أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Sahabat yang dirahmati Allah,
Ibadah puasa akan melahirkan muslim yang amanah yang merupakan sifat yang tinggi nilainya. Puasa melatih manusia dengan sifat-sifat amanah kerana tanpanya puasa akan menjadi batal atau tidak sempurna. Jika begitu, sia-sia sahaja seseorang itu berpuasa dan tiada faedahnya menahan lapar dan dahaga.
Puasa mengajarkan rasa amanah di hadapan Allah SWT, baik dengan amalan yang nampak maupun yang tersembunyi.
Tidak ada yang mengawasi seseorang yang berpuasa agar menghindari hal-hal yang dilarang dalam berpuasa kecuali Allah SWT. Amanah yang dimiliki orang beriman mendorongnya untuk tetap menjaga kejujuran untuk tidak membatalkan puasa sekalipun ia tahu tidak seorang pun akan mengetahui perbuatannya.
Maksud amanah di dalam al-Quran dan hadis mengandung makna yang dalam dan merupakan salah satu kunci dalam konsep syariah. Paling tidak ada tiga konsep kunci dalam Islam yang berkenaan dengan amanah ini.
Pertama, amanah berkenaan dengan soal kepercayaan.
Amanah dalam bahasa ekonomi sering diterjemahkan dengan 'trust', yang bersangkut paut dengan kepercayaan atau mempercayakan sesuatu pada orang lain.
Dalam pemerintahan, ketua negara adalah orang yang dipercayai untuk menjalankan tugas atau amanah. Ia harus menunaikannya, kerana amanah adalah kewajiban dan harus dipegang penuh ketika amanah itu diterima.
Kedua, amanah berkenaan dengan tanggung jawab yang berat.
Dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 72, Allah SWT berfirman maksudnya : ‘’Sungguh kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, tapi mereka enggan memikulnya, kerana takut akan mengkhianatinya dan manusia bersedia memikulnya. Ia sungguh zalim dan bodoh sekali.’’
Menurut tafsir Prof. Dr. Hamka, ayat tersebut bermaksud menggambarkan secara kiasan atau dengan ungkapan, betapa berat amanah itu, sehingga gunung-gunung, bumi dan langit pun tak bersedia memikulnya.
Dalam tafsir ini dikatakan, hanya manusia yang mampu memikul amanah, kerana manusia diberi kemampuan untuk itu oleh Allah SWT walaupun ternyata kemudian berbuat zalim, terhadap dirinya sendiri maupun orang lain serta bertindak bodoh dengan mengkhianati amanah itu.
Sementara alam menolak untuk tidak setia. Dengan perkataan lain, alam semesta memang tunduk pada undang-undang yang berlaku dalam alam semesta, sedang manusia tidak.
Secara fizikal manusia diberi Allah SWT jiwa yang mampu menjalankan amanah. Dengan pengalaman, perasaan dan pengetahuan, manusia memiliki kemampuan untuk menjalankan tugasnya sebagai pemegang amanah.
Tapi sebagaimana dinyatakan pada akhir ayat di atas, manusia ternyata berbuat zalim dan tidak jujur dalam menjalankan tugasnya.
Manusia memang mampu berbuat baik, tapi manusia memiliki potensi pula untuk cenderung pada kezaliman. Dalam sejarah manusia, manusia memang banyak yang tergoda oleh nafsu amarah dan mengikut bisikan syaitan sehingga membawa mereka pada tindakan-tindakan yang mengingkari amanah.
Oleh sebab itu, pemegang amanah selain perlu ilmu pengetahuan, juga perlu petunjuk atau hidayah dari Tuhan, sebab manusia menghadapi pujukan dan godaan dari keinginannya sendiri yang sering tidak dapat dikawal daripada godaan nafsunya.
Ketiga, amanah berkaitan dengan iman.
Amanah mempunyai asas kata yang sama dengan iman, dalam al-Quran Allah SWT berfirman maksudnya : ‘’Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati kepercayaan Allah dan Rasul-Nya dan jangan pula kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu sedang kamu mengetahui persoalannya.’’ (Surah al-Anfal ayat 27)
Ayat ini bermaksud, bila manusia menerima amanah, maka Allah SWT akan memberi petunjuk untuk memegang amanah. Dengan perkataan lain, amanah adalah moral dan akhlak yang memungkinkan manusia membangun yang positif dan menghilangkan yang negatif.
Orang yang tidak bermoral dan tidak mempunyai akhlak tentunya bukanlah orang yang beriman, dan orang yang tidak beriman tentunya bukanlah orang yang mampu melaksanakan dan memegang amanah.
Sahabat yang dimuliakan,
Puasa di bulan Ramadan akan melahirkan mukmin yang dapat dipercaya orang lain. Puasa mestinya membuat seseorang jujur dalam setiap perkataan dan perbuatannya. Puasa membuat seseorang meyakini sepenuhnya bahawa Allah SWT mengawasi dan melihat semua perbuatannya samaada baik atau buruk.
Puasa yang kita laksanakan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT akan melahirkan individu-individu muslim yang cukup amanah kepada Allah SWT, amanah sesama manusai danamanah kepada diri sendiri.
Jika dia seorang suami dan bapa, dia akan bersifat amanah dan menjalankan tugas dengan penuh bertanggungjawab memberi nafkah dan mendidik isteri dan anak-anaknya kejalan yang diredai oleh Allah SWT. Dia akan mampu melahirkan rumah tangga muslim yang bahagia hingga menjadikan rumah tangganya; 'rumahku syurgaku'.
Jika dia seorang anak , dia akan melaksanakan amanah memberi bantuan, menjaga, menghormati dan memberi kasih sayang kepada kedua ibu bapanya, hingga dia menjadi anak yang soleh dan sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya.
Jika dia seorang isteri, dia akan berkhidmat untuk suaminya, mentaatinya, menjaga kehormatan diri dan menjadikan dirinya sebagai seorang isteri yang solehah dan tidak menderhakai suaminya.
Jika dia seorang pekerja, dia akan bekerja dengan jujur dan amanah, tidak mencuri tulang dan sentiasa menjaga kepentingan majikannya.
Jika dia seorang pemimpin negara, amanah yang besar terpikul dibahunya iaitu :
1. Dia bertanggungjawab memastikan hukum-hukum Allah SWT terlaksana seperti yang terdapat di dalam al-Quran dan as-Sunah. Jika hukum-hukum tersebut perlu kepada peringkat demi peringkat dalam perlaksanaannya dia perlu ikhlas dan berusaha agar undang-undang tersebut dapat dilaksanakan satu persatu dan kesedaran perlu diberikan kepada rakyat supaya memahami kebaikan undang-undang yang datangnya daripada Allah SWT. (bukannya membenci dan menentang hukum hudud)
2. Sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat samaada keperluan pendidikan, perubatan, perumahan, peluang-peluang pekerjaan, peningkatan ekonomi dan sebagainya.
3. Sentiasa menjamin keselamatan rakyat, pemimpin tidak boleh memusuhi atau menzalimi rakyat dengan menolak pandangan dan kehendak mereka. Apatah lagi membelasah rakyat yang berhimpun secara aman.
4. Pastikan akidah, akhlak dan pendidikan Islam berjalan dengan sempurna untuk rakyat yang beragama Islam, mengutamakan pendidikan Islam disemua peringkat pembelajaran kerana amanah ini lebih penting daripada perkara yang lain.
5. Pemimpin tidak mengambil rasuah, tidak memberi keutamaan kepada kroni dan ahli keluarga dan pastikan harta dan kewangan negara diurus dengan sempurna dan tidak berlaku penyelewengan dan salah urus.
Penyelewengan dan mengabaikan amanah akan mengakibatkan pemimpin tidak dapat memasuki syurga Allah SWT di hari akhirat.
Diriwayatkan dari Ma’qil bin Yasar, ia berkata kepada Ubaidah bin Ziyad pada saat sakit menjelang wafatnya : “Kalau bukan karena sakit yang akan membawa kematian ini, saya tidak akan menceritakan kepadamu, bahwa saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seseorang yang diberi amanah Allah untuk memimpin rakyatnya, sedangkan ia meninggal dunia dalam keadaan menipu rakyatnya, kecuali Allah haramkan baginya masuk syurga.”
(Sahih Muslim, hadits ke 3409, Jilid 9, hal 349).
Dalam hadis yang lain sabda Rasulullah SAW bersabda maksudnya : " Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang kamu pemimpin, ketua atau imam adalah pemimpin dan ia akan diminta tanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Suami adalah pemimpin di dalam keluarganya, dan dia akan bertanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Isteri juga pemimpin, dalam mengendalikan rumahtangga suaminya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya, dan pembantu rumahtangga juga pemimpin dalam mengawasi harta benda majikannya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya." (Hadis Riwayat Bukhari)
Dari hadis ini jelaslah bahawa tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan diri dari tanggungjawab, dan tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan tugasnya terhadap masyarakat dan semuanya akan ditanya oleh Allah SWT apakah tanggungjawab kita itu dapat dilaksanakan dengan baik atau tidak.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita menjalani ibadah puasa dengan sempuran dengan mematuhi syarat-syaratnya dan menjadikan puasa kita sebagai amanah yang wajib perlu kita tunaikan kepada Allah SWT. Dari rasa tanggung jawab ini akan melahirkan rasa tanggungjawab kepada Allah SWT untuk memikul segala amanah yang diberikan kepada kita untuk dilaksanakan. Sekiranya puasa yang kita kerjakan tidak dapat melahirkan sifat amanah kepada tugas (tanggungjawab) yang diberikan kepada kita ini bermakna puasa kita tidak betul dan mungkin tidak diterima oleh Allah SWT. Natijah puasa akan melahirkan salah satu sifat mahmudah iaitu sifat amanah dengan tugas dan tanggungjawab.
No comments:
Post a Comment