Wednesday, January 4, 2012

Tiga Sifat Yang Baik Boleh Terselamat Daripada Seksaan Api Neraka.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abdullah bin Mas’ud katanya Rasulullah SAW pernah bersabda : "Ingatlah aku akan ceritakan kamu mengenai orang yang diselamatkan dari neraka atau dijauhkan dari neraka iaitu setiap mereka yang ramah mesra lagi sopan santun dan murah hati (Hadis Riwayat Tarmizi ).

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa terdapat tiga sifat yang baik boleh terselamat daripada neraka atau pun akan dijauhkan dari neraka. Sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Ramah mesra.

Kedua : Sopan santun

Ketiga : Murah hati

Huraiannya :

Pertama : Ramah mesra.

Sifat ramah mesra adalah sifat terpuji kerana orang yang baik hati dan tidak sombong suka bertegur sapa dan sentiasa ingin membina ukuwah Islamiah dan silaturahim sesama muslim. Seorang mukmin apabila bertemu saudaranya akan memulakan memberi salam dan sentiasa tersenyum, tanda hormat dan menunjukkan ketinggian akhlak dan keperibadiannya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah kamu saya tunjukkan kepada sesuatu jika kamu lakukan kamu akan berkasih sayang? Sebarkanlah salam antara sesama kamu". (Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a).

Islam mengalakkan umatnya supaya memberi salam dan menyebarkan salam antara satu dengan lain apabila bertemu, kerana salah satu hak dan kewajipan seorang muslim adalah apabila bertemu ia memberi salam dan menjawab salam.

Seorang pendakwah yang baik akan membuangkan pada dirinya sifat ego, sombong dan rasa ujub di atas kelebihan dirinya dan akan merendahkan diri apabila berhadapan dengan saudara seagama dan akan membina kemesraan dan kasih sayang, daripada sifat yang mulia inilah akan memudahkan tarbiah dan dakwah disampaikan kepada orang yang ingin di dakwahkannya dan tidak menimbulkan rasa perbezaan di antara mereka.

Kedua : Sopan santun.

Orang yang paling dikasihi oleh Nabi SAW dan paling dekat tempat duduknya dengan baginda di hari akhirat adalah orang yang paling baik akhlaknya, berlemah lembut dan bersopan santun.

Islam mengajar umatnya untuk berakhlak mulia dan bergaul secara sopan santun dengan manusia. Sopan santun dalam pergaulan tidak mengenal dinding atau tembok pemisah kerana sifat tersebut adalah bersifat universal samaada dengan muslim atau bukan muslim. Demikian juga sikap saling bermusuhan, benci membenci dan saling memfitnah adalah merupakan akhlak yang tidak baik.

Dalam beberapa hadis, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Jangan kamu saling membenci, jangan saling menghasut. Jangan belakang membelakangi, Jangan memutuskan hubungan. Jadilah hamba Allah yang bersaudara dan tidak boleh seorang muslim memulau sesama muslim lebih daripada tiga hari.”
(Hadis Riwayat Muttafaq alaih)

Allah SWT menyatakan di dalam al-Quran bahawa akhlak yang baik dan mulia itu adalah saling bantu membantu kepada golongan fakir miskin dan sifat suka memaafkan kesalahan orang lain. Firman-Nya yang bermaksud : “Janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi bantuan kepada kaum kerabat (nya), orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan, serta berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampuni kamu? Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nur ayat 22)

Islam adalah ajaran yang benar untuk memperbaiki manusia dan membentuk akhlaknya demi mencapai kehidupan yang baik, bersifat sopan santun dan berlemah lembut. Islam memperbaiki manusia dengan cara terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersihkan hati dan menanamkan sifat-sifat terpuji. Islam benar-benar dapat membawa manusia untuk mencapai kebahagiaan, kelapangan dan ketenteraman. Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya.

Sifat sopan santun dan lemah-lembut adalah akhlak yang mulia yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Oleh itu orang yang memiliki sifat sopan santun dan lemah lembut adalah orang yang sangat beruntung. Sesiapa yang memiliki sifat ini dia akan dapat menahan diri apabila marah dan mempertimbangkan baik buruknya sesuatu perkara sebelum bertindak.

Orang yang bersopan santun dan lemah lembut melambangkan orang yang sentiasa sabar , tidak bersikap keras dan kasar dan tidak tergopoh gapah di dalam sesuatu perkara. Bukanlah bermakna apabila seseorang berlemah lembut maka dia mudah di permainkan atau diperbodohkan oleh orang lain. Namun sifat lemah lembut ini lebih baik diseiringkan dengan ketegasan dalam kebenaran agar seseorang itu akan dihormati dan muliakan.

Rasullullah SAW adalah contoh orang yang paling bersopan santun dan  lemah-lembut dan paling baik dalam pergaulan. Sesiapa yang melihat baginda dari jauh akan berasa gentar tetapi sesiapa yang bercampur atau bergaul dengan baginda tentu akan menyayangi baginda disebabkan oleh sikap sopan santun dan lemah lembut baginda itu.

Rasulullah SAW bersabda, bermaksud:  "Sesungguhnya Allah itu bersifat lemah lembut dan ia menyukai sifat lemah lembut. Dan Allah memberikan sesuatu dengan cara lemah lembut yang tidak diberikan dengan cara kekerasan, dan juga tidak diberikan sesuatu melainkan dengan cara lemah lembut.(Hadis Riwayat Muslim)

Ketiga : Murah hati.

Seorang yang bermurah hati suka memberi sedekah dan menolong orang lain terutama fakir miskin, anak-anak yatim dan mereka yang berada di dalam kesusahan dan kesempitan hidup adalah satu sifat yang terpuji.

Sifat murah hati mencerminkan kejernihan jiwa yang sentiasa mendapat sorotan cahaya iman. Ia sifat terpuji yang dimiliki kalangan para Nabi dan Rasul dan Islam menggalakkan umatnya mewarisi sifat ini.

Orang yang dirinya dihiasi sifat murah hati sudah pasti memahami semangat persaudaraan perlu diutamakan dan mengasihi sesama insan sebagai mana ia mengasihi dirinya sendiri adalah manifestasi dorongan iman yang kuat, di samping menyedari setiap rezeki dimiliki hanyalah pinjaman Allah SWT untuk diurus sebaik-baiknya.

Oleh itu, apabila ada seseorang ditimpa kesusahan, dia akan cepat-cepat menghulurkan bantuan mengikut kemampuan yang ada, sekalipun dirinya sendiri tersepit dalam kesusahan. Bantuan itu sebagai satu jalan untuk merapatkan hubungan persaudaraan dan mendekatkan diri kepada Allah demi memperoleh keredaan-Nya, bukan kerana nama atau ada maksud tertentu.

Inilah yang termaktub dalam sepotong firman Allah SWT bermaksud: “(Iaitu) orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 134)

Pemberian itu sama ada zakat, sedekah, derma atau hadiah adalah sumbangan yang menunjukkan seseorang itu memiliki sifat bermurah hati terpancar dari ketakwaan. Suruhan supaya saling membantu bukan hanya ditujukan kepada orang berada, malah mereka yang berpendapatan rendah.

Sesungguhnya sesiapa yang dipelihara daripada bersifat kikir dan kedekut adalah golongan bernasib baik dan diberi layanan terbaik oleh Allah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan barang siapa dijaga dirinya dari kekikiran, mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Surah At-Taghaabun ayat 16)

Murah hati dan dermawan sesungguhnya sudah membudaya dalam kehidupan umat Islam hari ini. Apabila terdengar berita mengenai penduduk yang ditimpa musibah seperti banjir atau kebakaran maka tanpa perlu dikerah semuanya berebut-rebut untuk memberi bantuan baik dalam bentuk wang, pakaian mahupun makanan.

Sikap tolong-menolong ini sungguh mengagumkan dan menjadi salah satu ciri umat Islam yang patuh dengan suruhan agama. Bermurah hati menepati sunnah Rasulullah SAW. Sewaktu membina rumahtangga dengan Khadijah yang kaya, baginda tidak melatah menggunakan harta isterinya untuk sesuatu yang sia-sia, membazir dan boros. Sebaliknya, harta itu digunakan untuk membantu fakir miskin dan golongan yang lemah.

Diceritakan, datang seorang perempuan menghadap Rasulullah SAW sambil menyerahkan kain tenun hasil kerja tangannya. Hadiah itu diterima baik oleh Rasulullah dan dipakainya. Tiba-tiba seorang sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, alangkah baiknya kain itu. Pakailah untukku.” Baginda menjawab: “Baiklah.”

Begitulah gambaran pemurahnya Rasulullah SAW.

Kita sebagai orang Islam hendaklah sentiasa mengamalkan sifat pemurah bukan saja kita disayangi masyarakat, dihormati sebagai umat berakhlak mulia pada pandangan manusia  bahkan kekal mendapat curahan rahmat dan keampunan, diluaskan rezeki serta hidup sejahtera.

Kita hendaklah yakin, Allah SWT akan menggantikan pemberian kita dengan sesuatu yang lebih baik seperti firman-Nya bermaksud: “Dan apa saja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya.” (Surah Saba’, ayat 39).

Jika seluruh masyarakat bermurah hati, sudah tentu dapat menyelesaikan masalah kesusahan, kedukaan, perpecahan dan sifat dengki. Akhirnya hidup akan aman, bahagia dan menerima ganjaran mematuhi ajaran agama.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita amalkan  tiga sifat yang sangat dikasihi Allah perlu dihayati dalam kehidupan untuk menjamin keselamatannya dari bakaran api neraka iaitu sifat ramah mesra, sopan santun dan hati pemurah. Bila himpunan tiga sifat yang baik ini ada pada seseorang maka dia dijamin tidak akan dimasukkan ke neraka.

Oleh itu hiasilah diri kalian dengan tiga sifat mulia dan baik ini, bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraannya di akhirat nanti. Mereka yang bersifat dengan tiga sifat tersebut akan diselamatkan dari api neraka.


No comments: