Sunday, August 21, 2011

Berdoa dan Bermunajat Kepada Allah SWT di 10 Malam Terakhir

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Banyakkan bersyukur kepada Allah SWT sehingga disaat ini kita masih dipanjangkan umur oleh Allah SWT untuk berada difasa ke 3 Ramadan (pembebasan daripada api neraka) dan berada di sepuluh malam terakhir.

Berazamlah kita supaya diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk meningkatkan amal ibadah kita, berikhtikaf di masjid, perbanyakkan berdoa dan bermunajat mohon kepada Allah SWT supaya kita dijauhi daripada seksaan api neraka. Alangkan hebat dan dahsyatnya seksaan api neraka kita tidak akan mampu menanggung sakitnya, jika api dunia dikenakan dihujung jari kita tak sampai 2 saat kita akan menjerit kesakitan kerana kepanasannya.

Rasulullah S.A.W. sentiasa berdoa selepas membaca tahyat akhir : "Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab Neraka Jahanam, daripada azab kubur, daripada ujian kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan ujian al-masih Dajjal."
(Hadis Riwayat Muslim)

Pertama sekali dalam doa Nabi S.A.W. adalah meminta perlindungan Allah S.W.T. daripada azab Neraka Jahanam kerana Neraka Jahanam adalah tempat balasan dan penyeksaan orang-orang kafir dan orang-orang derhaka kepada Allah S.W.T.

Abu Hurairah meriwayatkan: "Ketika Rasulullah berkata : 'Api dunia kamu adalah satu dari 70 bahagian api neraka;' lalu seseorang bertanya; 'Ya Rasulullah, adakah ia tidak akan mencukupi untuk membakar orang kafir?' Maka Rasulullah menjawab, 'Api neraka mempunyai 69 bahagian lebih dari api biasa di dunia, dan kesemuanya adalah sangat panas sebagaimana ia (api dunia).
(Hadis Riwayat Bukhari)

Betapa dahsyatnya seksaan api neraka seperti firman Allah SWT maksudnya : " Samakah mereka dengan orang yang kekal dalam neraka, dan diberi minum dengan air yang mendidih, sehingga ususnya terpotong-potong?"
(Surah Muhammad ayat 15)

Apabila membicarakan tentang berapakah dalamnya jurang api neraka? Rasanya tidak mampu kita menghitung berapakah dalamnya jurang api neraka yang di tempuh oleh perjalanan kepantasan batu besar yang jatuh dalam masa 70 tahun lamanya. Apa yang lebih mengerikan lagi ialah apabila jurang yang teramat dalam ini dipenuhi dengan bermacam-macam bentuk seksaan dan apabila sampai saatnya nanti pintu neraka itu akan di tutup serapat-rapatnya. Maka pada ketika itu, tidak ada seorang pun di antara penghuninya yang dibenarkan keluar daripadanya. Seksaan demi seksaan, habis satu jenis seksaan masuk pula pada jenis seksaan yang lain dan begitulah seterusnya. Alangkah malangnya bagi mereka yang mendapat seksaan tersebut. 

Sekali api neraka menyambar, tidak tersisa lagi daging yang membalut tulang. Kulit dan daging berguguran sehingga mereka berubah menjadi makhluk yang sangat hodoh.Nauzubillah!!

Allah SWT berfirman maksudnya :  “Muka mereka dibakar oleh api neraka, dan mereka di dalam neraka itu dalam keadaan cacat (kalihun).” ( Surah al-Mukminun ayat 104)

Dalam sunan al-Tarmizi, Rasulullah SAW mentafsir lafaz “kalihun” ini dengan sabda yang bermaksud : “Wajah mereka dibakar dengan api, maka bibir bahagian atas mereka menjulur hingga ke lehernya dan bibir bahagian bawah mereka menjulur hingga menyentuh tali pusatnya.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Ahli neraka akan melepaskan tangisan dan jeritannya sehingga kering air mata mereka. Mereka lalu menagis air mata darah sehingga meninggalkan kesan di wajah mereka seperti parit-parit. Andai sebuah bahtera dilayarkan di atasnya, nescaya ia akan berlayar”. (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Sungguh rugi orang yang memiliki rupa yang cantik namun tidak menghiasi kecantikannya dengan iman. Sungguh rugi orang yang diciptakan dengan rupa yang tampan, namun tidak pernah membasuh mukanya dengan air mata taubat.
Rugilah orang membeli neraka dengan kenikmatan sesaat. di dunia yang sementara.   Kenikmatan yang ditawarkan hawa nafsu  akan berakhir dengan segera, sementara azab neraka tidak akan berakhir selama-lamanya.

Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada seksa neraka. Pada saat ini kita telah dapat membayangkan manusia yang penampilannya begitu mempesona bersolek cantik ketika di dunia kini berubah menjadi makhluk yang buruk rupa. Rawatan kecantikan yang menghabiskan jutaan ringgit di dunia ini tidak dapat menangkis bahang api neraka sedikit pun.

Sahabat yang dimuliakan,
Allah SWT bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya. Bulan Ramadan dijadikan oleh Allah SWT sebagai bulan rahmat, pengampunan dan pembebasan daripada api neraka, maka rebutlah sebaik-baiknya dibulan ini, tawaran Allah SWT hanya sebulan saja dalam masa setahun, kita tidak pasti tahun hadapan kita boleh bertemu Ramadan ataupun tidak.

Imama Ghazali ada menyatakan tanda puasa dan amal ibadah seseorang itu diterima oleh Allah SWT di bulan Ramadan ada tiga :
1. Dia merasakan ibadahnya terlalu sedikit dan dia perbanyakkan lagi amalan tersebut.
2. Dia merasa seronok dan nikmat melakukan amal ibadah.
3. Dia merasa prihatin terhadap nasib umat Islam yang miskin dan menderita, dia perbanyakkan sedekah dan memberikan bantuan.

Berdoalah kapada Allah Rabbul Jalil semasa qiyamulalil dan bertahajud di malam-malam 10 terakhir :

"Ya Allah ya Tuhan kami. Ampunkan semua dosa-dosa kami yang telah kami lakukan secara sengaja atau tidak secara sengaja. Yang kami ketahui dan yang tidak kami ketahui. Kami adalah hamba-hamba-Mu yang lemah dan dhaif yang sentiasa melakukan kesalahan dan dosa, sentiasa melangar peraturan dan suruhan -Mu, yang selalu leka dan lalai untuk melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan terhadap-Mu. Jika kami bersalah ampunkanlah kami , maafkanlah kami sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun dan Maha Pemaaf.

Ya Allah ampunkan dosa kedua ibu bapa kami, kasihanilah mereka berdua,  sebagaimana mereka mengasihi kami semasa kecil,  ampunkan juga dosa isteri dan akan-anak kami, kaum keluarga , jiran tetangga  dan sahabat-sahabat kami.

Ya Allah, dibulan Ramadan yang penuh berkat ini rahmat dan pengampunan-Mu amat luas sekali kepada hamba-hamab-Mu yang berpuasa. Ya Allah terimalah ibadah puasa kami, amal ibadah kami, sedekah kami dan jihad kami. Berikanlah kami rahmat-Mu, pengampunan-Mu dan bebaskanlah kami daripada seksaan api neraka.

Ya Allah pilihlah kami semua untuk memasuki syurga-Mu melalui pintu Ar-Rayyan khusus untuk orang-orang berpuasa. Pintu Ar-Rayyan hanya Kau peruntukkan bagi orang-orang berpuasa, bukan untuk lainnya. Bila pintu tersebut sudah dimasuki oleh seluruh rombongan ahli puasa Ramadan, maka tak ada lagi yang boleh masuk ke dalamnya. Sesungguhnya bila Kau telah pilih kami memasuki syurga sebenarnya kami telah berjaya. Tunaikan hajat dan permohonan kami ini ya Allah.

Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan kami tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia dan berjaya di hari akhirat, maka tetaplah kami di dalam keadaan itu. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan kami di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan-Mu.

Ya Allah ya Tuhan kami, Kau berilah sihat sejahtera kepada kami , jauhkan kami daripada mala petaka bencana dan penyakit. Jauhkan kami daripada seksaan api neraka Jahanam, seksa kubur, , fitnah hidup ada mati, pilihlah kami dapat menyebut kalimah syahadah di akhir hayat kami dan mendapat husnul khatimah, jadikanlah lubang-lubang kubur kami adalah daripada taman-taman syurga.

Ya Allah bersihkan akidah kami daripada syirik kepada-Mu, sucikan hati-hati kami daripada sifat hasad dengki, riak, sombong, bongkak, takbur, iri hati dan sifat-sifat keji yang Kau benci , dan tanamkan di dalam hati-hati kami sifat iman, takwa, sabar, syukur, lemah lembut dan jadikan hati-hati kami memiliki sifat mahmudah.

Ya Allah pertemukanlah kepada kami dengan lailatul qadar, malam kemuliaan yang lebih baik daripada 1000 bulan, temukanlah kami dimalam al-qadar dengan malaikat-Mu yang mulia Jibril a.s yang membawa rahmat dan rezeki pada malam itu dan berikanlah kepada kami tanda-tandanya. kerana kami yakin dengan sabda Rasul-Mu Nabi Muhammad SAW. " Sesiapa menghidupkan malam kemuliaan (Lailatul Qadr ) kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu "

Ya Allah izinkanlah kami bertemu Ramadan yang akan datang dan jadikanlah hati-hati kami sentiasa mengingati-Mu  samaada ketika kami berseorangan atau dengan orang lain. Jadikan kami sentiasa berbaik sangka dengan qadak dan qadar-Mu dan sentiasa reda dengan takdir yang telah Kau tetapkan.

Ya Allah berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan lindungilah kami daripada seksaan api Neraka."







No comments: