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya dan jika kamu tidak melihat-Nya maka Dia melihat kamu..."

Dalam ayat di atas al-Quran menjelaskan bahawa orang-orang muhsinin (orang yang berbuat kebaikan) akan mendapat petunjuk dan rahmat daripada al-Quran sendiri.

Ihsan perbuatannya, orangnya disebut muhsin, kalau jamak muhsinin, Ihsan itu ialah bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya dan jika kamu tidak melihat-Nya maka Dia melihat kamu.

Di dalam al-Quran telah lengkap dan sempurna segala undang-undang dan peraturan kehidupan untuk manusia. Di dalam al-Quran terdapat hukum jenayah (hudud, qisas, diat ) dan  merangkumi bab akidah, ibadah, munakahat, muamalat, peraturan pentadbiran negara, asab-adab peperangan, berdamai dan sebagainya.

 Sifat orang fasik , zalim dan munafik tidak suka mengambil al-Quran sebagai panduan hidup dan lebih suka mempertahankan undang-undang ciptaan manusia. Menolok hukum hudud dan menganggap hukum tersebut telah ketinggalan zaman.

Dalam ayat ke 4 di atas, Allah SWT menjelaskan bahawa ciri-ciri orang-orang muhsinin (orang yang berbuat kebaikan) adalah 3 ciri iaitu :

Pertama : Mendirikan solat.

Kedua : Menunaikan zakat.

Ketiga : Yakin akan adanya hari akhirat.

Sahabat yang dimuliakan,
Huraian untuk tiga ciri-ciri orang muhsinin adalah seperti berikut :

Pertama : Mendirikan solat.

Ibnu Katsir dalam tafsirannya mengatakan bahawa solat akan membina hubungan sebenar di antara hamba dengan Tuhannya .

Dalam satu riwayat dari Ali bin Abi Talib k.wj. mengenai fadilat dan kebaikan solat 5 waktu .

Ali bin Abi Talib k.wj. berkata, "Sewaktu Rasullullah SAW duduk bersama para sahabat Muhajirin dan Ansar,  maka dengan tiba-tiba datanglah satu rombongan orang-orang Yahudi lalu berkata :

'Ya Muhammad, kami hendak bertanya kepada kamu kalimat-kalimat yang

telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s. yang tidak diberikan

kecuali kepada para Nabi utusan Allah atau malaikat muqarrab.'

Lalu Rasullullah SAW bersabda, 'Silakan bertanya.'

Berkata orang Yahudi, 'Sila terangkan kepada kami tentang 5 waktu yang diwajibkan oleh Allah ke  atas umatmu.'

Sabda Rasullullah SAW maksudnya :  'Sembahyang Zuhur jika tergelincir matahari, maka bertasbihlah segala  sesuatu kepada Tuhannya. Sembahyang Asar itu ialah saat ketika Nabi

Adam a.s. memakan buah khuldi. Sembahyang Maghrib itu adalah saat  Allah menerima taubat Nabi Adam a.s. Maka setiap mukmin yang  bersembahyang Maghrib dengan ikhlas dan kemudian dia berdoa meminta  sesuatu pada Allah maka pasti Allah akan mengkabulkan permintaannya.  Sembahyang Isyak itu ialah sembahyang yang dikerjakan oleh para Rasul

sebelumku. Sembahyang Subuh adalah sebelum terbit matahari. Ini kerana  apabila matahari terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan di situ  sujudnya setiap orang kafir.'

Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah saw, lalu mereka

berkata, 'Memang benar apa yang kamu katakan itu Muhammad. Katakanlah

kepada kami apakah pahala yang akan didapati oleh orang yang

sembahyang.'

Rasullullah SAW bersabda maksudnya, 'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sembahyang yang  pertengahan. Sembahyang Zuhur, pada saat itu nyalanya neraka Jahanam.  Orang-orang mukmin yang mengerjakan sembahyang pada ketika itu akan

diharamkan ke atasnya wap api neraka Jahanam pada hari kiamat.'

Sabda Rasullullah SAW  lagi maksudnya,  'Manakala sembahyang Asar, adalah saat di mana Nabi Adam a.s.  memakan buah khuldi. Orang-orang mukmin yang mengerjakan

sembahyang Asar akan diampunkan dosanya seperti bayi yang baru lahir.'

Selepas itu Rasullullah SAW  membaca ayat yang bermaksud,

'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sekali sembahyang yang

pertengahan. Sembahyang Maghrib itu adalah saat di mana taubat Nabi

Adam a.s. diterima. Seorang mukmin yang ikhlas mengerjakan

sembahyang Maghrib kemudian meminta sesuatu daripada Allah, maka

Allah akan perkenankan.'

Sabda Rasullullah SAW maksudnya, 'Sembahyang Isyak (atamah). Katakan kubur itu adalah sangat gelap dan  begitu juga pada hari kiamat, maka seorang mukmin yang berjalan dalam

malam yang gelap untuk pergi menunaikan sembahyang Isyak berjamaah,  Allah SWT haramkan dirinya daripada terkena nyala api neraka dan  diberikan kepadanya cahaya untuk menyeberangi Titian Sirath.'

Sabda Rasullullah SAW seterusnya yang bermaksud, 'Sembahyang Subuh pula, seseorang mukmin yang mengerjakan  sembahyang Subuh selama 40 hari secara berjamaah, diberikan kepadanya oleh Allah SWT dua kebebasan iaitu:

1. Dibebaskan daripada api neraka.

2. Dibebaskan dari nifaq.

Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan daripada Rasullullah SAW, maka

mereka berkata, 'Memang benarlah apa yang kamu katakan itu wahai Muhammad (SAW).

Kedua : Menunaikan zakat.

Zakat merupakan rukun ketiga dari lima rukun Islam dan ia juga merupakan salah satu di antara panji-panji Islam di mana Islam tidak boleh ditegakkan tanpanya. Orang yang enggan membayar zakat boleh diperangi dan orang yang menolak kewajipan zakat adalah dianggap kafir. 

Zakat telah difardukan pada tahun kedua Hijrah dan ia telah disebut di dalam beberapa potong ayat di dalam Kitab Suci al-Quran di antaranya firman Allah SWT maksudnya :
"Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk".
(Surah al-Baqarah ayat 43)

Dan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)".(Surah al-Ma'aarij ayat  24-25).‏

Di antara hikmat disyariatkan zakat ialah, pengurusannya mampu memperbaiki kedudukan masyarakat dari sudut moral dan material di mana ia dapat menyatukan anggota masyarakat sehingga menjadi seolah-olah sebatang tubuh. Selain dari itu ia juga dapat membersihkan jiwa dari sifat kedekut dan bakhil. Ia juga merupakan benteng keamanan di dalam sistem ekonomi Islam dan penjamin ke arah kestabilan dan kesinambungannya.

Zakat ini juga merupakan ibadat material dan penyebab untuk mendapat rahmat daripada Allah SWT sebagaimana firmanNya yang bermaksud :"Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertakwa dan yang memberi zakat dan orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami.".
(Surah al-A'raaf ayat 156).

Begitu juga ia merupakan syarat untuk mendapatkan bantuan daripada Allah SWT sebagaimana firmanNya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat".
(Surah al-Hajj ayat 40-41).

Di samping itu zakat juga merupakan syarat persaudaraan di dalam agama Islam sebagaimana firmanNya yang bermaksud: "Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama". (Surah at-Taubah ayat 11).

Zakat juga dianggap sebagai ciri-ciri masyarakat mukmin sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".(Surah at-Taubah Ayat 71).

Ketiga : Yakin akan adanya hari akhirat.

Percaya kepada hari akhirat adalah merupakan rukun Iman ke 5.

Sayid Qutub mengatakan keyakinan kepada akhirat itu akan meningkat kualiti diri dan akan terjamin keikhlasannya, dan amalan ibadahnnya akan terjaga. Orang muhsinin akan merasakan bahawa hidup di dunia hanyalah sementara saja sedangkan kehidupan dihari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Kehidupan yang tidak ada penghujungnya dan disana adalah kehidupan yang penuh kenikmatan iaitu balasan mendapat syurga Allah SWT.

Orang yang sentiasa meyakini tentang kehidupan di hari akhirat akan beramal dengan amalan soleh dengan bersungguh-sungguh dan akan bersifat ihsan dengan Allah SWT iaitu ketika dia beribadah kepada Allah SWT, dan bersifat ihsan  sesama makhluk iaitu manusia, binatang dan alam sekelilingnya.

Dari Ady bin Hatim r.a. yang berkata, bahawa Rasulullah SAW. telah bersabda, "Tidak seorang pun di antara kamu sekelian, kecuali Tuhannya akan berbicara kepadanya besok di hari kiamat. Antara ia dan Tuhannya tidak ada penterjemah. Ia memandang suatu kebaikan, maka ia tidak melihat kecuali apa yang telah dipersembahkannya, dan ia memandang sesuatu yang buruk darinya, maka ia tidak melihat kecuali apa yang telah dilakukannya serta memandang apa yang ada di depannya, maka ia tidak melihat kecuali neraka yang persis ada di depan wajahnya. Maka takutlah kalian kepada neraka meski dengan hanya (bersedekah) separuh kurma, dan kalimat yang baik."
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : "Orang yang paling menyesal pada hari kiamat ialah lelaki yang ada peluang menuntut ilmu di dunia tetapi ia tidak mengambil kesempatan menuntutnya, dan lelaki yang mengajar ilmu kepada orang lain; lalu yang belajar darinya mendapat faedah dari ilmu itu sedangkan ia sendiri tidak mendapat apa-apa."

Ayat ke 5 menjelaskan, "Mereka itulah orang-orang yang tetap mendapat petunjuk (hidayah) dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang beruntung."

Sayid Hawwa, menafsirkan ayat ke 5 iaitu mereka yang  mendapatkan petunjuk (hidayah) adalah orang yang tidak melencung sedikit pun daripada jalan yang lurus. Dan mereka akan mendapatkan keuntungan, dan keuntungan yang tertinggi adalah ketika Allah SWT, menjadikannya pewaris Syurga Firdaus. Kata Ibnu Katsir pula ketika menafsirkan kata-kata terakhir di ayat ini, mereka itulah yang akan mendapat keuntungan didunia dan akhirat.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita meningkatkan iman dan takwa kita kepada Allah SWT dan seterusnya meningkatkan maqam kita disisi Allah SWT iaitu untuk menjadi orang muhsinin. Peringkat muhsinin adalah orang mukmin yang ikhlas , hati dan jiwanya sentiasa berhubung dan bergantung kepada Allah SWT samaada ketika suka atau duka dan ketika miskin atau kaya dan mempunyai kedudukan yang mulia dan hampir kepada Allah SWT. Semoga kita memiliki sifat dan kedudukan yang mulia ini dan berterusan hingga kita bertemu Allah SWT.

No comments: