Wednesday, March 21, 2012

Pengajaran Dari Surah An- Nas

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

سُوۡرَةُ النَّاس
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ (١) مَلِكِ ٱلنَّاسِ (٢)إِلَـٰهِ ٱلنَّاسِ (٣) مِن شَرِّ ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ (٤) ٱلَّذِى يُوَسۡوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ (٥) مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ (٦)
Firman Allah dalam Surah An Nas yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku mohon perlindungan pada Tuhan yang memelihara manusia. Yang menguasai manusia. Tuhan yang disembah manusia. Dari kejahatan (syaitan) pembisik yang datang dan menghilang. Yang membisik (kejahatan) di dalam manusia. Iaitu dari (syaitan) jin dan manusia.”

Allah adalah Tuhan Pemelihara dan Pelindung segala makhluk. Pemerintah segala makhluk dan Penguasa segala makhluk, tetapi di sini Allah disebut khusus sebagai Pemelihara dan Pelindung manusia, Pemerintah Manusia dan Tuhan yang disembah manusia supaya manusia merasa begitu hampir kepadaNya dalam detik-detik mencari perlindungan dan naungan.

Allah telah mengarahkan RasulNya s.a.w. dan sekelian umatnya, supaya mencari perlindungan dan naungan padaNya dengan menghadirkan pengertian dari sifat-sifat tersebut (Pemelihara dan Pelindung manusia, Pemerintah Manusia dan Tuhan yang disembah manusia). Ini adalah kerana kejahatan yang sangat halus itu menyerang mereka tanpa disedari, dari arah yang tidak disangka dan tidak dapat menolaknya melainkan dengan pertolongan Allah Pemerintah dan Penguasa Yang Maha Agung.

Kita sedar bahawa pertarungan di antara Adam dan Iblis adalah satu pertarungan yang amat lama. Kita sedar bahawa syaitan telah mengisytiharkan perang berterusan iaitu satu pengisytiharan yang lahir dari tabiat jahat yang ada di dalam dirinya, dan lahir dari sifat-sifat angkuh, hasad dengki dan dendam kesumatnya terhadap manusia.

Kita sedar syaitan telah meminta kebenaran dari Allah untuk memerangi manusia , dan permintaan itu telah diluluskan Allah kerana suatu hikmah yang diketahuiNya. Walau bagaimanapun, Allah tidak membiarkan manusia mengharungi perjuangan itu tanpa senjata, malah ia menjadikan keimanan sebagai perisai untuk mereka, zikir sebagai kelengkapan perang dan doa memohon perlindungan sebagai senjata. Andainya manusia melupakan perisai, kelengkapan dan alat senjatanya, maka dialah sahaja yang patut disalahkan.

Dari Ibn Abbas r.a. katanya: Sabda Rasulullah s.a.w.: “Syaitan itu duduk mencangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut nama Allah ia akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai ia akan membisikkan kejahatan.”
Kita tahu bahawa di antara hasutan dan bisikan manusia itu ada yang lebih buruk dari hasutan dan bisikan syaitan. Mereka terdiri dari:

i. Teman-teman menaburkan kejahatan ke dalam hati dan akal kawannya tanpa disedari dan diawasi olehnya kerana ia teman yang dipercayai.
ii. Pegawai-pegawai atau orang dalam pemerintahan yang mengelilingi para pemerintah yang membisikkan fikiran-fikiran yang jahat kepada mereka sehingga mereka bertindak ganas dan zalim terhadap rakyat jelata.
iii. Tukang umpat yang menabur fitnah, yang pandai bermadah dengan kata-kata yang indah dan licin hingga apa yang dikatakannya itu kelihatan seolah-olah amat benar dan tidak dapat dipertikaikan lagi.
iv. Penjual-penjual nafsu/ penggoda / penghibur yang masuk dari pintu-pintu naluri dengan gaya yang amat menarik yang tidak dapat ditolak melainkan dengan kesedaran hati nurani dan pertolongan dari Allah.

Di sana terdapat berpuluh-puluh jenis manusia pembisik kejahatan yang datang dan menghilang , yang membuat perangkap-perangkap kejahatan dan menyeludupkannya ke dalam hati manusia. Mereka adalah lebih jahat daripada syaitan-syaitan yang tidak nampak dan lebih halus dari jejak langkahnya.

Manusia memang tidak dapat berupaya untuk menolak bisikan-bisikan kejahatan yang halus, kerana itu Allah menunjukkan perisai dan alat-alat senjata kepada mereka supaya mereka dapat menempuh pertarungan yang dahsyat itu.

Syaitan pembisik itu telah disifatkan dengan kelakuan “datang dan menghilang”. Ini adalah satu isyarat yang mengandungi tujuan, kerana dari satu segi sifat itu menunjukkan bahawa kelakuan syaitan itu lebih suka bersembunyi menunggu peluang. Andaikata terbuka ia akan meresap masuk perlahan-lahan membisikkan kejahatan-kejahatannya dan dari satu segi yang lain pula, menunjukkan satu kelemahan syaitan apabila berdepan dengan mereka yang sedar dan siap siaga mengawal pintu hatinya.

Oleh kerana itu semua pembisik-pembisik kejahatan, samada dari syaitan yang tidak nampak atau dari syaitan-syaitan manusia apabila dilawan, mereka akan berundur menyembunyikan diri sebagaimana digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. “Apabila menusia menyebut nama Allah, ia akan mengundurkan dirinya dan apabila manusia lalai, ia akan membisikkan kejahatan.”

Pertarungan dengan syaitan merupakan satu pertarungan yang tidak akan tamat. Syaitan selama-lamanya akan menunggu peluang untuk menyerang manusia disaat-saat kelalaian dan pertarungan itu akan terus meletus, sekali kalah dan sekali menang sehingga ke hari kiamat. Allah berfirman kepada syaitan yang bermaksud:
“Sesungguhnya engkau tidak mempunyai kuasa untuk menguasai hamba-hamba kesayanganku dan cukuplah Tuhanmu itu menjadi penjaga.” (Surah Al Isra’ ayat 65).

Walaupun Allah membenarkan iblis melancarkan peperangan menentang manusia, tetapi Ia tetap menguasai iblis itu. Ia hanya membiarkan syaitan itu menakluk orang-orang yang lalai dari Allah sahaja. Manakala orang yang mengingati Allah akan terselamat dari kejahatan dan bisikan syaitan yang halus.

Kebaikan itu harus bersandar kepada kekuatan Allah yang Maha Pemelihara. Manakala kejahatan itu hanya bersandar kepada bisikan iblis yang datang dan menghilang. Lemah bila ditentang. Mundur ke belakang apabila ditempur dan tewas di hadapan perlindungan dan naungan Allah.

Rujukan:

Asy Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, Tafsir Fi Zilalil Quran – Di Bawah Bayangan Al Quran, terjemahan Yusoff Zaky Haji Yacob, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 2002

No comments: