Friday, January 6, 2012

Hakim Yang Tidak Adil Akan Menempah Tempat Duduknya di Neraka

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia akan dipersoalkan di hari akhirat nanti adakah semasa hidup di dunia ini dia melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT. Jika seorang manusia telah melakukan kezaliman dan tidak adil dalam memutuskan sesuatu perkara kepada  manusia yang lain maka dia akan mendapat kemurkaan Allah SWT. Manusia jangan berbangga dengan kezaliman yang dia lakukan kerana setiap kezaliman akan ada azab yang akan menantinya.

Firman Allah SWT maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Maaidah ayat 8)

Allah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk selalu menegakkan kebenaran dan berlaku adil.
Perlulah diingat doa orang yang dizalimi adalah makbul di sisi Allah SWT. Jika seseorang teranyanya dengan keputusan hakim yang tidak adil. Sekiranya hakim lebih cenderung kepada suatu pihak tanpa menimbangkan dengan adil pihak yang lain walaupun  bukti-bukti yang dikemukakan diragui , maka hakim tersebut tidak jujur dan menyalahi amanah yang dipikulkan keatas dirinya. Dia akan mendapat balasan di dunia lagi dan di akhirat akan di azab dengan azab yang amat dahsyat sekali.

Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara." (Hadis riwayat Hakim - sanad sahih)

Menjadi seorang hakim wajib berlaku adil dan tidak boleh langsung berat sebelah untuk memutuskan seseorang bersalah atau tidak. Kerana semua bukti-bukti perlu di ambil kira samaada daripada pihak pendakwa atau pembela , kerana kegagalan seorang hakim berlaku adil sebenarnya dia menyedikan tempat duduknya di dalam neraka Jahanam.

Sabda Nabi SAW maksudnya : "Hakim terdiri dari tiga golongan. Dua golongan hakim masuk neraka dan segolongan hakim lagi masuk syurga. Yang masuk syurga ialah yang mengetahui kebenaran hukum dan mengadili dengan hukum tersebut. Bila seorang hakim mengetahui yang hak tapi tidak mengadili dengan hukum tersebut, bahkan bertindak zalim dalam memutuskan perkara, maka dia masuk neraka. Yang segolongan lagi hakim yang bodoh, yang tidak mengetahui yang hak dan memutuskan perkara berdasarkan kebodohannya, maka dia juga masuk neraka. (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ath-Thahawi)

Sabda Nabi SAW maksudnya : " Lidah seorang hakim berada di antara dua bara api sehingga dia menuju syurga atau neraka. (Hadis Riwayat  Abu Na’im dan Ad-Dailami)

Seorang hakim tidak boleh membiarkan perasaan atau emosinya mempengaruhi keputusannya.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Janganlah hendaknya seorang hakim mengadili antara dua orang dalam keadaan marah." (Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Seorang hakim tidak akan berlaku adil jika dia condong untuk menjaga kepentingan suatu pihak terutama yang mempunyai pengaruh dan kedudukan di dalam masyarakat. Golongan pemimpin, hartawan dan bangsawan biasanya akan menggunakan pengaruhnya samaada berbentuk wang ringgit ataupun hubungan baik dengan pihak atasan untuk mendapat sokongan dan bantuan para hakim untuk memberi kemenangan bagi pihak mereka walaupun mereka berada dipihak yang bersalah.

Nabi SAW sungguh murka apabila ada sahabat yang cuba menggunakan pengaruh peribadinya yang baik dengan Rasulullah SAW untuk menyelamatkan seseorang wanita bangsawan yang telah sabit kesalahan mencuri.

Seorang wanita di zaman Rasulullah SAW sesudah pembukaan kota Mekah telah mencuri. Lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar tangan wanita itu dipotong. Usamah bin Zaid menemui Rasulullah SAW untuk meminta keringanan hukuman bagi wanita tersebut. Mendengar permintaan Usamah, wajah Rasulullah SAW  langsung berubah. Baginda lalu bersabda maksudnya : “Apakah kamu akan minta pertolongan untuk melanggar hukum-hukum Allah Azza Wajalla?”

Usamah lalu menjawab, “Mohonkan ampunan Allah untukku, ya Rasulullah.”
Pada petang harinya Nabi SAW berkutbah setelah terlebih dulu memuji dan bersyukur kepada Allah. Inilah sabdanya yang bermaksud : “Amma ba’du. Orang-orang sebelum kamu telah binasa disebabkan bila seorang bangsawan mencuri dibiarkan (tidak dihukum), tetapi jika yang mencuri seorang yang miskin maka dia ditindak dengan hukuman. Demi yang jiwaku dalam genggaman-Nya. Apabila Fatimah anak Muhammad mencuri maka aku pun akan memotong tangannya.” Setelah bersabda begitu baginda pun kembali menyuruh memotong tangan wanita yang mencuri itu."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Begitulah sabda Nabi SAW. Hukum harus ditegakkan tidak kira orang itu kaya atau miskin. Hukum harus dijalankan tidak kira dia orang asing atau anak kita sendiri.

Tidak boleh kerana wang ringgit, orang kaya dan ternama atau seorang bangsawan boleh terlepas  dari hukuman ataupun orang yang tidak bersalah cepat-cepat diputuskan bersalah walaupun bukti-bukti masih sama-samar dan meragukan. Hakim mesti menununjukkan kewibawaan dan bertindak secara profesional  dan resional, jika tidak keharmonian masyarakat akan hancur dengan keputusan yang tidak adil. Segala bukti-bukti yang meragukan perlu ditolak dan di ambil hanya bukti yang sahih dan tidak menimbulkan keraguan.

