أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
‘Ubadah bin as-Shamit berkata: “Bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam keluar akan memberitahukan tentang Lailatul Qadr, lalu ada dua lelaki di antara kaum muslimin bertengkar maka baginda bersabda: “Sesungguhnya aku keluar untuk memberitahukan kalian tentang Lailatul Qadr. Tetapi sesungguhnya si Fulan dan si Fulan bertengkar sehingga diangkatlah (ilmu tentang waktu Lailatul Qadr). Namun mudah-mudahan hal itu lebih baik bagi kalian. Carilah Lailatul Qadr pada malam tujuh, sembilan dan lima (yang terakhir).” (Hadis riwayat Bukhari).
Dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kamu berkenaan Lailatul Qadar, tetapi ada dua orang sedang berselisih sehingga pengetahuan berkenaannya tidak diberikan. Mudah-mudahan ini lebih baik bagi kamu, carilah di malam 29, 27, 25 (dan dalam riwayat lain, pada malam ke tujuh, sembilan dan lima).” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/232))
Kita sama-sama telah berada pada puasa yang ke 24 dan pada malam ini kita berada pada malam ke 25 Ramadan. Ini bermakna pada malam ini kita berada pada malam ganjil ke 3 dan ada 2 lagi malam ganjil yang mana baginda SAW menyatakan bahawa Lailatul Qadar berada pada malam-malam ganjil.
Berdasarkan hadis riwayat Bukhari di atas secara khusus Nabi SAW menjelaskan bahawa Lailatul Qadar kemungkinan besar berada di dalam malam ke 25, 27 dan 29. berbandiang malam ke 21 dan 23.
Oleh itu saya berpesan pada diri saya sendiri dan kepada kalian semua anggaplah malam ini (25 Ramadan) seolah-olah malam Lailatul Qadar dan buatlah persiapan serapi mungkin kerana jika jatuh Lailatul Qadar pada malam ini sungguh besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Segala amal ibadah, solat fardu dan solat terawih, solat tahajjud, berdoa dan munajat, zikir, bacaan al-Quran, sedekah dan amal-amak soleh yang lain fadilatnya lebih baik daripada 1000 bulan. Maksud lebih baik daripada 1000 bulan adalah amalan kita kebaikannya melebihi 1000 bulan.
Pada malam Lailatul Qadar turun para malaikat rahmat dan membawa rezeki dan mendoakan kesejahteraan orang mukmin yang sedang beribadah dan berikhtikaf di masjid.
Doa pada malam itu mustajab di sisi Allah SWT dan terbuka pintu-pintu langit. Turun rahmat Allah SWT mencurah-curah bagaikan hujan , amat rugilah sesiapa yang mensia-siakan malam yang penuh berkat ini dengan tidur atau melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.
Antara kelebihan Lailatul Qadar ialah malaikat yang berada di Sidratul Muntaha turun ke bumi dengan izin Allah pada malam itu. Sidratul bererti pokok bidara manakala Muntaha ialah sempadan iaitu sempadan sebelah atas langit, selepas langit yang ke tujuh. Semasa peristiwa Isra’ Mikraj, malaikat Jibril hanya boleh menghantar Rasulullah s.a.w. hingga setakat pokok bidara ini sahaja.
Firman Allah SWT maksudnya : [13] Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, [14] Di sisi “Sidratul-Muntaha”; [15] Yang di sisinya terletak Syurga “Jannatul-Makwa”.(Surah an-Najm ayat 13-15)
Bermula solat magrib berjemaah, selepas itu perbaharui niat-niat yang baik untuk membela agama Allah SWT, menegakkan Islam dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar, perbanyakkan berdoa minta kebaikan di dunia dan akhirat dan minta dijauhi oleh Allah SWT daripada seksaan api neraka. Dan juga berdoa dengan doa yang diajarkan Nabi SAW kepada Aisyah "Allaahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii (wahai Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah daku).
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Malam itu tidak panas dan tidak sejuk dan pada paginya matahari naik tidak banyak cahayanya kerana banyak malaikat turun naik pada malam itu:
Dan dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:“Malam al-Qadar adalah malam yang indah penuh kelembutan, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin. Manakala pada keesokan harinya sinar mataharinya kelihatan melemah kemerah-merahan.” (Hadis Riwayat ath-Thayalisi (394), Ibnu Khuzaimah (3/231), al-Bazzar (1/486) dan sanadnya hasan)
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Pagi hari (setelah) Lailatul Qadar, matahari terbit tidak menyilaukan (tanpa sinar), seakan-akan ia bejana sehinggalah ia meninggi.” (Hadis riwayat Muslim (762))
Dalam Mu’jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Asqa’ daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang maksudnya : "Malam Lailatul Qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya(suram)."
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita menghidpkan malam ini dan baki malam yang lain dihujung Ramadan ini dengan amalan yang bersungguh-sungguh. Jangan leka dan buang masa sia-sia kerana Ramadan yang akhir inilah yang menentukan kedudukan kita disisi Allah SWT samaada kita menjadi orang mukmin yang bertakwa atau seorang muslim yang berdosa di sisi Allah SWT.
Ibadah puasa kita dan seluruh amal ibadah kita akan dinilai dan digandakan oleh Allah SWT tanpa batas kerana malaikat tidak mampu mencatat pahala puasa yang ikhlas kepada Allah SWT. Kebaikan malam Lailatul Qadar melebihi 1000 bulan itu juga sesuatu yang tidak mampu dicatatkan oleh malaikat berapa jumlah pahalanya kerana yang akan menilai dan memberikan pahala adalah Allah SWT.
No comments:
Post a Comment