بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Saidina Ali bin Abi Talib k.wj berkata : "Sesungguhnya amalan yang paling sukar ada empat perkara iaitu:
Pertama : Memberi maaf pada waktu marah.
Kedua : Suka memberi pada waktu susah.
Ketiga : Menjauhi yang haram pada waktu sunyi.
Keempat : Mengatakan yang hak kepada orang yang ditakuti atau
kepada orang yang diharapkan sesuatu darinya."
Huraiannya :
Pertama : Memberi maaf pada waktu marah.
Semua manusia pada dasarnya memiliki sifat marah, kerana marah adalah salah satu tabiat manusia. maka agama tidak melarang marah, tetapi kita diperintahkan untuk dapat mengawal perasaan marah dan senantiasa menjadi pemaaf.
Marah adalah salah satu sifat mazmumah yang harus di jauhi supaya kita tidak termasuk dikalangan orang yang memilikmi sifat tercela.. Sesiapa yang tidak dapat mengawal perasaan marah sebenarnya ia sedang dikuasi oleh hawa nafsu. Banyak keadaan marah boleh mendatangkan perkara buruk. Apabila seseorang itu marah, ia dibantu oleh syaitan. Syaitan adalah musuh utama manusia yang berjanji kepada Allah untuk menggoda dan memesongkan anak cucu Adam.
Fiirman Allah SWT yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh” (Surah Al-A'raaf ayat 199)
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)
Sabda Nabi SAW. lagi yang bermaksud : "Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredaan Allah Taala." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Kedua : Suka memberi pada waktu susah
Sifat suka bersedekah dan memberi pertolongan kepada orang yang memerlukan pertolongan adalah satu sikap yang mulia. Terutama apabila pertolongan yang diberikan ketika itu kita juga sedang berada di dalam kesusahan.
Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : “Satu dirham mengatasi seribu dirham.”
Para sahabat bertanya, “Bagaimana berlaku demikian, ya Rasulullah?”
Rasulullah SAW. menjawab, “Seorang lelaki ada dua dirham, lalu disedekahkannya satu dirham yang paling baik. Seorang kaya mengeluarkan dari hartanya yang banyak dan disedekahkan seribu dirham. Maka satu dirham itu lebih baik.”
Nilai sedekah ketika susah lebih bernilai disisi Allah SWT daripada sedekah orang kaya yang diberikan tidak mendatangkan apa-apa kesusahan kepadanya.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W. bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim).
Ketiga : Menjauhi yang haram pada waktu sunyi
Biasanya sesaorang manusia suka melakukan maksiat ketika bersunyian, ketika itu tidak ada siapa yang melihatnya . Baginya akan terselamat daripada penglihatan manusia lain.
Tetapi sebaliknya apa yang berlaku kepada orang mukmin iaitu dia merasai bahawa Allah SWT sentiasa melihat perbuatan dan amalannya sehingga segala hasad dengki yang tersimpan di hatinya juga dapat diketahui oleh Allah SWT.
Perasaan takut, malu dan gementar untuk berhadapan di Mahkamah Allah SWT nanti membuatkan hati dan jiwanya sentiasa muraqabah terhadap-Nya.Ingatlah ketika di sini nanti lidah akan dikunci, giliran anggota lain yang akan berkata-kata mengeluarkan pengakuan dan saksi bagi semua perbuatan si tuan badan. Mata, telinga, tangan dan kaki serta alam yang ada disekitarnya, hari dan masa semuanya akan mengaku perbuatan itu dan ini. Ketika itu manusia akan terperangkap dengan perbuatan dosa kerana anggota badan sendiri tidak menyebelahinya. Terbongkarlah rahsianya!
Di tambah pula akan di tayangkan 'video clip' semua perbuatannya semasa di dunia.Ia tidak boleh berbohong dan berdalih. Semua ini akan menyingkap kekejiannya. Memalukan dan membawa segunung penyesalan kepadanya.
Orang yang muraqabah , bertakwa dan muhsin akan tenang walau pun mendapat nikmat, pujian, atau menghadapi kesusahan, tohmahan dan seumpamanya. Dia merasa bimbang sekiranya kehilangan reda dan pertolongan dari Allah SWT
Nabi SAW pernah berpesan yang bermaksud "Seorang mukmin itu tidak akan mencuri, ketika mana melakukan perbuatan itu dia adalam mukmin." Maknanya , ketika dalam hati seseorang itu ada iman atau hatinya hadir, maka dia tidak akan melakukan kesalahan. Orang beriman tidak akan mencuri jika dia merasai pengawasan Allah SWT. Ini kerana, hati yang di miliki itu adalah hati yang sedar dan mampu merasai Allah SWT melihat serta mengawasi segala amalannya. Itulah hakikat muraqabah.
Hati orang mukmin dan hati yang dapat muraqabah bersedia menerima tarbiah dan peringatan, kerana segala peringatan akan memandu seluruh anggata kita melakukan ketaatan. Firman Allah SWT yang bermaksud "Oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermenfaat." (Surah al-A'laa, ayat 9). Dengan saling memberi peringatan ini juga akan melahirkan perasaan takut untuk melakukan kesalahan terhadap Allah SWT seperti firmanNya yang bermaksud "Orang yang takut kepada Allah akan mendapat pelajaran." (Surah al- A'laa, ayat 10).
Keempat : Mengatakan yang hak kepada orang yang ditakuti atau kepada orang yang diharapkan sesuatu darinya.
Diriwayatkan oleh Jabir, Nabi SAW menyebut yang maksudnya: “Tiada sedekah yang lebih dicintai Allah daripada bercakap benar.” (Hadis riwayat Baihaqi)
Sampaikanlah kebenaran walaupun pahit di dengar kepada orang yang kita mengharapkan sesuatu daripadanya. Contoh kepada ibu bapa sendiri atau majikan kita. Jika di dapati sesuatu yang tidak betul maka tanggungjawab kita untuk memperbetulkannya. Cara nasihat atau teguran biarlah cara hikmah dan bijaksana. Terpulanglah kepada mereka untuk menerimanya.
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita hayati empat perkara yang paling sukar tetapi wajib kita laksanakan semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Berdoalah kepada Allah SWT semoga kita sentiasa dipermudahkan-Nya untuk membuat kebaikan dan kebajikan. Tidak ada sesuatu yang akan menjadi mudah apabila dipermudahkan oleh Allah SWT, begitu juga tidak ada sesuatu yang sukar melainkan dihalang dan di sukarkan oleh Allah SWT .
No comments:
Post a Comment