Wednesday, February 22, 2012

Kenapa Hati Menjadi Keras?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
 
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Ibnu Umar radihiyallahu anhuma berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda : "Jangan memperbanykkan percakapan selain untuk berzikir kepada Allah SWT, sesungguhnya banyak bercakap selain daripada berzikir kepada Allah itu adalah meyebabkan hati seseorang menjadi keras. Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah SWT itu ialah mereka yang berhati keras." (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa orang yang banyak bercakap yang tidak berfaedah dan tidak mahu berzikir dan mengingati Allah SWT akan menyebabkan hatinya akan menjadi keras. Jika hati sudah menjadi keras maka hati seperti ini akan jauh daripada petunjuk Allah SWT.

Dalam realiti kita hari ini kebanyakkan ketandusan hati dan jiwa adalah merupakan penyakit yang sangat ketara. Ramai orang merasa susah hati, gelisah dan tidak merasa tenang dalam kehidupan adalah berpunca daripada hati yang keras. Walaupun memiliki jutaan wang ringgit, rumah banglow, kereta mewah, memiliki gedung-gedung perniagaan dan saham-saham pelaburan tetapi masih tidak dapat merasai ketenagan hati dan tidak mendapat kepuasan hidup, jiwa gelisah seperti ada sesuatu yang tidak kena. Ini semua berpunca daripada kerasnya hati, jiwa yang tandus dan mata yang tidak pernah menangis kerana takut kepada Allah SWT. Berapa ramai di antara kita mengisi masa lapangnya untuk membaca ayat-ayat Allah SWT ? Hanya mereka yang mendapat rahmat-Nya akan mampu membaca al-Quran setiap hari. Berapa ramai yang menjadikan sepertiga malam untuk solat tahajud dan memohon ampun kepada Allah SWT dan mengalirkan air mata kerana takut azab Allah SWT?

Selain itu , kekerasan hati juga adalah berpunca daripada banyak bercakap perkara yang tidak berfaedah (lara)  dan tidak ada hubung kait dengan mengingati Allah SWT. Oleh itu bagi kita yang mengaku beriman kepada Allah SWT hendaklah selalu menggunakan lidah kita untuk berzikir kepada Allah SWT, ataupun bercakap perkara-perkara yang ada hubung kait dengan kemaslahatan dan kepentingan agama Islam . Percakapan tersebut biarlah memberikan faedah dalam meningkatkan ketakwaan atau paling kurang bercakap perkara keduniaan yang dijadikan wasilah atau alatan yang dapat membantunya untuk mentaati Allah SWT, atau kalau tidak mampu berbuat demikian hendaklah dia berdiam diri, jangan banyak bercakap-cakap.

Sahabat yang dimuliakan,
Umat Islam selalu membuang masa dengan bercakap perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa seperti mengumpat, memfitnah atau menceritakan keburukkan orang lain tanpa bermuhasabah diri merka sendiri. Lebih merbahaya lagi apabila mereka bercakap sesuatu perkara yang cuba mempertikaikan hukum-hukum Islam dan menganggap hukum Islam tidak sesuai dilaksanakan dalam masyarakat majmuk dan secara tidak langsung menafikan hak mutlak Allah SWT untuk menetapkan peraturan hidup untuk manusia ciptaan-Nya.

Pada hakikatnya, hati yang keras adalah hati yang tidak mudah menerima nasihat daripada orang lain. Kalau ditegur selalu melenting dan menunjukkan rasa besar diri, pantang ditegur dan tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh orang lain. 

Hati yang keras juga akan mendorong untuk membuat maksiat dan kejahatan, dan sangat berat untuk membaca al-Quran dan berzikir dan sangat malas untuk  melakukan ibadah yang diwajibkan oleh Allah SWT. Inilah penyakit yang menimpa umat Islam akibat meninggalkan hukum-hukum Allah SWT  dan syariat Islam di muka bumi, sedangkan  mereka telah dipilih untuk menjadi khalifah  Allah SWT di dunia ini.

Sebagai contohnya, apabila masuknya waktu solat orang yang keras hatinya akan merasa terbeban dengan ibadat solat itu dan akan merasa banyak urusan dunawinya masih belum selesai dan terpaksa menangguhkan solat hingga hujung waktu  , dilakukan pula solat itu tidak sepenuh hati hanya untuk melepaskan kewajipannya sahaja. Sebahagian besar pula tidak mengerjakan solat dengan alasan sebuk dan tidak ada masa.
Berbeza pula dengan mukmin yang bersih, sihat dan sejahtera  hati dan jiwanya , merasai bahawa solat itu satu ibadah yang sangat diutamakan hingga sanggup meninggalkan apa sahaja tugasnya dan mengutamakan panggilan Allah SWT, "MARILAH SOLAT, MARILAH MENUJU KEJAYAAN" 

Hati yang keras adalah hati yang berkarat. Sesungguhnya hati itu berkarat jika tidak di didik, tidak diproses maka ia akan kotor apatah lagi sekiranya disekeliling kita  nafsu yang menguasai diri, maksiat dan syaitan meruntun-runtun dalam jiwa. Itulah sebabnya kenapa masyarakat kita tidak merasa sensitif dengan dosa dan maksiat. Perkara makruf di pandang mungkar dan yang mungkar dipandang makruf , perkara ini akan berlaku apabila hati-hati mereka telah menjadi keras dan berkarat. Nabi SAW pernah menjelaskan bahawa hati manusia umpama besi apabila ditimpa air iannya berkarat dan untuk menghilangkan karat perlulah banyak membaca al-Quran dan mengingati mati!.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menjaga dan mendidik hati dan jiwa kita dengan didikan iman, sentiasa muhasabah, mujahadah dan murajaah. Setiap hahr bertilawah al-Quran, menghadiri majlis-majlis ilmu, menziarahi kubur (untuk mengingati kematian), banyakkan berzikir dan beristighfar dan solat-solat sunat terutama di tengah malam. Carilah sahabat-sahabat yang soleh dan guru-guru yang alim untuk saling ingat menginagti kepada kebaikan dan kesabaran demi membangunkan umah Islamiah yang diredhai oleh Allah SWT.








No comments: