Saturday, June 16, 2012

Kemanakah Roh Pergi Selepas Kematian?


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila sampai saat kematian, roh manusia akan keluar daripada jasad manusia. Setelah jenazah disemadikan di kubur, semua yang mengiringi simati akan pulang kerumah masing-masing tinggalkan simati keseorangan di dalam kubur. Alam baru yang dialami sekarang ini dipanggil sebagai alam barzakh.

Apakah alam barzakh itu? Alam barzakh adalah alam pertengahan di antara dua alam iaitu alam dunia dengan alam akhirat (Padang Mahsyar).

Adapun pendapat yang menyatakan demikian adalah diriwayatkan oleh Salman al-Farisi. Al-Barzakh ialah suatu tempat yang terdinding antara dua alam, Salman bermaksud Barzakh berada di antara dunia dan akhirat yang bebas untuk roh bergerak kemana sahaja dikehendakinya, pandangan ini kuat, kerana roh telah terpisah dari dunia dan belum lagi masuk kealam akhirat.

Roh orang yang beriman berada di alam barzakh yang luas sedang menerima berbagai nikmat dan kesenangan. Manakala roh orang kafir pula berada di alam barzakh yang sempit dalam keadaan susah dan azab.

Dalili al-Quran yang menyatakan bahawa roh yang berada di alam barzakh tidak boleh kembali ke dunia kerana di anatara dunia dan alam barzakh terdapat dinding yang memisahkannya.

Firman Allah SWT maksudnya: “(Demikian keadaan orang-orang kafir itu) hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka (orang kafir) dia berkata: ” Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong) . Dan di hadapan mereka ada dinding (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan” (Surah al-Mukminun ayat 99-100 )

Imam Mujahid (tabien dan anak murid Ibnu Abbas radiallahuanhu) dan Ibnu Zaid berkata tentang ayat ini: “Barzakh adalah seperti satu tembok yang menghalang orang yang mati kembali ke dunia.”

Terdapat juga ulama berpandangan bahawa roh orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh orang hidup ketika mereka sedang tidur (melalui mimpi). (Kitab Ar-Roh, Ibn Qayyim, ms 20)

Rasulullah SAW ada bersabda maksudnya : "Kubur itu sama ada satu taman daripada taman-taman syurga atau satu lubang daripada lubang-lubang neraka. (Hadis Riwayat Tirmizi).

Tafsir hadis ini jelas menunjukkan mereka masih di dunia tetapi dalam keadaan sama ada bersenang-lenang ataupun sengsara. Mereka cuma terhalang oleh satu dinding sebagaimana manusia terhalang melihat jin.

Sahabat yang dimuliakan,
Roh para syuhada mendapat rezeki dan nikmat disisi Allah SWT .

Firman Allah SWT yang bermaksud : "dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki." (Surah Ali-Imran ayat 169)

Antara dalil dalam hal destinasi roh selepas kematian ini ada diterangkan di dalam hadis Nabi SAW maksudnya : “Roh yang mukmin dalam keadaan burung-burung yang bergantungan di pokok-pokok di dalam syurga, sehinggalah Allah mengembalikannya kepada jasadnya pada hari dibangkitkannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, Ahmad, Sahih menurut Ibnu Hibban, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)

Dalam riwayat yang lain Ibnu Abbas r.a. menjelaskan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda,"Allah telah menjadikan roh saudara-saudaramu yang gugur di medan Uhud berada di dalam rongga burung berwarna hijau yang berada dipinggir sungai di syurga. Burung itu memakan buah-buahan syurga kemudian bertengger di atas lampu-lampu yang terbuat dari emas yang tergantung di bawah Arasy. Saat mereka telah mendapat makanan, minuman, dan tempat tidur yang menyenangkan, mereka berkata, 'Jika saudara kita yang masih hidup di dunia mengetahui apa-apa yang Allah berikan kepada kita, mereka tidak akan meninggalkan jihad di jalan Allah dan tidak akan lari dari medan perang." Lalu turunlah ketiga-tiga ayat ini. (Surah Ali-Imran ayat 169-171)  (Hadis sahih riwayat Hakim diriwayatkan Ahmad, Abu Daud, Hakim dan Tirmidzi)

