Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sistem Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengikatkan antara individu dan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan sekukuh-kukuh ikatan dengan cara mendirikan syi’arnya. Semua amalan fardu yang dilaksanakan akan memperbaharui janji dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala supaya manusia sentiasa berada di dalam sistem-Nya secara sempurna. Melaksanakan yang sunat pula tanda cinta manusia kepada Allah SWT. Segala urusan adalah untuk mengtakrirkan (memperakukan) kemuliaan sistem Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan mengagungkan kekuasaan-Nya sahaja.
Di dalam sistem Allah Subhanahu Wa Ta’ala wujud keselarasan antara iman, ibadah, takwa dan mendirikan sistem-Nya, empat perkara pokok ini tidak boleh dipisahkan. Selaras antara kerja-kerja meningkatkan pengeluaran dan menjalankan tugas sebagai khalifah Allah Subhanahu Wa Ta'ala di muka bumi.
Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam akidah, keimanan, ibadah dan takwa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala bukanlah menyisihkan seseorang daripada realiti hidup. Malah iman dan takwa melayakkan seseorang untuk mencapai keberkatan dari langit dan mendapat reda-Nya.
Hal ini telah termaktub dalam janji Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud: “Dan jika penduduk sebuah kota beriman dan bertakwa, pastilah kami limpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan ayat-ayat Kami, maka Kami seksa mereka akibat perbuatan mereka.” (Surah al-’Araf ayat 96)
Apa yang perlu diingatkan bahawa iman, takwa, ibadah, hubungan dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan menegakkan syariatNya dalam kehidupan, semuanya itu untuk kepentingan hidup manusia sendiri, bukan untuk Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Dia memiliki sifat Maha Kaya terhadap semua alam dan penghuninya. Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengetahui bahawa tiada penyelesaian, kebaikan dan kejayaan, kecuali dengan berada di bawah sistemNya.Sistem hidup ciptaan manusia cukup lemah dan tidak mampu meyelesaikan persoalan hidup manusia.
Sahabat yang dikasihi.
Orang-orang yang beriman menerima janji Allah Subhanahu Wa Ta’ala tanpa sebarang keraguan dan tanpa mempersoalkan arahan yang ditanzilkan di dalam kitab-Nya. Orang-orang yang beriman juga memperhambakan diri dengan penuh ketaatan. Dengan iman dan takwa, Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan membuka pintu keberkatanNya. Keberkatan pada harta benda, jiwa dan perasaan. Keberkatan di dalam kehidupan yang baik dan mulia. Bukan keberkatan yang dipandang dari sudut kebendaan semata-mata yang terputus daripada iman, sedangkan bersamanya penderitaan dan kehancuran yang amat ditakuti.
Oleh itu marilah kita kembali memperkasakan dan melaksanakan sistem hidup Allah SWT dimuka bumi dengan melaksanakan terlebih dahulu kepada diri sendiri, ahli keluarga dan masyarakat semuanya. Bila kita mengaku beriman kepada Allah SWT maka tidak boleh dipisahkan iman, takwa, ibadah, amal soleh, menegakkan undang-undang Islam dan mendirikan daulah Islamiah kerana semuanya perlu bersepadu dan tidak boleh dipisah-pisahkan.
No comments:
Post a Comment