Tuesday, July 12, 2011

Wacana Tarbawi Sheikh Jum'ah Amin Abd Aziz Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Islam yang ingin kita hayati ini tidak boleh dipisahkan dengan jemaah. Kerana jemaah adalah sunah Rasulullah SAW. Daripada jemaah yang dibentuk oleh Nabi SAW  inilah yang telah melahirkan Daulah Islamiah Madinah.

Oleh itu apabila kita berusaha untuk menegakkan hukum-hukum Allah SWT di dalam Daulah Islamiah (negara Islam) maka perlu dimulakan dengan jemaah. Tidak mungkin Islam yang lengkap dan sempurna hanya dilakukan oleh individu-individu saja tanpa wujud satu barisan kepimpinan jemaah yang lengkap dan sempurna.

Untuk tujuan memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya keperluan kepada jemaah Islam pihak Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah menjemput seorang ulama muktabar dunia yang terkenal Sheikh Jum'ah Amin Abd Aziz Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin memberi wacana tarbawi bertajuk "Tarbiah Ikhwan Muslimin dan Peranannya Dalam Membangunkan Masyarakat" diadakan diDewan Jubli Perak Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bermula jam 8.00 malam hingga 11.30 malam 11.07.2011.

Permulaannya, Syeikh Jum’ah menekankan bahawa Islam tidak akan tertegak dengan usaha individu, bahkan Islam tertegak dengan usaha secara kolektif iaitu dengan jamaah. Tanpa usaha secara kolektif, tidak akan akan tertegak syariat Islam secara menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan. Tambahnya, Islam bukanlah milik individu atau jamaah, tetapi Islam adalah milik setiap Muslim yang wajib diperjuangkan dan dibela oleh mereka.

Katanya, apa yang diperjuangkan oleh Ikhwan Muslimin mempunyai manhaj perubahannya yang tersendiri berasaskan aqidah, syariat dan akhlak antaranya memperjuangkan hubungan kasih sayang dan ukhuwwah sesama ahli supaya kasih sayang itu tersebar kepada masyarakat dan seluruh alam.

Seterusnya, Ikhwan Muslimin berjuang melahirkan umat yang berkorban dalam menegakkan Islam. Menurutnya dalam perjuangan Islam, sudah pasti ada halangan dan cabarannya daripada musuh Islam, yang memerlukan insan yang ditarbiah dan mampu menghadapi dan mengatasi halangan daripada golongan tersebut.

Beliau menegaskan di hadapan ribuan hadirin bahawa tarbiah yang dibawa oleh Ikhwan Muslimin kepada masyarakat adalah tarbiah ke arah tercapainya pengisian dua kalimah syahadah iaitu jalan yang lurus, bertitik tolak dengan cahaya berupa petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah, dan penghujungnya berakhir dengan syurga. Perubahan masyarakat yang ingin dilakukan mestilah dengan menggunakan pendekatan lemah lembut dan berakhlak mulia. Beliau menyebut kata hikmah Saiyidina Ali r.a. iaitu “Sesiapa yang lembut kata-katanya, maka wajiblah mencintainya.

Beliau menyorot kembali bagaimana bermulanya perjuangan Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Syeikh Hassan Al-Banna di Mesir. Katanya, keadaan ekonomi umat Islam pada masa itu amat menyedihkan ditambah pula dengan kemiskinan yang merata, maksiat serta jenayah yang berleluasa, dan amalan Islam pula difokuskan kepada beberapa juzuk ibadah sedangkan tiada usaha yang serius untuk membebaskan umat Islam daripada gejala tersebut. Jika ada yang beramal dengan Islam sekalipun, mereka dilihat sebagai kelompok yang terpencil, dipandang rendah dan hina.

Tambahan pula, kata beliau, gerakan Kristian yang menular di kalangan umat Islam menjadikan Syeikh Hassan Al-Banna mengambil peranan untuk melakukan perubahan besar dengan menubuhkan Ikhwan Muslimin lantaran untuk menyedarkan umat Islam yang tertanggal diri mereka semangat jihad, dikerumuni musuh Islam  dan ditimpa penyakit wahn, iaitu cinta dunia dan takutkan kematian. Perubahan masyarakat dalam Ikhwan bermula dengan perubahan individu yang ditarbiah untuk mengembalikan kesedaran mereka  untuk berjihad, berusaha untuk melakukan perubahan positif dalam masyarakat.


Menurutnya, antara prinsip perubahan yang diketengahkan oleh Ikhwan Muslimin ialah “As-Solah Qobla Al-Islah”, iaitu mengubah diri sebelum mengubah masyarakat. Mereka yang mampu mengubah dirinya, maka ia mampu melakukan Islah iaitu mengubah masyarakat di sekelilingnya.

Untuk mengubah ummah katanya, perlu menjadi abid dahulu, iaitu menghambakan diri kepada Allah swt dengan membanyakkan amal yang medekatkan diri dengan Allah swt.
“Jadilah kamu hamba (Allah swt) sebelum kamu menjadi pemimpin (ummah),” pesannya.
Beliau mengambil contoh program perubahan diri yang dilakukan oleh Ikhwan iaitu Katibah, iaitu malam kerohanian melalui mendengar tazkirah (peringatan) pada malamnya, pada paginya qiyamullail dengan solat tahajjud, berzikir  dan membaca Al-Quran dengan penekanan tarbiah individu sebagai elemen perubahan.

Ikhwan Muslimin mengambil pendekatan tarbiah rabbaniyyah dengan cara mendidik ahlinya supaya rapat dengan Allah swt dengan membaca Al-Quran satu juzuk sehari, istighfar 100 kali sehari, qiyamullail minimum dua rakaat, berzikir secara ma’tsur supaya lidah basah dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah swt. Syeikh Jum’ah mengambil kata hikmah Saiyidina Abu Bakr r.a. kepada tentera Islam tentang rahsia kemenangan ke atas musuh iaitu “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat kemenangan selagi mana kamu tidak dekat dengan Allah.

Beliau menyeru hadirin supaya rapatkan diri kepada Allah dengan solat apabila ada masalah. Beliau juga menasihatkan supaya sebelum merancang dan berbincang apa-apa program dakwah, hendaklah berwuduk dan melakukan solat hajat supaya pendakwah itu ingat bahawa Allah sentiasa bersama mereka. Setiap masalah dan ujian dalam dakwah akan mudah dihadapi dengan mendirikan solat.

Beliau turut menggariskan usaha-usaha yang dilakukan oleh Syeikh Hassan Al-Banna dalam membangunkan masyarakat antaranya dengan mengkaji  cabaran, halangan dan masalah yang membelenggu ummah, mengkaji pengajaran sejarah Islam dan umat terdahulu dan mengkaji sejarah dan pengajaran gerakan kebangkitan di seluruh dunia. Al-Banna turut membahagikan masyarakat kepada empat golongan dengan pendekatan dakwah yang berbeza iaitu golongan yang percaya kepada kebenaran, golongan oportunis, golongan yang teragak-agak dan golongan yang menentang.

Syeikh Jum’ah turut berpesan supaya jangan kedekut masa dengan Allah swt dalam perjuangan Islam, jika kedekut, nescaya Allah akan ganti dengan kaum lain yang akan memperjuangkannya. Antara tanda Allah swt mencintai kita ialah Allah swt sentiasa memberi taufik kepada kita untuk taat kepada-Nya.

Beliau juga mengingatkan usaha para orientalis yang cuba memesongkan makna sebenar ayat-ayat Al-Quran daripada hati umat Islam supaya lahir individu Muslim yang cacat kefahamannya terhadap Islam yang sebenar. Menurutnya, orientalis cuba memomokkan bahawa isi kandungan Al-Quran adalah isi lama, tiada yang baru.

Beliau menambah, dalam membangunkan masyarakat, pentingnya pendakwah menunjukkan akhlak yang mulia yang merupakan kurniaan daripada Allah swt. Allah kurniakan akhlak seperti rezeki, berbeza antara satu sama lain. Dengan akhlak yang mulia, pendakwah itu akan dicintai oleh Allah SWT.

“Allah SWT memberi rezeki kepada semua hambanya, tetapi Allah SWT tidak memberi  agama  ini (untuk diperjuangkan) kepada sesiapa yang tidak dicintai-Nya,” akhir pesanan beliau.


Sahabat yang dimuliakan,
Tarbiah dalam jemaah akan melahirkan kasih sayang kerana Allah SWT semata-mata seperti dalam hadis Nabi SAW di bawah :

Dari Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW  bersabda yang bermaksud :

"Seorang yang keluar untuk mengunjungi saudaranya dikampung yang lain dan Allah mengutus seorang malaikat untuk menunggunya di perjalanan. (Apabila orang itu sampai ketempat dimana malaikat berada) Malaikat bertanya :
'Kemana engkau hendak pergi? 'Dia menjawab : 'Aku pergi kepada saudaraku dikampung ini'.

Malaikat bertanya :' Adakah dia meminjamkan kamu sesuatu yang mana kamu hendak mengambilnya kembali?'

Orang itu menjawab :' Tidak. Kedatanganku semata-mata kerana aku mencintainya kerana Allah'.

Malaikat berkata :' Aku adalah pesuruh Allah yang dihantar kepada engkau untuk memberitahu kepadamu bahawa Allah mencintaimu sebagaimana kamu mencintainya semata-mata kerana Allah."

(Hadis Riwayat Muslim).

Salah satu golongan yang akan mendapat naungan Allah  SWT di Padang Mahsyar nanti adalah dua saudara yang bertemu dan berpisah semata-mata kerana Allah SWT.

Abu Hurairah ra telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
”Terdapat tujuh golongan yang akan mendapat lindungan 'arashNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya. Pemimpin yand adil; pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT; seseorang yang hatinya terpaut pada masjid; dua lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT; lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah; seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya; dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.” (Hadis Riwayat Muslim)

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Sesiapa yang beramal soleh sama ada lelaki atau perempuan sedangkan ia beriman maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan ". (Surah an-Nahl ayat  97)


Kesimpulan yang dapat kita ambil pengajaran daripada wancana tarbawi yang disampaikan oleh Sheikh Jum'ah Amin adalah seperti berikut :

1. Dakwah dan manhaj Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Imam As-Syahid Hasan al-Banna adalah berdasarkan sirah dan sunah Rasulullah SAW. iaitu bermula dengan asas iman dan akidah kepada Allah SWT.

2. Islam dan hukum-hukumnya tidak akan mampu dihayati sepenuhnya di dalam masyarakat apabila tidak dimulakan dengan pembentukan jemaah. Setakat Islam dalam bentuk individu tidak akan mampu untuk melaksanakan syariat Islam sepenuhnya. Hidup bersama-sama jemaah adalah satu kefarduan.

3. Iman dan ukuwah Islamiah tidak dapat dipisahkan, tidak ada iman tanpa ukhwah dan tidak ada ukhwah tanpa iman. Jemaah Ikhwan Muslimin amat menekankan asas iman dan pembentukan ukhwah (persaudaraan Islam).

4. Kerja-kerja dakwah dan mengajak manusia kepada Islam adalah kewajipan setiap muslim dan tugas ini tidak boleh ditinggalkan kerana tugas ini adalah amanah daripada Allah SWT dan sunah Nabi-Nya.

Akhirkata marilah sama-sama kita menghayati kata-kata Imam As Syahid Hasan al-Banna : "Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka akanku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda, aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah.."

1 comment:

Unknown said...

Mohon share ustaz