Terdapat hadis daripada Nabi SAW menyatakan bahawa apabila seorang mukmin itu mati rohnya akan dibawa naik ke langit sehingga sampai ke langit ke tujuh, maka berfirman Allah Subhanahu Wa Taala:

“Tuliskan buku hambaku ini di ‘illiyyin’ (tempat yang tinggi) dan kemudian dikembalikannya ke jasadnya kembali dan di datangi pula oleh dua Malaikat … (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Sahih menurut al-Hakim, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)

Manakala roh si jahat dan kafir pula juga di bawa naik ke langit dengan bau yang amat busuk dan digelar dengan nama yang terburuk dan apabila sampai di langit, maka tidak dibukakan pintu langit kemudian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam membacakan ayat 40 dari Surah al-A’raf. Kemudian Allah SWT mengarahkan agar dituliskan namanya di dalam ‘Sijjin’ (neraka) kemudian di campakkan rohnya dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam membacakan firman Allah:

“Sesiapa yang syirik kepada Allah, maka adalah seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan ke tempat yang jauh” (Surah al-A’raf ayat 31)

Kemudian dikembalikan kepada jasadnya,.. kemudian di datangi Malaikat.. lalu dibukakan pintu dari neraka, lalu datanglah kepanasannya dan racunnya, dan kuburnya pula menyempit sehingga bersilang rusuknya. (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Sahih menurut al-Hakim, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)

Roh manusia selepas kematiannya untuk menerima perintah Allah, dicatatkan sama ada mereka di Illiyin atau di Sijjin, kemudian akan dikembalikan kekuburnya untuk disoal, tidak dikembalikan kesana lagi. Roh orang yang beriman ditempatkan  ditaman-taman syurga berdasarkan pahala amalan mereka, begitu juga roh orang kafir ditempatkan di taman-taman neraka berdasarkan amalan dosa mereka.

Mengikut sebuah hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bahawa orang yang mati dalam keadaan masih menanggung hutang, maka rohnya tidak akan sampai naik ke langit, ia hanya akan terapung-apung di antara langit dan bumi, sedangkan roh orang mukmin yang lain dapat naik ke langit untuk kembali ke tempat asalnya sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

“Dari Abi Hurairah radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: "Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.’’ (Hadis Riwayat Tarmizi).

Oleh itu, waris si mati hendaklah segera melunaskan hutang piutang simati dengan menggunakan harta pusaka yang ditinggalkan sebelum difaraidkan. Sekiranya simati tiada meninggalkan harta atau tidak mencukupi maka waris hendaklah berusaha mencari jalan melangsaikan hutang itu seberapa segara.

Sahabat yang dikasihi,
Semua orang mukmin berdoa semoga saat kematiannya beroleh husnul khatimah (kematian yang baik) dan berhajat agar rohnya nanti  dicatat di Illiyin dan menduduki di alam barzakh seperi tamna-taman syurga. Tetapi tidak ramai yang berfikir dan membuat persediaan supaya mendapat apa yang dihajatkan.

Jika kita inginkan kemuliaan di alam barzakh dan hari akhirat dengan mendapat rahmat dan rezeki daripada Allah SWT ketika disana maka perlulah JASAD dan ROH kita ketika di dunia ini melakukan ketaatan dan kepatuhan kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan semua larangan-Nya.

JASAD perlulah melakukan amal ibadah, amal soleh, amal makruf nahi mungkar,berjihad dijalan Allah SWT dan berakhlak mulia (menjaga lidah, mata dan anggota lain).Jauhkan diri daripada memfitnah, mengumpat, berdedahkan aib orang lain dan jangan memutuskan silaturahim.

ROH pula dibersihkan daripada syirik dengan beriman dan bertakwa kepada Allah SWT, sentiasa dihidupkan dengan berzikir, membaca al-Quran, berdoa, bertawakal , menjauhkan hati daripada sifat-sifat mazmumah dan melakukan amalan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT .Jauhkan daripada hasad dengki, sombong, bongkak, takbur, bakhil dan cinta dunia.

Jika persiapan ini dapat kita lakukan insya Allah , kita akan kembali kepada Allah SWT dalam keadaan reda meredai.

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai jiwa yang tenang tenteram (muthmainah)! kembalilah kepada Tuhanmu dengan reda dan diredai! Masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurgaKu..." (Surah al-Fajr ayat 27-30)






1 comment:

Anonymous said...

Subhanalloh......