Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sahabat yang dirahmati Allah,
Al-Quran memberi peringatan, petanda agar manusia mengimani hari akhirat. Sesungguhnya dalam kitabNya, Allah SWT berulang kali menyebut tentang hari kiamat , menjelaskan suasana di akhirat di banyak tempat sehingga lapan puluh daripada satu ratus empat belas surah-surah dalam al-Quran menerangkan tentangnya. Allah SWT sering memperingatkan kita kepada hari akhirat dalam setiap kesempatan, menegaskan kejadiannya, bahkan mengaitkan keimanan kepadaNya dengan hari kiamat. Allah SWT merahsiakan waktu berlaku kiamat kepada hambaNya, tetapi memberikan tanda-tanda kejadian itu.
Salah satu daripada Rukun Iman ialah percaya hari akhirat seperti disabdakan Rasulullah SAW ketika menjawab pertanyaan Malaikat Jibril a.s. mengenai iman yang bermaksud: "Iman ialah engkau beriman kepada Allah dan malaikatNya dan segala kitabNya dan rasulNya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada takdir baiknya dan buruk."
(Hadis riwayat Muslim)
Dalam sambungan hadis di atas disebutkan maksudnya: "Khabarkan kepadaku perihal hari kiamat." Rasulullah SAW menjawab: "Tidaklah yang ditanya mengenainya lebih tahu daripada orang yang bertanya." Nabi SAW pun tidak mengetahuinya.
Dalam sambungan hadis di atas disebutkan maksudnya: "Khabarkan kepadaku perihal hari kiamat." Rasulullah SAW menjawab: "Tidaklah yang ditanya mengenainya lebih tahu daripada orang yang bertanya." Nabi SAW pun tidak mengetahuinya.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai orang beriman kita beriman kepada hari kiamat dengan penuh keyakinan dan kebenaran, beriman kepada apa yang Allah SWT khabarkan mengenai hari kiamat dalam KitabNya dan apa yang dikhabarkan Rasulullah SAW mengenai segala hal yang akan terjadi selepas mati sehingga penghuni syurga masuk syurga dan penghuni neraka masuk neraka.
Kita beriman kepada segala yang akan berlaku daripada tanda hari kiamat sama ada tanda kecil (alamat al-shughra) atau besar (alamat al-kubra). Tanda itu ialah isyarat akan berlaku hari kiamat kerana ia termasuk dalam cakupan iman terhadapnya.
Tanda kecil hari akhirat yang mempunyai landasan dalil syarak muktamad antaranya: "Banyak berlaku pembunuhan, mengharapkan mati kerana musibah yang dahsyat, keinginan agar dirinya seperti orang yang mati dan berandaian dia sudah mati kerana dahsyatnya petaka yang dihadapi, ramai meninggal dunia tiba-tiba, ramainya anak-anak zina dilahirkan, maut kerana gempa atau wabak, lelaki sedikit daripada perempuan, wanita berpakaian tetapi telanjang, melebarnya pelacuran di jalan dan munculnya penyokong orang zalim daripada kalangan petugas keselamatan yang mendera manusia.
Tandanya kiamat lain ialah munculnya alat muzik, arak, perzinaan, riba, pemakaian sutera halal bagi lelaki, terbenamnya sebahagian bumi dengan segala di atasnya, muncul perubahan bentuk tubuh dan bermaharajalela fitnah.
Sahabat yang dikasihi,
Tanda-tanda kecil (awal) berlakunya kiamat telah banyak berlaku di hadapan mata kita malahan setiap hari ada sahaja berita-berita berlakunya tanda-tanda tersebut seperti yang dijelaskan di atas yang hanya belum berlaku adalah tanda-tanda akhir kiamat seperti terdapat dalam hadis menyatakan 10 tanda-tanda besar.
Oleh itu perlulah kita insaf dan sedar dan sentiasa bertaubat dan sentiasa membuat persiapan sebelum datangnya kiamat kecil (maksud lain bagi kematian) kerana apabila nyawa seseorang sudah sampai ke kerongkong maka ketika itu pintu taubat sudah tertutup.
No comments:
Post a Comment