Monday, December 19, 2011

Usah Terpedaya Dengan Keseronokan Dunia Kerana Akhirat Adalah Tempat Yang Kekal Abadi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya dunia ini ibarat lautan yang luas dan dalam. Telah ramai insan yang tewas, karam dan tenggelam dipukul gelombang. Oleh itu, layarilah bahtera kehidupan ini berasaskan takwa. Muatannya iman yang teguh di dada dan layarnya tawakkal kepada Yang Maha Esa. Semoga kalian selamat menuju ke pulau tujuan. Berjaya mendaki gunung harapan dan selamat mencapai kemenangan.

Perkara yang paling penting dan utama dalam menyusun kehidupan adalah meluruskan hati kita terlebih dahulu, 

Hadis dari Nu'man bin Basyir , Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada segumpal darah. Jika elok, maka akan eloklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka akan rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa ia adalah hati." (Hadis riwayat Bukhari)

Hati mencorakkan sikap seseorang. Kesakitan rohani dapat dikesan dan proses perubatannya mudah dilakukan berbanding penyakit rohani yang sukar dikesan pancaindera menyebabkan manusia melakukan tindakan di luar batas keimanan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Demikianlah kami jadikan kamu sebagai umat yang dipimpin ke jalan lurus dengan sifat kesederhanaan, sebagai umat yang layak memimpin manusia dan Rasul, sebagai utusan akan menjadi saksi terhadap kebenaran kamu lakukan." (Surah al-Baqarah, ayat 143)
 
Bila hati tenang seseorang akan dapat menghadapi apa jua keadaan dengan baik. Dalam keadaan susah, hati boleh bersabar. Dalam keadaan senang hati boleh bersyukur.

Usah terlalu ghairah memburu keseronokan. Keseronokan bukan kebahagiaan. Tetapi dalam kebahagiaan ada keseronokan. Kebahagiaan ada di hati dan hanya akan tercapai apabila fitrah hati dipenuhi. Hati perlukan ketenangan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang."
(Surah ar-Ra'd ayat 28)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Sesungguhnya hati yang terbaik ialah hati yang sentiasa mengingati Allah."
(Hadis Riwayat Abu Saad al-Qudri)

Oleh itu perlulah sentiasa memberi perhatian kepada kesejahteraan hati kita.

Dalam menjalani kehidupan yang mencabar ini, kita perlu menjaga akhlak sebaik mungkin. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Sebaik-baik manusia adalah dia yang membawa kebaikan kepada orang lain." (Hadis Riwayat Bukhari)

Perlu di ingat bahawa kita akan dipertanggung jawabkan dihadapan Allah SWT di hari akhirat nanti tentang apa yang kita telah lakukan didunia ini. Jika kebaikan dan mendatangkan menfaat hingga di ikuti oleh orang lain maka saham kebaikannya akan kita terima berupa pahala, iaitu pahala dari perbuatan kita sendiri disamping pahala dari orang lain.Oleh itu, sentiasalah berusaha untuk menjadi contoh yang baik.

Awasilah terhadap pengaruh persekitaran, rakan-rakan yang boleh memesongkan keimanan, gunakanlah masa terluang yang ada untuk mengisi dengan majlis-majlis ilmu yang akan menambahkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku."
(Surah az-Zariyat ayat 56)

Oleh itu pastikan setiap aktiviti hidup kita dalam rangka memperhambakan diri kepada Allah SWT.

Ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya sewaktu memberi nasihat :
"Hai anakku !

1. Janganlah engkau menyekutukan Allah SWT. kerana sesungguhnya syirik itu suatu penganiayaan yang besar.

2. Allah mewajibkan manusia taat kepada ibu-bapa. Ibunya telah mengandungnya dengan menderita lemah dan bertambah lemah serta menyusuinya selama dua tahun. Oleh itu, hendaklah bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kedua ibu-bapa. Kepada Allah SWT tempat kembali. Sekiranya kedua ibu-bapamu memaksa engkau menyekutukan Allah SWT, maka janganlah engkau taat. Tetapi layanilah mereka dengan sebaiknya dalam urusan dunia.

3. Hai anakku ! Sesungguhnya jika ada kebaikan walau sebesar biji sawi, biarpun didalam batu atau dilangit maupun dibumi nescaya akan diperlihatkan di akhirat kelak. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui.

4. Hai anakku ! Dirikanlah Solat dan suruhlah manusia membuat kebajikan. Laranglah perbuatan mungkar serta bersabarlah diatas suatu musibah yang menimpamu. Sesungguhnya berlaku sesuatu itu adalah dalam urusan Allah SWT

5. Janganlah engkau memalingkan pipimu daripada manusia kerana sombong dan janganlah berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri.

6. Berlaku sederhanalah dalam berjalan dan rendahkanlah suaramu dalam berbicara. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

Halim al-Assam berkata :
"Aku lihat semua manusia mempunyai kekasih. Sebahagian mereka sanggup menemani kekasihnya sehingga waktu ajal mendatang. Ada pula yang akan terus menemaninya hingga ke liang lahat. Selepas itu mereka akan pulang. Tinggallah manusia ini keseorangan di dalam kuburnya. Lalu aku berfikir. 'Sebaik-baik sahabat yang akan menemaniku sehingga ke dalam kubur sekalipun'. Aku tidak mememui sahabat sebagini melainkan amal solehku. Lalu aku pun menjadikannya sebagai kekasihku. Agar kekasihku ini akan menjadi pelita menerangi kegelapan kuburku nanti, menghiburkanku dan tidak meninggalkanku keseorangan."

Sahabat yang dimuliakan,
Nabi SAW bersabda daripada Irbadz bin Sariah yang bermaksud: "Sesungguhnya aku telah tinggalkan bagimu fahaman yang jelas dari sebarang kesamaran. Diumpamakan seperti malam yang gelap-gelita menjadi terang bercahaya. Sesiapapun tidak akan tergelincir selepas kewafatanku melainkan mereka yang ditakdirkan binasa. Mereka yang hidup selepasku akan melihat kekeliruan yang banyak sekali melainkan mereka berpegang dengan sunnahku dan sahabat yang terpimpin. Maka peganglah dengan kepercayaan itu dengan teguh dan jitu." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Marilah sama-sama kita berpegang dengan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW dan amalan sahabat-sahabat baginda dan ulama-ulama yang muktabar semoga kita berjaya mengharugi hidup di dunia ini penuh cabaran dan dugaan.

3 comments:

pB said...

Assalamualaikum

salam ziarah di pagi selasa yang mulia

abubasyer said...

waalikumusalam, PB jadikanlah hidup di dunia ini sebagai jambatan menuju ke hari akhirat kerana kehidupan yg kekal abadi adalah di sana bukannya di sini, dunia haya tempat keseonokan yg menipu manusia. Akhiratlah tempat yg kekal abadi.

abubasyer said...

waalikumusalam, PB jadikanlah hidup di dunia ini sebagai jambatan menuju ke hari akhirat kerana kehidupan yg kekal abadi adalah di sana bukannya di sini, dunia haya tempat keseonokan yg menipu manusia. Akhiratlah tempat yg kekal abadi.