Monday, February 20, 2012

Orang Mukmin Yakin Jaminan Rezeki Daripada Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
 
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah SWT telah ditetapkan rezeki untuknya sejak di dalam kandungan ibunya lagi. Allah SWT yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menjamin rezeki untuk semua makhluknya, dari sekecil-kecilnya makhluk (kuman) hinggalah sebesar-besarnya (ikan paus) dan tidak dikurangkan sedikit pun daripadanya.

Manusia diminta untuk berusaha, berdoa dan bertawakkal nescaya ia akan mendapat dan memiliki rezeki yang telah disedaikan oleh Allah SWT dimuka bumi ini.
Dalam Al-Quran Allah SWT berfirman maksudnya : “Dan tidak ada satu mahluk yang melata pun di muka bumi kecuali Allah menjamin rezekinya.” (Surah Hud ayat 6)

Allah SWT yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah memberi jaminan ke atas rezeki makhluk-Nya sampai tiba ajal masing-masing. Kita tidak boleh sama-sekali  meragukan jaminan rezeki daripada Allah SWT.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya seorang dari kalian dikumpulkan penciptaannya dalam perut ibunya selama 40 hari dalam bentuk nuthfah (bersatunya sperma dengan ovum), kemudian menjadi ‘alaqah (segumpal darah) seperti itu pula. Kemudian menjadi mudhghah (segumpal daging) seperti itu pula. Kemudian seorang malaikat diutus kepadanya untuk meniupkan roh di dalamnya, dan diperintahkan untuk menulis empat hal, iaitu menuliskan rezekinya, ajalnya, amalnya, dan celaka atau bahagianya..." (Hadis Riwayat Bukhari)

Kepercayaan dan keyakinan terhadap rezeki adalah termasuk di dalam keimanan kepada Qadak dan Qadar Allah SWT. Qadak terbahagi dua iaitu Qadak Mubram dan Qadak Muallaq.

Qadak Mubram adalah qadak yang tidak boleh berubah-ubah sebagai contoh, wanita sahaja yang boleh mengandung dan melahirkan anak,  manusia memerlukan oksigen, makan dan minum yang mencukupi untuk hidup. Itu adalah satu ketetapan yang pasti.

Allah SWT menetapkan mata sebagai alat untuk melihat dan telinga untuk mendengar dan fungsi ini akan berterusan sampai bila-bila masa. Allah SWT menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati dan tidak ada seorang pakar perubatan pun yang mampu mengubah kenyataan ini. Semua ini dan yang lain-lainnya tidak dapat diubah sebab ia adalah ketetapan Allah SWT sejak dari azali lagi berdasarkan kebijaksanaanNya yang tanpa batas dan ia telah menjadi hukum alam yang dikenali sebagai hukum sebab musabab dan sebab akibat.

Qadak Muallaq pula adalah qadak atau ketetapan yang boleh berubah-ubah. Rezeki dan tarikh mati seseorang boleh bertambah atau berkurang atas kehendak Allah SWT. Salman radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Tidak tertolak qadak itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”(Hadis riwayat Tirmidzi). 

Rezeki yang Allah SWT tetapkan untuk manusia adalah termasuk di dalam Qadak Muallaq iaitu qadak yang boleh berubah apabila manusia berdoa dan berusaha bersungguh-sungguh supaya Allah SWT menambahkan rezeki untuknya. Rezeki juga boleh ditarik balik oleh Allah SWT apabila Dia murka kepada hamba-Nya yang tidak bersyukur dan derhaka kepada-Nya.

Perkara ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 39 yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa juga yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan apa juga yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) pada sisi-Nya ada ibu segala suratan.”

Rasulullah SAW  yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi:“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Dalam al-Quran Allah SWT berfirman maksudnya :“ Berdoalah (mintalah) kepadaKu, nescaya Aku kabulkan untukmu ” ( Surah al-Mukmin (40) ayat 60)

Doa memainkan peranan yang penting supaya hajat dan permintaan kalian dikabulkan oleh Allah SWT . Jangan putus asa jika doa kalian masih belum ditunaikan oleh Allah SWT.

Sahabat yang dimuliakan,
Ada dikalangan manusia mengeluh dan sedih kerana rezekinya masih sempit dan apa yang diusahakan masih gagal untuk memenuhi hajat yang dikehendakinya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :"Sesiapa yang suka supaya diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalankan hubungan tali silaturahim."(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Imam Ibnul Atsir berkata : "Silaturahim adalah suatu ungkapan berkaitan dangan menjalinkan perbuatan baik terhadap kaum kerabat yang memiliki hubungan senasab atau perkahwinan, berlemah lembut kepada mereka, menyayangi mereka, walaupun mereka jauh dan berbuat jahat. Manakala memutuskan silaturahim adalah berlawanan dengannya."

Menjalin hubungan silaturahim yang baik dan berdoa terhadap ibu bapa adalah salah satu jalan terbukanya pintu rezeki.

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, 

Selain daripada menjaga hubungan silaturahim sesama ahli keluarga, kalian perlu juga memperbaiki hubungan sesama muslim dan menjalin hubungan ukhwah Islamiah dan kasih sayang adalah termasuk tuntutan Islam kerana semua muslim adalah bersaudara. Berlapang dada sesama saudara muslim tidak buruk sangka, tidak bermusuhan dan menjauhkan diri daripada mengumpat dan memfitnah sebenarnya akan mendatangkan keberkatan dan Allah SWT akan membuka pintu rezeki daripada langit dan bumi dijalan yang tidak disangka-sangka.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita perbaiki diri kita dengan mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Kita jaga hubungan di antara ahli keluarga dan hubungan sesama muslim. Banyakkan berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT semoga dibuka-Nya pintu perbendaharaan alam berupa rezeki yang halal dan lumayan yang tidak disangka-sangka. Dengan kita memiliki rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT dapat pula kita membayar zakat, berinfak dan bersedekah semata-mata mencari keredhaan Allah SWT.




No comments: