Friday, October 28, 2011

Waspadalah Empat Perkara.

السَّلاَمُ عَلَيْكُم

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Al-fadhil Kalam Musafir ada berpesan : "Ada empat perkara yg dapat menyembabkan hidup terasa sempit, hati menjadi sedih, dan dada terasa sesak :-

Pertama : Tidak suka terhadap qada dan qadar Allah dan tidak rela menerimanya.

Kedua : Terjerumus pada kemaksiatan tanpa bertaubat kepada Allah.

Ketiga : Dengki kepada manusia, suka balas dendam, dan iri terhadap kurnia yang diberikan Allah kepada seseorang .

Keempat : Berpaling dari peringatan Allah.

Huraiannya :

Pertama : Tidak suka terhadap qada dan qadar Allah dan tidak rela menerimanya.

Orang mukmin akan menerima dengan hati yang yakin dan reda terhadap qada dan qadar Allah SWT tanpa ragu-ragu kerana percaya kepada qada dan qadar adalah rukun Iman yang ke 6. Jika seseorang tidak rela menerima qada dan qadar maka akan rosak imannya kepada Allah SWT.

Qada dan Qadar ialah ketetapan Allah SWT yang telah ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmuNya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian seperti mana yang telah ditetapkan.

Firman Allah lagi maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".

(Surah Al-Hadid ayat 22)

Qada dan qadar rahsia Allah .Bukan tugas kita untuk mempersoalkannya..Tugas kita melaksanakan ibadah sebaik mungkin dan tingkatkan ketakwaan dan keimanan pada Allah SWT dan yakin dengan janji -janji-Nya bahawa Dia akan membalasi hamba-Nya yang beriman dengan syurga. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya kita sentiasa dirahmati-Nya di dunia dan akhirat.

Berdasarkan hadis Nabi SAW hanya doa dapat mengubah qada dan qadar. Baginda bersabda maksudnya : “Tiada suatu yang boleh menolak(mengubah)qada melainkan doa”
Kita juga hendaklah bersangka baik dengan Allah SWT (husnu zan) di atas sesuatu peristiwa atau kejadian yang berlaku di dunia ini.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : "Allah SWT berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku'."
(Hadis RiwayatAl-Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya : "Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah."
(Hadis Riwayat Muslim)

Apakah maksud berbaik sangka dengan Allah? Berbaik sangka di sini adalah rasa takut dan harap yang saling bergandingan, ataupun rasa takut mengatasi rasa harap. Yakinilah setiap sesuatu kejadian yang berlaku samaada di langit atau di bumi atau kepada diri kita sendiri adalah ketetapan yang terbaik yang diciptakan oleh Allah SWT dan terdapat seribu hikmah yang tidak mampu kita memikirkannya.

Kedua : Terjerumus pada kemaksiatan tanpa bertaubat kepada Allah.

Apabila seorang itu terjerumus pada maksiat sebenarnya di hatinya akan berlaku titik-titik hitam . Jika titik-titik hitam ini banyak maka hati akan menjadi hitam dan ketika ini taufik dan hidayah daripada Allah SWT tidak akan masuk ke hati seperti ini.
Dalam hadis Nabi SAW disebutkan : "Hati manusia itu ibarat sehelai kain putih yang apabila manusia itu berbuat dosa maka tercorenglah / ternodailah kain putih tersebut dengan satu titik noda kemudian jika sering berbuat dosa lambat-laun sehelai kain putih itu berubah menjadi kotor / hitam".

Jika hati nurani sudah kotor maka terkunci nuraninya akan sulit menerima petunjuk dari Allah. Untuk membersihkan titik-titik hitam dan kotoran yang melekat di hati adalah dengan beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT.

Manusia sentiasa terdedah kepada kesilapan dan kesalahan. Malah setiap anak Adam adalah berdosa dan tidak pernah lekang dari dosa.

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud :
"Semua anak Adam adalah berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang bertaubat dari dosanya."

Allah SWT. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu siang untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu malam, dan membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu malam untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu siang. Hal ini berkekalan sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat." (Hadis Riwayat Muslim)

Ketiga : Dengki kepada manusia, suka balas dendam, dan iri terhadap kurnia yang diberikan Allah kepada seseorang.

Sifat hasad dengki, suka balas dendam dan iri hati terhadap kurniaan seseorang yang diberikan oleh Allah SWT adalah sifat-sifat mazmumah.

Sifat hasad dengki  adalah sifat yang banyak membawa keburukan dan kemusnahan. Orang berpenyakit hasad dengki ini tidak suka melihat orang lain berjaya daripada dirinya, tidak kira dalam apa juga bidang. Dia akan berusaha sedaya upaya menjatuhkan atau menggagalkan orang yang lebih daripadanya itu. Dia akan melakukannya sehingga berjaya, iaitu sehingga musuhnya jatuh gagal dan tewas.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Waspadalah terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu.
(Hadis Riwayat Abu Dawud)"

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian dari pada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu" (Surah an-Nisa' ayat 32)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "ataukah mereka dengki kepada mausia (Muhammad) kerana kurnia yang telah diberikan Allah kepadanya?"(Surah an-Nisa' ayat 54)

Umumnya semua kita punya sifat ini, cuma bergantung kepada kekuatan diri untuk mengawalnya. Ada yang tidak mempedulikannya. Ada yang mengikutinya hingga menggadaikan maruah diri dan orang sekitarnya. Kita seringkali lupa bagaimana Allah mendidik kita supaya sentiasa meminta kepadaNya.

Jika sifat hasad dengki, dendam dan iri hati ini tidak dibuangkan pada diri seseorang dia akan menerima balasan di sisi Allah SWT.

Orang yang disebut Allah dalam firman-Nya itu ternyata rohaninya (hatinya) tidak sihat dan tentunya berpenyakit. Apabila rohani berpenyakit maka berlakulah sifat bertentangan tuntutan agama dan lebih buruk lagi boleh mengakibatkan manusia itu ingkar kepada Allah.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Di dalam hati mereka ada beberapa penyakit, lalu Allah menambah penyakit itu, dan untuk mereka itu azab yang pedih kerana mereka telah berdusta.” (Surah al-Baqarah ayat 10)

Orang mukmin akan memaafkan kesalahan orang lain dan dia tidak ada perasaan dendam kerana dendam itu datangnya daripada dorongan hawa nafsu yang lahir daripada bisikan syaitan. Walaupun dia berkuasa membalas dendam tetapi pilihannya adalah memaafkan kesalahan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"

(Hadis Riwayat Baihaqi)

Keempat : Berpaling dari peringatan Allah.


Jika kita berpaling daripada peringatan Allah SWT akan menyembabkan hidup terasa sempit, hati menjadi sedih, dan dada terasa sesak kerana setiap peringatan Allah SWT adalah untuk menjadi iktibar dan pengajaran. Jiwa yang menerima tarbiah dan didikan daripada Allah SWT , menerusi al-Quran maka jiwa akan tenteram dan damai dan melahirkan keseronokan dan kebahagiaan yang sebenarnya.


Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut ‘Allah’, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah keimanannya, dan kepada Tuhan merekalah sahaja mereka bertawakal.” (Surah al-Anfal ayat 2)

Tanda hati yang hidup, ialah ia masih boleh bergetar dan teralun dengan zikrullah dan bacaan Al-Quran, ia akan bergetar untuk segala jenis kebaikan. Hati yang hidup akan terkesan apabila menerima teguran dan berasa tenang apabila menerima nasihat. Hati yang hidup akan peka terhadap kebesaran Ilahi dan takut akan kemurkaanNya. Hati yang hidup juga akan mendorang diri berasa lebih ringan untuk melakukan ibadah.

Hati yang hidup dan jiwa yang tenang akan mampu membezakan antara yang hakiki dengan yang ilusi. Ia tidak seperti pandangan mata kasar yang sifatnya selalu menipu, pandangan akal yang sifatnya boleh tersalah dan pandangan nafsu yang sifatnya selalu melulu.

Mereka yang hatinya sentiasa takut kepada Allah dan takut dengan azab-Nya bukan setakat tahu tetapi sedar hakikat dirinya sebagai hamba Allah. Hamba Allah tidak akan bersifat seperti 'tuan', bersikap angkuh, tamak, pemarah, bangga diri dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Oleh itu tahu dan sedar adalah dua perkara yang berbeza. Tahu letaknya di akal, dengan memiliki ilmu dan maklumat. Manakala kesedaran letaknya di hati, dengan memiliki penghayatan dan hikmah.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita berwaspada dan menjauhi empat perkara yang boleh menjadikan hidup terasa sempit, hati menjadi sedih, dan dada terasa sesak . Untuk mengatasi perkara ini perlulah kita kembali kepada Allah SWT, beriman dan bertakwa kepada-Nya dan meyakini bahawa hanya sistem hidup Islam yang lengkap dan sempurna akan menyelamatkan kita samaada hidup di dunia maupun di hari akhirat.

No comments: