سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Tidak ada seorang pun yang bertawaduk kerana Allah kecuali Allah akan meninggikan darjatnya."(Hadis Riwayat Muslim)
Sifat tawaduk adalah satu sifat yang mulia, seseorang muslim yang mempunyai sifat ini akan mendapat darjat yang tinggi disisi Allah SWT. Berlawanan dari sifat tawaduk adalah sifat sombong dan takbur.
Seorang muslim yang berakhlak mulia tidak sanggup bersifat takbur serta membesarkan diri supaya di pandang tinggi oleh orang lain.Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat masa kini masih meletakkan nilai pangkat, kecantikan, harta kekayaan, keturunan sebagai asas untuk meletakkan seseorang itu dipandang mulia atau sebaliknya.
Firman Allah SWT bermaksud :
"Negeri akhirat itu kami jadikan untuk orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di muka bumi dan (kesudahan yang baik) itu adalah bagi orang bertakwa."(Surah al-Qasas ayat 83)
Peringatan Allah ini mengingatkan kita bahawa seolah-olah tiada kehidupan yang baik bagi orang yang sombong dan takbur di akhirat kelak melainkan hamba-Nya yang bertakwa sahaja.Orang sombong tidak di sukai Allah.
Dengan menghayati sunnah Rasulullah SAW kita dapati baginda sangat menitikberatkan hubungan baik sesama insan, hormat menghormati serta tidak sombong, walaupun apabila berdepan dengan musuh. Bahkan sifat pemaaf baginda SAW sepatutnya menjadi perangsang untuk membina ukuwah Islamiyah dan silaturahim sesama saudara muslim.
Persengkitaan dan perpecahan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini adalah berpunca dari sikap umat Islam tidak mahu kembali kepada ajaran Islam sebenarnya dan meninggalkan sunnah Rasulullah SAW.Di dalam jiwa masih menebal sifat takbur dan sombong, meremehkan orang lain untuk meninggikan diri.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Tidak masuk Syurga orang yang dalam hatinya seberat biji sawi dari kesombongan. Maka seorang lelaki bertanya :Sesungguhnya seseorang menyukai pakaiannya yang bagus dan seliparnya yang elok."
Nabi SAW menjawab yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah Maha Indah dan menyukai keindahan, sombong itu menolak kebenaran dan meremehkan manusia."
(Hadis Riwayat Muslim)
Orang yang sombong suka menghina orang lain ketika di dunia ini, di akhirat nanti mereka pula akan di hina oleh Allah , Allah tidak akan memandang dan berbicara dengan mereka atau menyucikan mereka dan inilah kehidupan yang sebenar-benar hina.
Orang yang takbur dengan habuan dunia lupa bahawa sombong adalah pakaian Allah, iaitu hak uluhiyah-Nya yang tidak boleh di rampas oleh sesiapa pun seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Perkasa adalah kain sarung-Ku (Allah) dan sombong ialah pakaian-Ku, barangsiapa menandingi Aku daripada salah satu dari keduanya, nescaya Aku akan menyiksanya."
(Hadis Riwayat Muslim)
Bukan mudah mencabut akar umbi kesombongan yang sudah bertapak dalam diri. Kerana itulah orang yang bersifat tawaduk cuba untuk menghambakan diri serendahnya kepada Ilahi untuk menjauhi sifat takbur dan riak.
Sahabat yang dimuliakan,
Tawaduk biasanya di terjemahkan dengan erti merendah diri. Beberapa pandangan ulama berkaitan sifat tawaduk ialah;
1. Bersikap tenang, sederhana dan sungguh-sungguh serta menjauhi perbuatan takabbur (sombong).
2. Tawaduk adalah satu sifat orang mukmin yang termasuk siddiq.Orang yang patuh dan taat menerima yang benar serta menerima kebenaran itu walau dari sesiapa pun.Tidak pernah menganggap dirinya lebih tinggi dari orang lain.
3. Orang yang yang tidak pernah membusungkan dada, orang yang bersifat lemah lembut dan hormat pada sesiapa pun, meskipun orang yang miskin dan tidak berpangkat.
4. Sifat yang tegas, hanya 'menerima yang hak dan menolak yang batil' Satu tekad kesungguhan dalam mencapai yang benar."
Allah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi:
يقول الله : من تواضع لي هكذا - وجعل باطن كفه إلى الأرض وأدناها إلى الأرض - رفعته هكذا - وجعل باطن كفه إلى السماء ورفعها نحو السماء
Maksudnya;"Barangsiapa tawaduk (merendah diri) kerana Aku (Allah) seperti begini: Ia itu Rasulullah menunjukkan dengan menelangkupkan tangannya ke bumi, nescaya Aku angkat seperti ini (ia itu Rasulullah membalikkan tangannya ke arah langit)."(Abu Bazar, Abu Ya'la dan Thabrani)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Islam sebenar dan mengikut sunnah Rasulullah SAW, jalinilah dan perkukuhkanlah hubungan persaudaraan Islam sesama kita, buanglah sifat kebencian dan permusuhan kerana permusuhan itu adalah amalan syaitan yang di benci oleh Allah SWT.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku supaya kalian merendah hati, hingga tidak ada orang yang merasa tinggi daripada yang lain dan tidak ada orang yang berbuat zalim kepada yang lain."
No comments:
Post a Comment