Monday, March 26, 2012

Teruskan Bertaubat Jangan Ulangi Kesalahan Yang Sama

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Bertaubat adalah salah satu cara seorang manusia ingin membersihkan diri daripada noda dan dosa yang telah dilakukannya kepada Allah SWT. Kadangkala seseorang telah bertaubat tetapi dia masih mengulangi kesalahan yang sama.

Oleh it bagaimanakah cara-cara untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama?

Beberapa tindakan yang mampu dilakukan untuk mengelak diri daripada mengulangi kesalahan yang sama untuk kedua kalinya. 

Terdapat 4  langkah-langkah yang perlu diambil perhatian iaitu : 

Pertama : Segera bertaubat kepada Allah SWT semoga dosa yang lama diampunkan-Nya dan mengiringi perbuatan dosa dengan kebaikan yang akan menghapuskan dosa.
 
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Seandainya kamu melakukan perbuatan dosa sehingga dosa –dosamu mencapai setinggi langit, kemudian kamu bertaubat nescaya Allah akan mengampuninya (menerima taubatmu)”. (Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Seorang yang bertaubat dari suatu dosa seakan-akan tidak pernah memiliki dosa.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).
 
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Apabila kamu berbuat dosa, maka lakukanlah kebaikan (untuk menghapuskannya.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Kedua : Mengukuhkan azam untuk memperbaiki diri.

Penyebab utama seseorang menjadi lemah di hadapan dosa-dosa adalah kerana ketiadaan atau lemah tekad untuk menghidarinya sehingga mudah untuk melakukan dosa secara berulang kali.

Firman Allah dalam Surah Thaha ayat 115 yang bermaksud: "Dan Sesungguhnya Telah kami pesankan kepada Adam dahulu, tetapi dia lupa (akan perintah itu), dan tidak kami dapati padanya kemauan yang kuat."

Perintah Allah SWT ini tersebut dalam ayat 35 surat Al Baqarah yang bermaksud:

"Dan kami berfirman: "Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik dimana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim."

Ketiga : Mencari suasana yang baik untuk membaiki diri. Apabila berada di kalangan orang yang baik-baik maka orang akan rasa malu untuk melakukan dosa.

Itulah hikmah orang yang membunuh 100 orang dianjurkan untuk berhijrah ke tempat lain yang didiami oleh orang yang baik-baik dan rajin beribadah kepada Allah SWT.

Keempat : Memohon perlindungan daripada Allah SWT dan memperbanyakkan zikir. Seorang perlu memohon perlindungan daripada Allah SWT  daripada gangguan syaitan yang terkutuk. 

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, Maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya."(Surah Al- Araf ayat 201)

Sahabat yang dimuliakan,
Diantara sifat orang mukmin yang mendapat kelazatan iman ialah sentiasa menyedari bahawa maksiat adalah cabang kepada kekufuran. Kekufuran akan menyebabkan ia tercampak ke dalam neraka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Ada tiga sifat, barangsiapa yang pada dirinya terdapat 3 sifat ini, ia akan merasakan kelazatan iman: .... ia membenci untuk kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkan dirinya dari kekafiran sebagaimana ia membenci apbila dilemparkan ke dalam api neraka.” (Muttafaqun ‘Alaih).

Hendaklah kita mempelajari segala hal yang berkaitan dengan dosa dan akibat buruk serta negatif daripada perbuatan dosa tersebut agar berwaspada dan menjauhkan diri daripada dosa berkenaan.

Seorang mukmin yang bertaubat ialah orang yang mengambil pengajaran daripada kesalahan diri sendiri. Tetapi lebih banyak lagi jika mengambil pengajaran daripada perbuatan atau kesalahan orang lain agar tidak melakukan kesilapan atau kesalahan yang sama.

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum Ustaz.
Semua kita ada hutang rumah dan kereta .dan hutang itu telah sekian lama diambil.pinjaman dibuat semasa jahil tentang halal dan haramnya jenis pinjaman itu.Kami membuat hutang rumah dan kereta secara konvesional.saya ada dgr ceramah ustaz dan dari pembacaan saya serta soal jawab saya dgn org2 yg berpengetahuan agama tentang dosa besar riba ini.kami dah tutup ASB loan dan juga insuran konvesional dan tidak lagi mengambil apa2 jenis perlindungan kerana telah bertaubat dan tidak mahu bergantung kepada yg lain selain Allah swt.
Tapi saya masih dihantui perasaan takut akan siksa api Neraka kerana kami masih ada beban hutang konvesional.Saya dah tanya bank kalau nak tukar ke perbankan islamik kami kena bayar bulanan lebih byk dan itu akan lebih membebankan kami dan jangkamasa pinjaman akan jadi lebih panjang.Dan apabila saya cari lagi info ttg perbankan islamik ni ternyata sebenarnya ianya juga masih byk cacat celanya nya dan tidak juga halal secara dalamannya.
Apa yg saya buat sekarang setiap hari saya memohon ampun pada Allah swt agar diampunkan dosa besar atas beban hutang dan berdoa kepada Allah supaya ditunjukkan jalan supaya dapat keluar dari beban ini.
Saya berusaha tidak membuat hutang yg baru.Apa pendapat Ustaz tentang tindakan kami ini?kdg2 saya rasa ok kdg2 saya rasa was2 betul ke tindakan saya ini?.Tapi saya percaya yg Allah swt Maha pengampun dan Maha menghasihani.

abubasyer said...

Waalaikumusalam, saudara yang bertanya, alhamdulillah saudara telah bertaubat dan telah meninggalkan sebahagian daripada sisi-sisi riba yang diharamkan oleh Allah SWT, tetapi masih ada lagi sebahagian daripada riba yg masih belum diselesaikan sepenuhnya. Cadangan saya jika berpeluang untuk menukarkan pinjamam konvensional kepada Islam adalah jalan terbaik walaupun agak mahal sedikit, kerana jika sanggup berkorban untuk bersusah sedikit itu adalah jalan yg diredai oleh Allah SWT. Jangan letakkan prasangka kepada pinjaman yg berasaskan syariah kerana ianya halal kerana ada jawatankuasa syariah. yg halal itu jelas yg haram itu jelas. Cubalah usahakan kembali kepada pinjaman yg halal dan berdoalah kepada Allah SWT semoga Dia memudahkan saudara kerana berhajat tinggalkan riba 100%. waullaualam