Para hakim kena ingat malaikat pencatat amal manusia ada dikiri dan kanan, CCTV Allah SWT sentiasa merakamkan keputusan mereka dengan semua makhluk Allah SWT termasuk bumi  hari, masa, bangunan mahkamah dan  anggota para hakim sendiri akan menjadi saksi yang adil .

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW  membaca ayat ini: "Yang bermaksud: 'Pada hari itu bumi menceritakan beritanya'. Kemudian baginda bertanya:"

Adakah kamu tahu apakah yang akan diberitahu oleh bumi itu nanti?"

Para sahabat menjawab:" Allah SWT dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui."

Baginda SAW. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya berita yang akan disampaikan oleh bumi ialah bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, sama ada lelaki ataupun perempuan terhadap apa yang mereka lakukan di atasnya."

Bumi akan berkata: 'Dia telah melakukan itu dan ini pada hari itu dan ini'. Itulah berita yang akan diberitahu oleh bumi."

(Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Rasuah adalah satu penyakit yang besar yang merosakkan keadilan di dalam masyarakat. Rasuah bukan setakat dijanjikan wang ringgit tetapi rasuah juga boleh diterima dengan janji-janji mendapat kenaikan pangkat dengan melakukan ketidak adilan demi kemaslahatan pihak atasan. Sehinggakan Allah SWT melarangnya di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT.  dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: “ Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Orang-orang fasik akan menggunakan berbagai cara untuk mengaibkan seseorang dan menimbulkan berbagi fitnah demi untuk menjatuhkan seseorang yang dibenci samaada menggunakan cara-cara bidaah yang tidak ada dalam ajaran Islam. Orang fasik juga akan menggunakan semua cara samaada pengaruh, kedudukan dan kuasa untuk bertindak melakukan kezaliman kepada musuhnya atau sesiapa saja yang dia benci dengan berlindung di balik undang-undang dan saksi palsu.

Seorang hakim harus mendengarkan seluruh keterangan dari semua pihak yang bersengketa. Tidak boleh berat sebelah.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Bila dua orang yang bersengketa menghadap kamu, janganlah kamu berbicara sampai kamu mendengarkan seluruh keterangan dari orang kedua sebagaimana kamu mendengarkan keterangan dari orang pertama. (Hadis Riwayat Ahmad)

Nabi SAW bersabda maksudnya  : "Allah beserta seorang hakim selama dia tidak menzalimi. Bila dia berbuat zalim maka Allah akan menjauhinya dan syaitanlah yg selalu mendampinginya." (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Saksi Palsu atau berbohong adalah dosa besar. Bahkan Nabi SAW sampai menyamakannya dengan dosa syirik. Oleh itu hakim perlu meneliti semua persaksian jika ada keraguan persaksian tersebut daripada mana-mana pihak perlulah ditolak tidaklah dengan  mudah menerimanya.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Salah satu dosa paling besar ialah kesaksian palsu. (Hadis Riwayat Bukhari)

Baginda bersabda maksudnya : : “Disejajarkan kesaksian palsu dengan bersyirik kepada Allah.” Baginda mengulang-ulang sabdanya itu sampai tiga kali. (Hadis Riwayat Mashabih Assunnah)
Dalam Islam sekiranya seseorang itu ingin disabitkan dengan kesalahan zina atau liwath perlulah pihak pendakwaan membawa empat orang saksi Islam yang adil jika mereka gagal membawanya maka orang yang mendakwa perlu di hukum dengan hukum qazab iatu di rotan 80 kali dan persaksiannya tidak boleh diterima selama-lamanya. Bukti-bukti berbentuk DNA, Video, CCTV atau gambar tidak boleh digunakan sebagai saksi kerana semua benda tersebut boleh di manipulasi dan diubahsuai mengikut kehendak pihak  yang mendakwa. Pihak hakim yang beriman dan takut kepada  seksaan di hari akhirat tidak akan membiarkan dirinya diperalatkan oleh mana-mana pihak dan akan bertindak dengan adil dan meletakkan maruah dirinya sebagai seorang yang amanah kepada Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita kembali kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya. Jauhkan diri kita daripada fitnah dan mempercayai suatu berita yang belum tentu kebenarannya sehingga kita menzalimi diri kita sendiri. Berdoalah kepada Allah SWT semoga Allah SWT tidak menimpakan bala kepada kita semua disebabkan berlakunya kezaliman keatas seorang mukmin yang tidak berdosa . Walaupun hanya satu kejahatan manusia (melakukan kezaliman)  apabila ianya menyebabkan Allah SWT murka maka diturunkannya bala dan musibah. Berlaku adillah kepada siapa saja jika kita diberikan amanah dan tanggungjawab kerana sifat adil mendekati takwa dan syurga sedangkan sifat zalim akan menyebabkan seseorang memasuki neraka.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (agar mentaati Allah) tetapi bila mereka melakukan kederhakaan di dalam (negeri) itu maka sepantasnya berlakulah terhadapnya perkataan (hukuman Kami), kemudian Kami binasakan sama sekali (negeri itu). (Surah al-Isra' ayat 16)

No comments: